Friday, November 5, 2010

Pelajar Jepun dalami budaya kita


SALAH seorang guru SMK Puchong Perdana menunjukkan cara menganyam ketupat kepada pelajar Jepun yang melawat sekolah itu di Puchong, Selangor, baru-baru ini.


PUCHONG - Program pengantarabangsaan adalah platform terbaik kepada pelajar dan guru di negara ini untuk mendapat pendedahan, pengalaman dan pengetahuan baru pendidikan di peringkat global.

Salah satu pendekatan yang sering diamalkan ialah lawatan sambil belajar melibatkan institusi pendidikan antara dua negara seperti yang dilakukan oleh Yamato-Nishi Senior High School dari Jepun yang berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Perdana di sini baru-baru ini.

Pengetuanya, Zuraidah Mohamad berkata, objektif utama program itu adalah bagi menggalakkan pertukaran budaya dan kehidupan antara pelajar dari kedua-dua negara.

Ia juga, katanya, untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dan guru dari kedua-dua sekolah untuk berkongsi maklumat serta pengalaman pengajaran dan pembelajaran (P&P) di negara masing-masing.

"Program ini juga dapat menggalakkan perhubungan sesama mereka melalui rangkaian Internet untuk terus berhubung dan berkongsi pengalaman serta maklumat berguna mengenai kedua-dua negara pada masa akan datang," jelasnya ketika ditemui pada program itu di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, kebolehannya berkomunikasi dalam bahasa Jepun merupakan salah satu faktor sekolah Yamato-Nishi bersetuju melawat SMK Puchong Perdana kerana mudah untuk kedua-dua pihak berkomunikasi dan saling memahami kehendak serta tujuan masing-masing.

Pelawat dari Jepun itu terdiri daripada 280 pelajar dan sepuluh guru.

Manakala Pengetua Yamato-Nishi Senior High School, Kazuhiko Matsui pula berkata, lawatan itu berjaya menggalakkan para pelajarnya memperluaskan penggunaan bahasa Inggeris ke tahap yang lebih tinggi selain membantu mereka berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, program lawatan itu merupakan antara aktiviti penting dalam kalendar tahunan mereka demi memberi pendedahan kepada pelajar.

"Diharap para pelajar dan guru-guru kami mempelajari tentang Malaysia seterusnya memperkenalkan negara ini kepada keluarga serta sahabat mereka apabila kembali ke Jepun," ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan semasa lawatan itu seperti kuiz kebudayaan, mencanting batik serta membuat roti jala dan teh tarik.

Aktiviti sukan tradisional Malaysia seperti sepak takraw, sumpit, congkak, terompah gergasi, batu seremban, konda kondi turut diperkenalkan kepada para pelawat seterusnya dimainkan oleh mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: