Thursday, November 4, 2010

Ismail pemuzik gergaji


PEMUZIK gergaji... Ismail Jejaka.


PELIK tapi benar. Barangkali ramai yang tidak menyangka gergaji juga mampu mengeluarkan bunyi-bunyian merdu seperti instrumen muzik lain.

Dengan hanya memetik mata-mata gergaji menggunakan ibu jari disertai kemahiran melentur bilahnya dengan cara tersendiri ternyata nada yang cukup merdu mampu dihasilkan.

Hal ini diakui oleh Ismail Jejaka yang mungkin merupakan satu-satunya pemuzik di negara ini malah mungkin juga satu-satunya didunia yang memperjuangkan penggunaan gergaji dalam karya muziknya.

Siapa sangka dengan hanya menggunakan gergaji yang harganya tidak sampai RM10, beliau mampu menjadikan muzik sebagai sumber pendapatan keduanya selepas kerjaya tetapnya sebagai ahli perniagaan.

Sebetulnya, pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1979 membuka lembaran buat Ismail.

Pertandingan berkenaan membuka ruang buatnya memulakan kerjaya bermain muzik setelah berjaya bergelar juara.

Percubaan berani Ismail ternyata berjaya memukau penonton. Bermodalkan RM8.50 membeli gergaji dan penggesek biola Cina, Ismail menggesek gergajinya mengalunkan lagu Hamidah diiringi orkestra Datuk Ahmad Nawab ketika itu.

Biar tidak popular di Malaysia, namun dia sudah ke merata negara memenuhi pelbagai undangan persembahan termasuklah Thailand, Filipina, Singapura dan Hong Kong.

"Di negara ini peminat lebih suka kepada penyanyi sehinggakan pemuzik dilupakan sedangkan tugas pemuzik lebih penting daripada penyanyi," kata Ismail yang kerap membuat persembahan bermain muzik di Bandung, Indonesia.

Bermuzik menggunakan gergaji jelas Ismail, tidak semudah yang disangka kerana risiko kecederaan selain nota-nota lagunya perlu diselangi dengan perasaan dan jiwa tersendiri.

Ismail sebelum ini pernah menghasilkan sebanyak tiga buah album berjudul Inspirasi Ismail Jejaka yang diterbitkan oleh Ahmad Nawab pada tahun 1988 dan album kedua oleh pemuzik S. Atan serta Arkib Negara pada tahun 2006.

Terbaru, Ismail muncul dengan album ketiga yang dirakamkan di Bandung, Indonesia yang diterbitkan oleh Eka Chandra berjudul Inspirasi Ismail Jejaka dengan Gergaji Ajaib dan terjual lebih 80,000 unit.

Bakat seninya bukan hanya statik di negara ini bahkan turut berkembang ke negara jiran, Indonesia. Dua tahun lalu Ismail telah membuat persembahan di Dewan Great Eastern, Bandung, Indonesia bersama Victor Hutabarat.

Kepada yang berminat mengundang Ismail membuat persembahan dalam acara tertentu atau ingin mempelajari teknik bermain muzik dengan gergaji boleh menghubungi Ismail Jejaka di talian 017-3130640, 016-2257025 atau 012-3716529.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: