Friday, November 5, 2010

Balqis pelajar terbaik keseluruhan UPSRA


Jamil Khir Baharom menyampaikan anugerah kepada Balqis Zainal sambil diperhatikan Che Mat Che Ali di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Memakan kismis setiap hari menjadi amalan Balqis Zainal, 12, yang muncul pelajar terbaik keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi tahun ini.

Murid Sekolah Rendah Agama Seri Rampai, Setapak ini juga mengehadkan masa menonton televisyen hanya sejam sehari untuk memberi tumpuan kepada pelajaran sehingga meraih A dalam kesemua sembilan mata pelajaran iaitu Al-Quran, Penulisan Jawi, Khat, Akhlak, Tauhid, Fikah, Sirah, Tajwid dan Bahasa Arab.

"Saya mengulang kaji seperti rakan-rakan lain, tiada had masa tetapi yang menjadi amalan adalah makan kismis setiap hari, tonton televisyen juga hanya sejam sehari," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan UPSRA di sini, hari ini.

Pengumuman keputusan tersebut dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Balqis yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah bidang agama mencatat purata kelulusan 95 peratus.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, seramai 132 murid mendapat 9A iaitu peningkatan 0.3 peratus berbanding pencapaian tahun lalu yang menyaksikan seramai 114 murid memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Pada masa sama katanya, calon yang mendapat 8A juga meningkat seramai 16 orang pada tahun ini berbanding jumlah keseluruhan tahun lalu sekadar 114 orang.

"Begitu juga pencapaian 7A, meningkat sebanyak 0.8 peratus dengan jumlah calon seramai 245 orang mendapat 7A berbanding hanya 193 orang pada tahun lalu," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: