Tuesday, November 23, 2010

Pengalaman penjara Zizan Nin


ZIZAN NIN berlakon sebagai orang Sabah dalam drama Di Sebalik Tirai Besi.


PELAKON, Zizan Nin terpaksa menonton pelbagai filem berkisahkan kehidupan penjara seperti Oz, Prison Break dan beberapa filem Tamil demi untuk menjayakan watak sebagai Koperal Daniel.

Bagi Zizan, dia juga perlu mendalami dialek Sabah kerana wataknya dalam drama bersiri Di Sebalik Tirai Besi itu sebagai orang Sabah.

“Mujurlah kawan baik saya orang Sabah. Jadi dah biasa dengar dia cakap masa kami belajar di universiti dulu. Selain itu saya ada menghubungi pelakon berpengalaman tentang penjara, Abu Bakar Juah.

“Saya minta nasihat daripadanya berkenaan keadaan di penjara. Cara untuk tabik hormat kepada staf yang lebih tinggi pangkat atau yang lebih berpengalaman,” katanya yang pertama kali berlakon menggunakan pakaian seragam.

Tambahnya, dalam siri tersebut juga dia perlu belajar berkawat serta cara mengikat cota di pinggang.

“Saya belajar berkawat ketika di Penjara Bentong, Pahang. Cara yang betul mengenakan pakaian seragam yang saya ingat sampai hari ini,” ujarnya.

Dari segi cabaran mental pula katanya, dia telah mengingatkan dirinya sendiri agar sentiasa tidak ada prasangka negatif kepada banduan-banduan di dalam penjara.

Drama bersiri 13 episod terbitan MDAG Marketing Sdn. Bhd. itu yang kini disiarkan setiap Jumaat pukul 3.30 petang di TV2 itu telah mendapat kerjasama Jabatan Penjara Malaysia itu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah RTM, Datuk Ibrahim Yahaya.

Menurut pengarahnya, Jamal Khan, drama itu endedahkan kehidupan yang dijalankan oleh penghuni-penghuni penjara termasuk kakitangannya penjara sendiri.

“Kita mahu ubah persepsi masyarakat terhadap para banduan dan apa yang mereka lakukan di sebalik tirai besi ini. Banyak perkara yang masyarakat tidak tahu.

“Mereka di sini bukan hanya ditahan dan menjalani hukuman tetapi mereka belajar banyak perkara tentang kehidupan, agama dan sahsiah,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam menerbitkan drama itu pelbagai rintangan dan cabaran terpaksa ditempuhi terutamanya dari segi rombakan skrip yang tidak melepasi peraturan pihak penjara.

“Pada peringkat penulisan skrip yang digalas oleh Mazlan Manan. Dia telah menjalankan kajian dari segala aspek yang kita tidak tahu dan ditambah sedikit dengan unsur dramatik bagi melancarkan lagi jalan cerita.

“Kisah cinta dan unsur kekeluargaan diwujudkan agar drama bersiri ini tidak nampak seperti sebuah dokumentari tentang penjara. Walau bagaimanapun kami terpaksa merombak skrip asal kerana ada beberapa perkara yang tidak dibenarkan oleh penjara,” jelasnya.

Bagi pemilihan pelakon pula, Jamal memberitahu, melalui uji bakat yang dijalankan pihaknya telah memilih pelakon yang boleh menjiwai watak-watak untuk drana rantaian tersebut.

“Kami memilih pelakon berdasarkan watak dalam drama itu. Para pelakon yang kami pilih seperti Nasir Bilal Khan sebagai banduan dan Zizan Nin sebagai kakitangan penjara benar-benar menepati ciri-ciri yang kami cari.

“Penggambaran drama selama 38 hari itu telah dibuat di Penjara Bentong, Pahang,” katanya.

Sementara itu Abu Seman dalam ucapannya berkata, mesej utama yang ingin disampaikan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang peranan Jabatan Penjara sebagai sebuah organisasi yang membantu pesalah-pesalah yang dihukum penjara untuk.


ABU SEMAN (lima dari kiri), Ibrahim (empat dari kiri) bersama pegawai Jabatan Penjara Malaysia serta karyawan Di Sebalik Tirai Besi termasuk Jamal (belakang, empat dari kanan).


“Kita mahu masyarakat tidak lagi menganggap konsep penjara hanya sekadar menghukum tetapi kini kita lebih memfokuskan kepada pemulihan dan pemasyarakatan.

“Medium berbentuk filem dan drama yang mempunyai unsur hiburan ini berperanan dalam menggerak dan membangunkan minda masyarakat,” ujarnya.

Di Sebalik Tirai Besi mengisahkan tentang seorang pegawai penjara, Koperal Daniel lakonan Zizan Nin yang berasal dari Sabah, berusaha menjejaki ayahnya yang tidak dikenali.

Dia ditukarkan ke Semenanjung Malaysia dan bertugas di salah sebuah penjara, namun sebagai pegawai baru dia sering berhadapan masalah dengan beberapa banduan.

Namun tanpa pengetahuannya salah seorang banduan yang sering memberi masalah adalah bapa yang dicari selama ini.

Cerita yang berlatarbelakangkan kehidupan penjara ini juga turut menyelitkan kisah cinta antara Koperal Daniel dan Inspektor Izzatie lakonan Sheera Iskandar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: