Friday, November 5, 2010

Smart kit bantu mengajar


Zulkafli Abu Naim bersama pelajarnya membuat demonstrasi penggunaan Smart Kit di Batu Pahat, baru-baru ini.


Bukan mudah bergelar insan yang bernama guru. Mereka mendidik, mengajar anak bangsa tanpa mengenal erti jemu kerana ingin melihat anak didik mereka menjadi insan yang berjaya.

Setiap detik mereka akan

memikirkan jalan terbaik untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar dengan berkesan.

Jika anda seorang guru pasti amat mengenali istilah Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang digunakan oleh mana-mana guru untuk menerangkan subjek yang diajar secara lebih mudah kepada pelajar.

BBM sememangnya banyak membantu tugas para guru namun penghasilannya tetap bergantung kepada daya kreativiti guru berkenaan juga.

Bagi guru Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat, Muar, Johor, Zulkafli Abu Naim serta kumpulan pelajarnya mereka mempunyai cara tersendiri dalam menghasilkan BBM.

Dinamakan sebagai Smart Kit, BBM yang dihasilkan kumpulan pelajar dan guru sekolah tersebut merupakan antara ciptaan inovasi yang berjaya menambat hati juri pada Pertandingan Inovasi Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI 2010), Zon Selatan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Inovasi tersebut berjaya menobatkan mereka memenangi pertandingan tersebut di bawah Kategori Sekolah Rendah.

Menurut Zulkafli, Smart Kit pada asasnya merupakan BBM bagi menguji tahap pemahaman seseorang murid dengan cara pengajaran serta pembelajaran di dalam kelas.

"Ia juga mempraktikkan penggunaan kaedah stesen serta kuiz.

"Selain itu, ia dapat menguji tahap pemahaman seseorang murid dengan lebih cepat dan berkesan," ujarnya.

Smart Kit merupakan sekeping papan yang dilengkapi bersama togel suis serta lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi menentukan jawapan murid sama ada benar mahupun salah setiap kali mereka memilih jawapan kepada soalan yang diajukan oleh guru.

Mempunyai sistem kepelbagaian kedudukan jawapan (kedudukan jawapan tidak statik pada satu tempat sahaja) yang boleh mengelakkan murid menghafal kedudukan jawapan.

Guru harus memetik suis soalan terlebih dahulu dan diikuti pelajar untuk memetik suis jawapan.

Sekiranya jawapan pelajar tersebut tepat maka lampu akan menyala memberikan isyarat.

Kos penyelengaraan Smart Kit amat rendah kerana ia hanya menggunakan kuasa yang rendah untuk roperasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: