Tuesday, November 23, 2010

Bieber kalahkan mentor


JUSTIN dan Usher bersama barisan trofi yang dimenangi mereka.


JUSTIN Bieber mengesahkan dirinya sebagai bintang sensasi masa kini apabila mendominasi kemenangan pada majlis American Music Awards ke-38.

Dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama Artis Tahun Ini dengan mengenepikan beberapa penyanyi popular lain yang lebih senior seperti Usher, Eminem, Lady Gaga, Katy Perry dan Kei$ha, Justin juga mencatat sejarah sebagai pemenang anugerah terbanyak pada majlis anugerah tersebut kali ini.

Selain trofi Artis Tahun Ini, Justin turut diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Cemerlang Tahun ini, Artis Pop/Rock Lelaki Pilihan dan Album Pop/Rock Pilihan menerusi album, My World.

Justin mengalahkan Eminem dan Usher menerusi kategori Artis Pop/Rock Pilihan, serta menewaskan Katy Perry dan sekali lagi Eminem untuk kategori Album Pop/Rock Pilihan.

Bukan sekadar itu, penyanyi yang popular dengan lagu Baby dan One Less Lonely Girl itu mencatat sejarah sebagai penyanyi paling muda yang memenangi anugerah utama American Music Awards yang telah dianjurkan sejak tahun 1973 itu.

“Saya tidak boleh berhenti tersenyum dengan anugerah yang diraih ini. Bayangkan, saya mula mendengar lagu-lagu Eminem sejak berusia tiga tahun dan Usher pula adalah mentor saya sendiri.

“Pastinya ini adalah satu kejayaan yang sangat mengagumkan buat diri saya yang masih lagi baru dalam industri muzik,” ujar penyanyi kelahiran Kanada yang baru berusia 16 tahun itu.

Bakat Justin mula-mula dikesan pada tahun 2008 oleh Scooter Braun yang secara tidak sengaja menonton video nyanyian Justin menerusi YouTube. Scooter kemudian menjadi pengurus Justin dan mengatur pertemuan dengan Usher di Atlanta, Georgia.


JUSTIN BIEBER mencatat sejarah American Music Awards sebagai pemenang termuda.


Justin kemudian menandatangani kontrak dengan Raymond Braun Media Group (RBMG), syarikat milik bersama Scooter and Usher dan dia kemudian menandatangani kontrak dengan Island Records sebelum muncul dengan single pertamanya, One Time pada 2009, sebelum album studio penuhnya, My World 2.0 dilancarkan di pasaran pada 23 Mac, tahun ini.

Single dan album Justin itu telah menguasai carta single dan album terlaris dengan jualan albumnya mencecah tahap platinum iaitu sejuta unit.

Sementara itu, Eminem dan Usher yang masing-masing turut tercalon kali ini untuk lima dan tiga kategori yang dipertandingkan ternyata tidak pulang dengan tangan kosong apabila kedua-duanya memenangi sebanyak dua anugerah pada acara tersebut.

Eminem menguasai kategori muzik Rap/Hip-Hop dengan menang anugerah Artis Rap/Hip-Hop Pilihan dan Album Rap/Hip-Hop Pilihan, manakala Usher membuktikan dirinya ‘raja’ genre muzik Soul/R&B apabila berjaya merangkul trofi Artis Soul/R&B Pilihan dan Album Soul/R&B Pilihan.

Sementara itu, penyanyi country-pop, tersohor, Taylor Swift yang telah memenangi lima anugerah pada acara yang sama tahun lalu sekadar meraih satu anugerah sahaja pada kali ini menerusi kategori Artis Country Wanita Pilihan.

Upacara anugerah yang berlangsung di Nokia Theater, Los Angeles kelmarin itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan penyanyi-penyanyi ternama antaranya Enrique Iglesias, Miley Cyrus, Katy Perry, Jon Bon Jovi, Pink serta kemunculan istimewa dua kumpulan popular era awal 1990-an iaitu New Kids On The Block dan Backstreet Boys.


MUSE dinobatkan sebagai pemenang Artis Rock Alternative Pilihan.


Tidak ketinggalan juga penyanyi yang berjaya merangkul anugerah pada acara tersebut yang turut membuat persembahan seperti Justin Bieber, Taylor Swift, Rihanna dan Usher.

Kemeriahan acara American Music Awards 2010 turut diserikan lagi dengan kemunculan ramai selebriti popular Hollywood seperti Jessica Alba, Samuel L. Jackson dan Mandy Moore yang turut menjadi penyampai anugerah pada acara tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: