PASTINYA peminat-peminat siri drama remaja popular di Astro Ria (saluran 104), Kau Dan Aku (KDA) tidak sabar-sabar menanti musim barunya, Kau dan Aku 2 (KDA2).
Namun, pasti ada yang terkejut kerana jika KDA sebelum ini menampilkan tiga bintang kelahiran program realiti TV, Akademi Fantasia - Akim, Aril dan Mila sebagai tiga watak utamanya, namun hanya Akim dan Aril sahaja yang kembali muncul menerusi KDA2.
Mila sebaliknya tidak lagi akan muncul dalam KDA2. Sehubungan itu, siapa pula yang bakal melakonkan karakter utama perempuan menerusi KDA2 sebagaimana yang pernah dilunaskan Mila untuk KDA?
Pada majlis pengenalan KDA2 yang dimeriahkan dengan showcase membabitkan persembahan para pelakonnya termasuk Aril dan Akim di Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini, kelibat seorang gadis berwajah comel kelihatan turut menyertai para pelakon KDA2 yang lain pada acara tersebut.
Selepas dirisik, gadis itu ruparupanya yang telah diberikan tanggungjawab bagi menggalas karakter utama perempuan dalam KDA2 iaitu Elena.
Anith Aqila namanya. Baru berusia 19 dia lebih mesra dipanggil Anith.
Sebagai Elena, Anith melakonkan watak seorang pelajar baru Kolej Harmoni - seorang gadis remaja yang mempunyai cita-cita besar dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai impiannya itu.
"Elena ialah seorang gadis yang sangat pentingkan kejayaan dalam segala yang dilakukannya. Sehingga kadangkala mengundang kejengkelan di kalangan rakan-rakannya yang lain.
|
|
Elena juga seorang gadis yang boleh disifatkan sebagai seorang yang over confident. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan oleh rakan-rakan yang lain, Elena memang seorang gadis yang hebat," ujar gadis bertubuh kecil molek itu.
Namun, pesona yang menarik dan mudah mesra membuatkan Elena disenangi oleh tenaga pengajarnya dan ini juga dianggap sebagai ancaman oleh sesetengah pelajar senior.
Gadis yang mula dikenali melalui program realiti One In A Milliion (OIAM) itu bercerita, pada mulanya dia memang agak segan silu untuk bergaul bersama-sama pelakon KDA kerana kurang mengenali mereka.
Namun, lama-kelamaan, setelah menjalankan penggambaran bersama, perasaan tersebut hilang sedikit demi sedikit dan menjadi serasi.
"Saya terima tawaran berlakon sebagai Elena kerana saya memang meminati drama ini," kata Anith yang pernah tampil menerusi drama Durja Ningsun arahan Ahmad Idham dan sitkom Salon yang akan ditayangkan di Astro Warna tidak lama lagi.
Tambah Anith, watak Elena itu diterimanya kerana setelah meneliti skrip yang diberi, ia mempunyai persamaan dengan dirinya kini yang juga merupakan seorang pelajar kolej.
Jadi, ia menjadikan suatu perkara yang menarik baginya untuk melakonkan watak seperti ini.
Namun sememangnya jika ingin menempa nama di dalam industri yang penuh dengan pancaroba ini, dia perlu menempuh pelbagai cabaran.
Tidak kiralah sama ada cabaran itu besar atau kecil, dia perlu cekal melaluinya demi bergelar anak seni.
Apatah lagi buat Anith, yang memegang salah satu watak utama dalam drama muzikal yang digemari remaja kini.
Kekok dengan situasi penggambaran yang dijalankan, itu antara laluan utama yang perlu ditempuhinya.
"Saya menjadi hairan, mengapa babak yang dirakamkan tidak mengikut urutan, mengapa saya perlu menunggu lama untuk melakukan penggambaran dan sebagainya.
"Namun, lama kelamaan saya mengetahuinya setelah diberi tunjuk ajar oleh rakan-rakan dan pengarah,"ungkapnya.
Antara cara untuk Anith mengatasi cabaran yang bakal dilaluinya lagi ialah dengan membuat persiapan awal dan tampil bersedia apabila penggambaran dijalankan.
|
|
Pelajar Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengaku dia banyak bertanya dan berbincang dengan pengarah mengenai wataknya sebelum memulakan penggambaran.
"Boleh dikatakan setiap satu babak jika saya tidak faham, saya akan bertanya adakah pemahaman saya tentang babak ini benar.
"Jika tidak, saya akan diperbetulkan dan kadangkala juga dibenarkan menambah dialog mengikut kesesuaian babak yang dilakonkan," katanya.
Tetapi, inilah yang dianggap jalan terbaik baginya sebagai pendatang baru di dalam bidang lakonan.
Di samping itu, kemasukan Anith sebagai Elena dalam KDA2 ada menimbulkan persoalan di kalangan peminat yang mengikuti perkembangan drama muzikal ini.
Adakah Anith dipilih untuk menggantikan Mila yang wataknya digambarkan sebagai telah melanjutkan pelajaran ke United Kingdom?
"Tidak sama sekali, kerana watak yang dibawa Anith ini adalah sangat berbeza berbanding watak yang Mila bawa dalam KDA musim pertama," tegas pelajar Aswara tahun pertama ini.
Tambahnya, dia akan menerima setiap kritikan yang dicurahkan oleh peminat memandangkan perkara ini adalah suatu yang subjektif.
"Jika ada peminat yang ingin membandingkan lakonan saya dan Mila, saya ambil semua itu sebagai pengajaran untuk saya terus maju dalam bidang ini," jawabnya sambil melemparkan sebuah senyuman manis.
Harapan pelakon remaja baru ini agar orang ramai akan lebih mengenalinya menerusi bidang yang baru diceburinya ini. Dia akui dirinya masih baru dan belum dikenali ramai.
Pada masa yang sama, Anith juga berharap karier lakonannya tidak akan berhenti separuh jalan usai penggambaran drama ini.
Peluang lakonan akan sentiasa diterima dengan hati terbuka demi mencapai impiannya untuk bergelar bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai seorang pelakon.
"Bagi saya, orang ramai masih lagi tidak mengetahui yang saya mempunyai kredibiliti untuk berlakon. Saya sudah bersedia menerima cabaran sebagai artis kerana dahulu pada awal penglibatan saya menerusi OIAM juga sudah terkena tempias.
"Tetapi sebenarnya apa yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya. Saya anggap ia sebagai iktibar untuk saya meneruskan kerjaya sebagai anak seni," kata gadis manis itu mengakhiri temu bual.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: