Friday, November 5, 2010

UMP sumbang buku kepada sekolah


DR. AHMAD Othman dan sebahagian daripada pelajar SK Jaya Gading menerima sumbangan sempena pelancaran Program Bank Buku di UMP, Pahang, baru-baru ini.


KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyumbangkan 400 buah buku ilmiah dan buku latihan (latih tubi) kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading bagi memupuk budaya membaca di kalangan generasi muda sempena pelancaran Program Bank Buku di sini baru-baru ini.

Pengarah Program, Fazliani Hairuman berkata, program bertemakan 'Bersama Kita Membantu' ini dapat menjalinkan hubungan yang erat antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan masyarakat setempat.

"Program ini sebagai usaha jitu UMP dalam menggalakkan masyarakat membaca terutamanya di kalangan pelajar sekolah sebagai rutin harian mereka.

"Sikap rajin membaca bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan, malah dapat memperbaiki masalah pengunaan bahasa ketika berkomunikasi," katanya.

Hadir sama, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Zuryati Che Mohd.

Program dianjurkan Persatuan Mahasiswa Improsh dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Pembuatan & Pengurusan Teknologi (FKPPT), UMP.

Sementara itu, Dekan FKPPT, Profesor Dr. Ahmad Othman berkata, buku-buku sumbangan ini berjaya dikumpulkan daripada kalangan mahasiswa dan staf UMP sendiri iaitu menerusi konsep derma-kumpul-derma yang dilaksanakan sejak September lalu.

"Pelajar dapat menambahkan pengalaman melalui bahan bacaan tambahan ini yang menjadi sebahagian daripada koleksi mereka.

"Saya berharap agar pihak sekolah dapat menempatkan buku-buku ini di sudut bacaan setiap kelas sebagai bahan bacaan dan rujukan pelajar," ujarnya.

Dr. Ahmad menambah, pihaknya memilih SK Jaya Gading dalam program ini sebagai tanda penghargaan jalinan hubungan erat dengan pihak sekolah yang merupakan sekolah angkat bagi fakulti itu sejak setahun lalu.

Seramai 70 pelajar tahun enam SK Jaya Gading bersama enam guru pengiring hadir menerima sumbangan buku pada majlis itu di Dewan Astaka, UMP baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: