Friday, November 5, 2010

Anugerah sukan Jabatan Pelajaran Negeri Perlis


Ahmad Amsyar Azman (kanan) dan Siti Nursyafiqah Hassan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati pada Majlis Anugerah Sukan JPN Perlis di Kangar, baru-baru ini.


KANGAR - Atlet terjun negara, Ahmad Amsyar Azman, dan atlet tenis, Siti Nursyafiqah Hassan diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2009 Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis.

Kedua-dua bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu menerima trofi dan sijil serta baucar wang tunai bernilai RM500 daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid pada Majlis Anugerah Sukan JPN Perlis di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah JPN, Mansor Lat.

Ahmad Amsyar, 18, yang baru kembali menyertai kontinjen negara ke Sukan Komanwel di New Delhi, India akan menyambung kembali pengajian pra- universiti di SSBJ sementara Siti Nursyafiqah, 18, kini mengikuti pengajian Pendidikan Jasmani di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah.

Dia pernah beberapa kali mewakili negara dalam sukan berkenaan termasuk meraih pingat emas dan perak pada Asian Age Group Championship di Indonesia pada 2008 dan dua pingat gangsa pada Youth Olympic Festival di Australia pada tahun yang sama.

Dalam pada itu, Mohd. Firdaus Mat Anuar dari SSBJ dan Izzati Farhanah Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan diumumkan Olahragawan dan Olahragawati 2008 JPN Perlis.

Pada majlis yang sama, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sena Azrul Ekhsan Azman dan Nur Merrah Amerra Azman diumumkan sebagai penerima Anugerah Tunas Harapan Putera dan Puteri 2009.

Manakala Mohd Azreez Kamal Bahrain dari SK Kubang Gajah dan Yus Syazlin Nabila Yusri dari SK Seri Indera diumumkan penerima Anugerah Tunas Harapan Putera dan Puteri 2008.

Anugerah Guru Berjasa Sukan 2008 disandang oleh guru SMK Syed Hassan, Dzulhawira Khalid sementara Anugerah Khas Sukan 2009 disandang oleh Penolong Kanan Kokurikulum SK Ujong Batu, Chum Mat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: