pakaian pun tak senonoh!
Saturday, January 30, 2010
Alyah: Saya Pakai Apa Yang Saya Nak Pakai...
DEMI fesyen dan mahukan penampilan yang menarik, Alyah sanggup melakukan apa sahaja asalkan dirinya puas hati!
Biarlah apa pun orang kata, Alyah kini tampil dengan fesyen yang dianggap semakin berani dan agresif.
Dengan hanya mengenakan baju pada paras punggung dan berstoking hijau yang nipis, Alyah tampil membuat persembahan di depan orang ramai ketika majlis pertandingan pencarian bakat baru sebuah majalah di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur , baru-baru ini.
Ditanya kepada Alyah mengenai pakaian yang direka oleh Jeffry Ibrahim itu, Alyah menjawab: “Saya memang suka berfesyen kerana fesyen adalah suatu yang ‘universal’.
“Jadi, saya akan gunakan kelebihan saya untuk ‘explore’ dunia fesyen ini. Saya tak rasa pakaian yang saya pakai itu keterlaluan kerana bukannya saya ‘berbikini’. Saya hanya menggunakan peluang yang ada dengan menggayakan pakaian yang ‘funky’.”
Penyanyi yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ini tidak menafikan mungkin ada sesetengah penonton yang terkejut dengan penampilannya itu.
Namun, jelasnya lagi: “Kalau saya tak create diri saya yang suka berfesyen ini, bila lagi…saya nak orang ambil tahu tentang diri saya kerana saya memang seperti itu.
“Dulu mungkin orang tak tahu tentang saya sebab mereka tak ambil tahu tetapi sekarang mereka sudah ambil tahu.”
Alyah sudah lama berada dalam industri ini sejak dia menyertai sebuah program realiti. Selepas itu, Alyah dilamar oleh The Fabulous Cats untuk sama-sama menyanyi dalam kumpulan itu.
Tidak lama selepas itu, Alyah dikatakan telah keluar daripada kumpulan itu kerana mengalami masalah peribadi.
Sekitar tahun lalu, nama Alyah kembali menjadi siulan peminat setelah dia tampil dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang (duet dengan Riz AF6).
Kata Alyah lagi, dia sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai impiannya termasuk berfesyen.
“Saya ada trend sendiri untuk direalisasikan. Setakat ini, belum ada lagi yang dating kepada saya dan mengatakan pakaian saya keterlaluan.
“Saya pakai apa yang saya nak pakai,” jelasnya lagi yang baru selesai membuat promo untuk Hot FM Big Jam.
Selain itu pakaian, Alyah juga selesa menggayakan rambut pendek untuk tahun 2010 ini.
Alyah berkata, rambut pendek ini merupakan nazarnya apabila dapat memasuki Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 baru-baru ini.
“Apabila dah masuk 2010 ini, saya teringin untuk membuka buku baru. Jadi, sebab itu saya memotong rambut pendek. Tambahan pula, saya perlu membayar nazar untuk gunting rambut jika dapat masuk AJL,” beritahunya lagi yang telah tampil dengan single ketiga berjudul ‘Realiti Dewi’.
Dalam perkembangan lain, Alyah juga sedang dalam proses untuk merakamkan album terbarunya.
“Insya-Allah, saya akan merakamkan single terbaru pada Februari depan,” ujarnya.
Burn Pilih Gadis Thailand Selepas Dikecewakan Gadis Melayu
CELOTEHNYA bersama teman setugas di corong radio membuat Burn atau nama sebenarnya Rueben Thevandran a/l Ramanath semakin menyerlah sebagai penyampai radio.
Burn yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ini turut melibatkan diri dalam bidang pengacaraan di samping meneruskan minatnya di dalam dunia seni suara.
Walaupun dilahirkan dengan berbangsa India, namun Burn seperti orang Melayu yang fasih berbahasa Melayu, terutamanya ketika mengacarakan majlis yang sepenuhnya menggunakan bahasa kebangsaan ini.
Penyampai radio Era ini, memberitahu dia dibesarkan dalam komuniti masyarakat Melayu dan mengakui kawan-kawannya juga terdiri daripada kalangan orang Melayu.
"Saya dibesarkan di Wangsa Maju yang kebanyakannya orang Melayu, boleh dikatakan 99 peratus kawan saya juga orang melayu," katanya semasa dihubungi mStar Online.
Akibat terlalu banyak bergaul dengan masyarakat Melayu, Burn mengakui akhirnya dia jatuh cinta dengan gadis Melayu yang bergelar Sabrina.
Diharapkan panas hingga ke petang, tetapi hujan di tengah hari, begitulah ibarat hubungan cinta Burn dengan insan yang bergelar Sabrina yang akhirnya kecundang selepas menyulam kasih lebih kurang tujuh bulan.
Burn yang pernah menjadi duta kepada roti High5 ini, memberitahu hubungan dia dengan kekasihnya yang keenam dalam hidupnya itu telah berakhir pada Ogos tahun lepas. Keputusan untuk berpisah itu juga dipersetujui kedua belah pihak tanpa wujudnya persengketaan antara mereka.
"Kami dah break (berpisah) demi untuk kebaikan bersama, saya rasa keputusan ini bukan dari saya sahaja, tetapi dia (Sabrina) turut bersetuju dengan keputusan yang kami ambil ini," katanya.
Selepas beberapa bulan kecewa dalam percintaannya, Burn kini mengakui hatinya telah dimiliki oleh gadis dari negara jiran, Thailand.
"Kekasih baru saya ini orang Thailand, kami bersama baru sebulan lebih, masih baru lagi," ujarnya sambil ketawa.
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan kekasih yang mesra dipanggil Kate ini, dia mengakui dirinya masih 'trauma' dengan kisah cintanya yang dulu.
"Buat masa ini, saya tidak meletakkan harapan apa-apa, lagi pun saya baru bersamanya sebulan lebih. So, banyak yang perlu saya tahu mengenai dirinya sebelum membuat apa-apa keputusan," ujarnya.
Burn yang bakal menjadi duta kepada produk minuman tenaga Isotonik Revive dan pembersih mulut jenama Listerine ini pada mulanya agak menyembunyikan punca perpisahannya dengan bekas kekasih, akhirnya membuka mulut memberitahu kejadian sebenar berpunca daripada Sabrina yang bermain kayu tiga.
Penyampai radio yang pernah berkhidmat dengan radio XFresh FM ini, turut memberitahu kejadian dia 'katoikan' bekas kekasihnya itu membuatkan dia kini banyak belajar daripada pengalaman lalu yang membuatkannya semakin matang menjalani arus kehidupan kini.
Anak bongsu daripada dua beradik ini, memberitahu dia kini lebih senang bersama insan yang bukan dari bidang yang sama dengannya.
"Bukan saya memilih artis atau orang biasa, tetapi setelah berpengalaman lebih kurang dua tahun dengan anak seni, saya rasa lebih senang memilih orang biasa sahaja, " ujarnya seperti menyembunyikan perasaan kecewa dengan cintanya terdahulu.
Sementara itu, Burn memberitahu dia kini akan menumpukan sepenuhnya kepada kerjayanya sekarang sebelum memperjuangkan bakatnya dalam industri seni suara yang menjulangkan namanya selepas berakhirnya AF1 satu masa dulu.
"Saya kena tengok 'market' (pasaran) sekarang, lagipun artis-artis baru terlalu ramai. Kerjaya saya di Radio Era ini pun sudah cukup baik," kata Burn.
Ana Rafali Pikat Aidit Alfian Melalui 'Youtube'
SELEPAS penyanyi Indie, Yuna Zarai popular dengan lagu-lagu ciptaannya sendiri, kini muncul seorang lagi permata dalam industri muzik tempatan.
Walaupun nama Ana Rafali masih terlalu awal untuk diletakkan sebaris dengan Yuna, namun tidak mustahil dia juga bakal mencetuskan fenomena baru sedikit masa lagi.
Gadis ayu berusia 25 tahun ini tampil memakai baju kurung dan kebaya sebagai identiti tersendiri, bakat membuat lagu dan bermain gitarnya tidak boleh dipandang sebelah mata.
Bermula dengan memperkenalkan lagu-lagu ciptaan sendiri di laman ‘Youtube’ sekadar suka-suka telah menjadi titik permulaannya ke bidang seni. Lagu tersebut mendapat perhatian daripada komposer Aidit Alfian.
"Mulanya saya sekadar suka-suka, semua lagu-lagu yang saya buat saya upload di You Tube, entah macam mana suatu hari abang Aidit Alfian telah menghantar mesej melalui email saya.
"Sejak itu kami berbalas-balas mesej sehinggalah dia menawarkan saya untuk bernaung dibawah syarikat rakamannya," ujarnya yang merupakan artis pertama di bawah label Aidit Alfian Record.
Menurut Ana, dia selesa bekerja dibawah Aidit kerana diberi kebebasan untuk mencorakkan sendiri albumnya.
"Abang Aidit memberi kebebasan kepada saya untuk berkarya, dia faham setiap lagu yang saya buat adalah melalui pengalaman sendiri.
"Cuma dia akan pantau, jika lirik atau lagu tidak sesuai dan tidak kuat dia akan tegur dan beri tunjuk ajar, lagi pula saya tidak gemar jika lagu saya terlalu diubah sehingga hilang keasliannya" ujarnya yang kini sudah mencipta 30 buah lagu dan masih menunggu masa untuk dirakam.
Graduan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) ini turut memberitahu mula berjinak-jinak ketika masih menuntut lagi. Katanya setiap kali mencipta lagu, rakan-rakan rapat akan menjadi orang pertama yang mengkritik.
"Saya menjadikan M.Nasir sebagai idola dan matlamat saya untuk bekerjasama dengan dia satu hari nanti. Kalau boleh saya ingin jadi seperti dia yang boleh menyanyi dan mencipta lirik," jelas Ana yang kini popular dengan lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, dia masih menganggap dirinya masih mentah dan terlalu awal untuk menyumbang lagu kepada artis lain.
"Memang ada artis yang minta lagu daripada saya, tapi saya rasa belum bersedia lagi. Biar saya buktikan dahulu bakat yang ada kepada masyarakat, barulah boleh beri lagu kepada orang lain.
"Saya masih mentah dalam industri ini, banyak lagi yang perlu dipelajari," jelasnya dengan nada rendah diri.
Mengenakan imej gadis melayu, Ana mengakui selesa dengan penampilanya sekarang. Malah dia juga sering keluar dengan mengenakan pakaian kebangsaan ini.
"Bermula di Universiti, setiap kali persembahan perlu berpakaian formal jadi saya sudah terbiasa mengenakan baju kurung atau kebaya, selesa. Di luar juga jika tidak melakukan aktiviti lasak saya selesa mengenakan baju kebangsaan ini," katanya yang sedang menyiapkan album sulungnya dengan memuatkan enam buah lagu ciptaan sendiri.
Ana juga meletakkan harapan yang tinggi untuk single keduanya ‘Tolong Ingatkan Aku’ yang bakal keluar tidak lama lagi diterima baik masyarakat.
KD-Raul Lemos Mesra Di Bali
SEKALI lagi penyanyi jelita Krisdayanti (KD) dan kekasihnya ahli perniagaan bergelar jutawan, Raul Lemos dilihat bermesra di Kuta, Bali.
Pelantun lagu Menghitung Hari itu dikatakan memasuki sebuah restoren yang terletak di Jl. Pantai Kuta, Kuta, Bali. Pasangan kekasih itu memasuki kedai makan tersebut bersama tiga orang lagi rakan mereka.
Namun ketika berada di restoren, KD dan Raul telah memilih untuk duduk berdua. Pasangan tersebut dikatakan tidak segan silu untuk berduaan, meskipun sehingga kini Raul masih menjadi suami kepada seorang wanita bernama Silvalay Noor Athalia.
Menurut sumber yang juga berada di tempat tersebut, KD dan Raul memakai baju yang sepadan. "KD pakai kemeja putih dan jeans, Raul pakai kaos putih dan jeans," ujar sumber yang dipetik dari detikhot.com.
Boleh jadi, KD dan Raul tidak lagi malu untuk berduaan kerana ketika itu tidak ramai pengunjung tempatan, sebahagian besar pengunjung restoren tersebut adalah pelancong asing.
Kesempurnaan Itu Membosankan SRK
PELAKON popular Bollywood Shah Rukh Khan (SRK) memiliki pendapat berbeza dari rakannya, Aamir Khan. Jika Aamir selalu berusaha untuk jadi seorang yang sempurna, SRK pula sebaliknya, dia tidak takut berbuat salah.
Menurut jejaka yang mendapat gelaran 'King Khan' ini, kesempurnaan itu adalah membosankan.
Seperti dikutip Apunkachoice.com, SRK menyatakan demikian di laman Twitternya, "Kesempurnaan itu membosankan. Tidak lancar...lemah...tidak selesai...tercemar..."
"Nasihatku: jangan terlalu mengejar kesempurnaan...kerana ketika kau mencapainya...tak akan ada apapun lagi untuk dikejar. Nikmati saja apa yang telah kamu capai," tambahnya.
Raja Bollywood ini juga mendorong para pengikut dan penggemarnya untuk menerima kekurangan sendiri.
"Beranilah melakukan kesalahan...bersedia menerima risiko...kemampuan untuk risiko dan kesediaan memperbaiki kekacauan...itu yang menjadikan kita kuat," tulisnya. SRK yang mula aktif Twitter pada awal tahun ini, kini sudah memiliki 81.000 pengikut.
'Harry Potter' Ingin Ikut Jejak 'Avatar'
KEJAYAAN memberangsangkan filem garapan James Cameron, Avatar, membuat beberapa pengiat filem berlumba-lumba untuk menggarap filem tiga dimensi. Malah, perusahaan filem Warner berniat untuk mengubah Harry Potter And The Deathly Hallowske format tiga dimensi.
Seperti dipetik Daily Mail, Warner telah memberitahu perkara itu di minggu yang sama ketika Avatar berjaya menjadi filem terlaris mengalahkan Titanic. Tidak hanya dua filem terakhir Harry Potter, mereka juga berniat mengarap Clash Of The Titans dalam format 3D.
Pada perancangan awalnya, bahagian pertama Harry Potter And The Deathly Hallows akan keluar pada 19 November 2010. Sementara, bahagian keduanya menyusul pada 15 Julai 2011 akan datang.
Selain Warner, beberapa syarikat perfileman lain juga merancang bakal mengikuti jejak Avatar. Bahkan MGM turut merancang untuk menggarap film terbaru James Bond dengan format tersebut, begitu juga dengan Sony Pictures yang sedang memikirkan untuk melakukan hal sama untuk filem Spider-Man 4.
Simon Cowell Lamar Lady Gaga Jadi Juri 'The X Factor' Versi Amerika
SIMON Cowell dilaporkan sedang cuba melamar bintang Pop, Lady Gaga untuk menjadi juri program realiti bakat The X Factor bagi versi Amerika Syarikat.
Gaga telah memukau Cowell apabila tampil dengan persembahan luar biasa di dalam tab mandi dalam The X Factor versi U.K, tahun lalu.
Sejak itu, Cowell teruja untuk membawa 'aura pelik' bintang itu ke dalam program yang sama bagi versi Amerika tidak lama lagi, demikian menurutnya kepada laman web contactmusic.com.
"Simon merasakan Lady Gaga adalah seorang bintang yang hebat dan dia amat menyukai tenaga dan kelincahan penyanyi itu.
"Perbincangan sedang diadakan bagi menentukan peranan Lady Gaga dalam program itu nanti," demikian menurut satu sumber.
Selain Gaga, bintang-bintang lain yang turut dilamar sebagai barisan juri termasuklah Mel B Spice Girls, Paula Abdul dan Cheryl Cole.
Matthew McConaughey Lalui 40 Hari Tanpa Seks
AKTOR Matthew McConaughey dikhabarkan sedang melalui tempoh enam minggu yang menyukarkan kerana dilarang mengadakan hubungan seks bersama kekasihnya, Camila Alves.
Keputusan itu terpaksa diterima oleh McConaughey kerana kekasihnya masih dalam proses berpantang selepas melahirkan bayi perempuan mereka, Vida pada 3 Januari lalu.
Alves yang berasal dari Brazil, mempercayai tradisi negara itu yang melarangnya daripada melakukan sebarang aktiviti berat termasuklah bersukan atau pun hubungan seks selama 40 hari bagi memulihkan semula sistem dalaman dan luaran tubuhnya secara menyeluruh.
Menurut Alves yang juga seorang penyampai TV, "Tradisi di tempat asal saya menetapkan tempoh berpantang selama 40 hari untuk memulihkan semula sistem badan selepas melahirkan anak.
"Badan saya perlu berehat sepanjang tempoh ini. Sepanjang tempoh ini, saya tidak boleh melakukan sebarang kerja yang berat dan lasak, termasuklah tiada hubungan seks, tidak boleh ke gimnasium dan hanya mengambil makanan yang berkhasiat.
"Tradisi ini adalah satu perkara yang baik untuk badan bagi memulihkan sistem badan secara perlahan-lahan dan semulajadi. Selepas 40 hari, sistem badan akan pulih seperti sedia kala," demikian menurutnya kepada StyleList.com.
Hanya tinggal tiga minggu sahaja untuk Alves melengkapkan tempoh berpantang 40 hari itu.
Dia mengakui tidak sabar untuk kembali aktif dan kini sedang menghitung hari untuk menamatkan tempoh berpantangnya pada 14 Februari depan, yang secara kebetulan jatuh pada Hari Kekasih.
Dakota Fanning Tidak Kisah Bercumbu Dengan Kristen Stewart
AKTRES remaja Dakota Fanning dilaporkan langsung tidak kisah terhadap adegan cium dengan aktres Kristen Stewart dalam filem terbaru mereka, The Runaways.
Bintang berusia 15 tahun itu memainkan watak Cherie Currie dalam filem yang mengisahkan kisah kehidupan sebuah kumpulan rock perempuan yang masyhur di era 70an.
Tambahnya, adegan itu bukan sesuatu yang memalukan. Sebaliknya, Fanning menyifatkan ia sebagai sesuatu yang agak pelik untuk dilakonkan.
Bercakap di sidang media The Runaways bersempena dengan Festival Filem Sundance, Fanning berkata, "Saya langsung tidak kisah dengan babak cium itu.
"Adegan cium itu memang memberahikan dan watak Joan (lakonan Kristen Stewart) dan Cherie tidak ubah seperti merpati dua sejoli."
Nidji 'pukau' 500 peminat
Ternyata kunjungan Nidji bagi mempromosikan album ketiga Let’s Play masih lagi berbisa dengan keunikan nuansa muzik pop alternatif mereka. Band muzik dari Jakarta yang dianggotai lima anak muda ini membuktikan mereka mempunyai kuasa luar biasa untuk menarik kira-kira 500 peminat turut serta menari dan menikmati muzik mereka ketika mengadakan ‘Showcase Nidji’ di Dragonfly.
Nidji bermaksud Pelangi dalam bahasa Jepun itu berjaya menghangatkan suasana dance floor dengan persembahan mantap, hebat dan bertenaga menerusi rangkaian lagu hits dan popular mereka dari ketiga-tiga buah album.
Kemunculan Giring Ganesha, vokalis Nidji yang digosipkan bercinta dengan janda beranak satu, Cynthia, disambut dengan teriakan kuat apabila band berkenaan memulakan persembahan dengan lagu Biarlah. Pentas semakin hangat apabila Nidji meneruskan persembahan melalui lagu tema Heroes iaitu Shadows dan semakin ‘gamat’ bila mereka mendendangkan lagu single terbaru, Sang Mantan. Tidak ketinggalan lagu tema filem hits, Laskar Pelangi yang dinanti-nantikan penonton.
Nidji berjaya mengimbangkan persembahan yang konsisten sepanjang konsert dengan menerokai ruang kreativiti yang tiada batasan dalam muzik mereka diiringi dengan pelbagai gerakan unik serta bertenaga ketika melakukan persembahan. Hasil persembahan mereka sama seperti yang didengar di dalam cakera padat tetapi ketika persembahan mereka telah menampilkan improvisasi. Suasana diwarnakan dengan stail personaliti setiap anggota band muzik melalui penampilan funky dengan imej seluar jeans skinny.
Sebelum mengundurkan diri, peminat nyata masih belum berpuas hati dengan persembahan Nidji dan melaungkan "We want more" ke arah pentas. Tidak menghampakan peminat, Nidji dengan bertenaganya mempersembahkan lagu Heaven sebagai penutup. Bagi memeriahkan lagi persembahan pada malam itu, kumpulan Sixth Sense dan Aizat turut mempersembahkan lagu popular mereka. Selain itu, pihak Universal Music, selaku penganjur showcase tersebut turut memperkenalkan tiga artis baru di bawah naungan mereka iaitu Anna Raffali, Shah dan Klangit.
Pemecatan Tengku Fakhry tidak boleh disemak
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam membuat keputusan bahawa tindakan Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menyingkirkan adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada Majlis Perajaan Negeri itu tidak boleh disemak semula.
Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa diraja kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh keluarga diraja itu.
Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan telah mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Negeri pada 16 September tahun lalu.
|
|
Mengikut Perkara 5 Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, majlis itu bertanggungjawab mengesahkan waris takhta dan menentukan sama ada terdapat kekosongan pada takhta disebabkan ketiadaan sultan di negeri itu untuk tempoh lebih daripada setahun.
Dalam penghakimannya semalam, Hakim Mohamad Ariff memutuskan isu mengenai kedaulatan, hak dan kuasa diraja akan tetap dipelihara dan diakui oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.
MBPJ cekup lapan wanita asing - Operasi dua jam serbu enam pusat urut ekoran laporan Kosmo!
PETALING JAYA - Sebanyak enam pusat urut termasuk dua daripadanya yang menawarkan perkhidmatan seks diserbu dalam satu operasi mengejut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini petang semalam.
Dalam operasi yang dibuat ekoran laporan Kosmo! dua hari berturut-turut serta berikutan luahan dukacita Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid mengenai gejala maksiat di Selangor, MBPJ menahan 10 orang gadis urut dengan lapan daripadanya merupakan warga asing manakala dua lagi rakyat tempatan.
Tiga daripada lapan gadis urut warga asing itu berasal dari Indonesia, tiga dari Thailand sementara dua lagi dari China.
Dua lagi yang ditahan ialah wanita tempatan dan masing-masing berasal dari Sarawak dan Kuala Lumpur.
Kelapan-lapan gadis urut yang berusia antara 17 hingga 30 tahun itu ditahan berasingan dalam operasi selama dua jam bermula pukul 6 petang di sekitar Dataran Sunway dan Damansara Perdana.
Pengarah Penguat Kuasa MBPJ, Mohd. Fauzi Maarop berkata, kesemua warga asing yang ditahan itu didapati menyalahgunakan pas lawatan dengan menggunakannya untuk bekerja sebagai gadis urut di negara ini.
Surat saman dalam 48 jam - 1,000 kamera kesan pesalah trafik mula beroperasi pada Ogos ini
PUTRAJAYA - Mulai Ogos ini, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik terutama memandu laju dan melanggar lampu isyarat akan menerima saman yang dihantar terus ke alamat mereka dalam tempoh 48 jam selepas kesalahan itu dikesan.
Tindakan itu akan dilaksanakan apabila pengunaan Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) dikuatkuasakan, yang membolehkan gambar wajah pemandu dan nombor plat kenderaan mereka dirakam terus melalui teknologi radar kamera itu.
Maklumat yang dirakam itu akan dihantar terus ke pusat kawalan yang akan memprosesnya bagi penghantaran saman kepada pesalah dalam tempoh 48 jam, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh.
Buruh tanggung 'bisa' merempit
SEREMBAN - Seorang buruh kontrak, Saiful Irwan Rubu, 23, menjadi pesalah kedua dalam masa seminggu dikenakan hukuman berat atas kesalahan menjadi pelesit rempit selepas Mahkamah Majistret Seremban menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atasnya semalam.
Tidak cukup dengan itu, Majistret Mohd. Aizuddin Zolkefli menerusi penghakiman yang dibacakan oleh Majistret Marsilawati Mohamad Shah turut mengenakan denda RM7,000 serta menggantung lesen motosikal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan pelesit rempit yang lain.
Saiful didapati bersalah menyertai lumba haram di Taman Mentari Heights di sini pada Februari 2006 mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum sehingga RM15,000.
Juruteknik didakwa hina Almarhum Sultan Johor
SEREMBAN - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail di dalam blog adukataruna.blogspot.com.
Tertuduh, Khairulizam Abdul Ghani, 29, yang bekerja sebagai juruteknik membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zambri Bakar.
Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu dengan memuat naik ayat-ayat yang mempunyai elemen-elemen menghina Almarhum Sultan Johor menggunakan laman blog itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 7.25 malam hingga 9.05 malam di No. 297 Rumah Rakyat Panchor di sini pada 22 Januari lalu.
Madu bumi Kenyalang
ORANGNYA sederhana. Tetapi memiliki bakat luar biasa. Dia, Izyan Alirahman. Begitu nama diberi. dilahirkan di Miri, Sarawak dan pada usia 12 tahun, berpindah ke Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur, hobinya menulis lirik dan mula bermain instrumen kerana mengisi kebosanan selepas pulang sekolah. Dari situ, bakatnya dalam bidang seni bercambah menjadi sebuah ladang yang kini sedang ranum di seluruh dunia.
Mendalami ilmu fesyen dan undang-undang seawal usia belasan tahun, ironi, tiada salah satu bidang ini yang telah membuat Izyan terkenal. Sebalik, muzik telah menjadikan gadis manis ini dikagumi seluruh dunia.
Kini, seantero dunia, daripada Texas, Amerika Syarikat atau Tokyo, Jepun membawa kepada penduduk di Gong Badak, Terengganu mengenali gadis manis ini. Tetapi bukan dengan nama Izyan.
Sebaliknya, Zee Avi. Ya, Zee Avi, si pelantun lagu-lagu hitnya seperti Bitter Heart, Honey Bee dan Kantoi kini harum merentas peta dunia.
Nama Zee Avi mula meledak dalam populasi hiburan apabila debut perdananya yang menggunakan namanya sendiri dipasarkan pada tahun lalu. Ironi, dua tahun sebelum debutnya dipasarkan secara komersial, dia terlebih dahulu telah menyerang komuniti alam maya menerusi lagu pertamanya secara suka-suka.
Waktu itu, September 2007. Dunia maya telah menjadi medium yang memperkenalkan dirinya ke seluruh dunia. Suatu hal yang luar biasa bagi seorang gadis yang tidak bercita-cita menjual dirinya kepada dunia seperti mana banyak individu lain begitu opurtunis dengan teknologi terkini. Dia hanya menunaikan hajat dan menggembirakan hati temannya. Itu sahaja.
Namun sebaliknya telah berlaku. Kata Zee Avi kepada sebuah majalah antarabangsa: "Saya meletakkan video yang saya buat khusus untuk seorang teman kerana dia terlepas menyaksikan gig saya.
"Sebenarnya dia mahu persembahan saya itu disimpan dalam MP3, tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu melakukannya. Berbekalkan sebuah laptop dan video, saya rakamkan lagu Poppy buat dia di laman YouTube. Sewaktu saya ingin membuang video tersebut, teman saya meminta saya meninggalkan saja lagu itu you tube."
Mengejutkan kerana selepas beberapa hari, dia menerima respons positif yang cukup luar biasa termasuk respons yang ditinggalkan oleh pemain drum Racounter, Patrick Keeler yang telah membuka pintu buatnya kepada pengurus White Stripes, Ian Montone. Beberapa bulan kemudian, dengan rasminya, Zee Avi menjadi artis naungan Brushfire Records.
Ia sebuah perjalanan di luar dugaan. "Malah saya juga tidak memberitahu ibu bapa dan rakan-rakan tentang hal itu (dilamar Brushfire), sehingga segala urusan selesai. Sedar-sedar
saya telah berada di dalam pesawat dari Kuala Lumpur menuju Amerika untuk merakamkan album dengan syarikat antarabangsa," katanya.
Maka lahirlah Zee Avi pada pertengahan tahun lalu. Sebaik masuk pasaran, album debut tersebut terus menduduki nombor ke 130 dalam carta US Billboard Hot 200, nombor dua menerusi carta US Billboard Top Heatseekers. Ia kemudian terjual sebanyak 6,000 unit di Amerika hanya dalam masa dua minggu.
Paling mengejutkan, single pertamanya, Bitter Heart meledakkan sejarah tersendiri di Jepun apabila menjadi single pertama selama tiga minggu berturut-turut dalam carta Japan's Top 100 Singles.
Sementara lagu Kantoi yang menggabungkan bahasa Inggeris dan Melayu turut menjadi lagu yang paling digemari di seluruh dunia.
"Sangat menarik apabila khalayak luar menghargai 'seni Manglish'. Kita (orang Malaysia) memang bercakap dalam dwibahasa seperti itu," katanya.
Teruja dengan sambutan luar biasa itu, resipi Zee Avi melahirkan karya-karya segar itu mudah. Berbekalkan uklele yang dianggap gadis ini sebagai instrumen paling sesuai dengannya kerana berjari kecil, dia menghasilkan untaian lagu jazz mirip aliran 1920 tetapi berjaya menawan khalayak masa kini.
"Saya membuat lagu secara semula jadi dan ia terjadi begitu sahaja. Saya tidak nafikan banyak terinspirasi daripada muzik-muzik yang saya suka. Di kalangan teman-teman, hanya saya yang cenderung dengan muzik jazz. Saya rasakan muzik ini dekat dengan saya, manis dan kedengaran jujur," katanya tentang karya-karya yang dihasilkan.
|
|
Bagaimanapun kata gadis yang kini menetap di Amerika, dia menolak untuk dilabelkan sebagai penyanyi jazz. Mengakui muzik jazz di Malaysia mempunyai kelas tersendiri kata Zee Avi: "Saya tidak mahu menggelarkan diri saya sebagai penyanyi jazz. Saya hanya melakukan apa yang saya suka."
Kini dalam kesibukan mengisi padatnya jelajah memperdengarkan karya-karya ke serata dunia, dia mula kembali menulis dan menghasilkan lagu untuk album baru. Cuma kata Zee Avi, kali ini dengan perjalanan kehidupan yang sudah berbeza, dimensi karyanya turut berubah.
Berbanding dahulu dia banyak menghasilkan karya di dalam bilik tidur, kini karyanya banyak dihasilkan di jalanan.
Katanya: "Apabila kita selalu berjalan, inspirasi datang daripada pelbagai arah. Jadi saya mula menulis lirik melalui pengalaman baru sekarang di sebalik kepadatan jadual jelajah saya."
Pertarungan tiga penjuru Apiz, Tom, Sara
DEBARAN kini pasti dirasai oleh tiga anak muda, Muhamad Hafidz atau lebih dikenali sebagai Apiz, Raja Farah Afzal (Tom) dan Maisarah (Sara) apabila mereka bakal berentap sesama sendiri di gelanggang akhir My Starz LG musim ketiga (My Starz LG 3) Ahad ini.
Setelah tiga bulan bertarung dalam konsert mingguan, peringkat akhir My Starz LG akan menentukan individu yang layak diumumkan sebagai juara lalu membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, televisyen paparan cecair kristal (LCD) - LG SL90 dan menerima kontak rakaman bersama Warner Music Malaysia.
Tempat kedua pula memenangi wang tunai RM15,000 dan barangan LG Chocolate Phone (BL40) manakala tempat ketiga menerima RM5,000 dan set teater rumah - HT964PZ sumbangan LG.
Menjadi peserta tunggal lelaki sambil diapit oleh dua bunga di pengakhiran pertandingan bukan bermakna Apiz, 22, menerima laluan mudah untuk bergelar sang juara My Starz LG edisi ketiga.
Apiz atau nama penuhnya Muhammad Hafidz Muhammed Kamal sebaliknya menyedari dua peserta wanita itu memiliki kelebihan masing-masing sekali gus tidak boleh diperlekeh begitu sahaja.
"Saya tak anggap jadi satu-satunya peserta lelaki maka boleh menang dengan mudah. Ia bagaimanapun lebih menakutkan saya kerana harus melipat ganda usaha bersaing dengan Tom dan Sara.
"Tak dinafikan, perasaan gemuruh memang ada dalam diri. Tapi saya tak mahu cepat patah semangat dalam soal ini. Paling penting, saya kena percaya pada kemampuan diri ketika berada di pentas akhir nanti.
"Saya bakal menyanyikan lagu medley Suci Dalam Debu dan Terharu secara solo. Untuk lagu duet pula, saya akan bergandingan dengan Tiar dari kumpulan Jinbara menerusi lagu Patri dan Farhana," ujarnya yang meminati lagu jalur balada dan rock.
Biarpun Raja Farah Afzal Raja Ikram atau lebih mesra disapa Tom pernah melangkahkan kaki pada World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat Julai lalu, dia tidak sesekali memandang rendah terhadap kelebihan peserta lain.
"Saya tetap buat persediaan untuk peringkat akhir My Starz LG dengan memantapkan vokal dan lihat laman web popular YouTube untuk belajar lagu-lagu yang ingin dinyanyikan.
"Saya akan mendendangkan lagu medley berentak rock daripada kumpulan Search dan Bunkface iaitu Isabella dan Revolusi. Saya juga akan berkolaborasi dengan Mus (May) melalui lagu Senja Nan Merah.
"Siapa saja tak mahu menang kalau dah bekerja keras sampai tahap sekarang. Walau apa jua keputusan kelak, saya tetap terima dengan hati terbuka kerana peluang dapat sertai My Starz LG sendiri dah jadi kebanggaan kepada diri," ujar wanita berusia 23 tahun itu.
Pemilik nama penuh Maisarah Ismail atau Sara, 22, bagaimanapun meluahkan perasaan teruja apabila berpeluang mara pada peringkat akhir setelah berhempas-pulas sejak beberapa bulan lepas.
"Buat persembahan di pentas besar dengan disaksikan penonton lebih ramai agak membimbangkan saya. Tapi selepas fikir tentang usaha yang dilakukan sebelum ini maka saya terus berfikiran optimis.
"Saya akan nyanyikan lagu medley Bunga-Bunga Cinta dan Senggol-Senggolan. Untuk lagu duet, saya akan mendendangkan lagu Penawar Rindu dengan susunan muzik baru bersama Adam (Akademi Fantasia 2).
"Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik pada malam akhir. Kalau menang, nampaknya ia menjadi hadiah hari jadi paling bermakna kepada saya," jawabnya yang dilahirkan pada 2 Februari 1987.
Format pemarkahan My Starz LG ditentukan sebanyak 50 peratus daripada juri-juri, Azmeer, Ajai dan Mas Idayu. Markah selebihnya pula 50 peratus dinilai daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Undian SMS mula dibuka kepada pengundi mulai 30 Januari dan ditutup sejurus berakhirnya persembahan daripada semua peserta pada 31 Januari.
Konsert akhir itu bakal dihoskan oleh Nazruddin Habibur Rahman atau Naz dan Puteri Andreanna Syigim (Anne).
Ia juga diserikan dengan artis jemputan seperti Jaclyn Victor pada pembukaan dengan lagu Gemuruh dan kemunculan dua penyanyi tersohor dari dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia - Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti.
Siti bakal mendendangkan lagu Cinta Ini manakala Krisdayanti pula menyanyikan lagu Aku Wanita Biasa. Sebelum tirai konsert akhir My Starz LG ditutup, audiens bakal dipersembahkan dengan gandingan mantap dua diva itu menerusi lagu Amarah.
Konsert akhir My Starz LG dipancarkan secara langsung melalui stesen TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam.
Sorakan untuk RTM - Hak penyiaran perlawanan Piala Dunia 2010
RADIO Televisyen Malaysia (RTM) diberi hak sebagai penyiar berlesen Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan pada 11 Jun hingga 12 Julai ini.
Berita gembira itu disahkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam.
Menurutnya, RTM akan menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.
"RTM berjaya mendapatkan pakej tawaran rancangan percuma sebanyak 26 jam sepuluh minit untuk siaran di TV1 dan TV2.
"Hampir semua penjadualan siaran langsung perlawanan akan bermula pada pukul 11 malam," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara RTM dengan pemegang hak siaran eksklusif Piala Dunia FIFA 2010, Esprit Media Sdn. Bhd. semalam.
Pada majlis itu, RTM diwakili Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf sementara Esprit Media Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusan, Datuk Ahmad Zaharul Annuar.
Rais berkata, dianggarkan lebih 18 juta penonton akan menyaksikan siaran itu.
"RTM kali ini juga menerima undian yang baik apabila rata-rata perlawanan membabitkan pasukan negara-negara terbaik di dunia seperti England, Portugal dan Brazil memihak kepada RTM," katanya.
Sementara menanti perlawanan bermula penonton akan disajikan dengan siaran menarik lain. RTM telah menjadi penyiar utama Piala Dunia sejak 1974, 1978, 1986, 1990,1994, 1998, 2002 dan 2006. Tema penyiaran untuk tahun ini ialah 'Sorakan 1Malaysia 1Dunia'.
Gadis tak makan, minum 15 hari
PORT-AU-PRINCE - Doktor-doktor terkejut apabila seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, Darlene Etienne berada dalam keadaan stabil kelmarin selepas 15 hari terperangkap di bawah runtuhan tanpa makan dan minum.
"Faktor semula jadi selalu memeranjatkan kita," kata ketua perubatan pasukan pertahanan awam Perancis di Haiti, Claude Fuilla selepas mereka berjaya membawa keluar mangsa dari sebuah bangunan yang runtuh di sini pada Rabu lalu.
Jiran-jiran menemui Etienne sebelum memaklumkan kepada pihak penyelamat antarabangsa namun mangsa menderita kehilangan air dalam badan dan kini menerima rawatan di sebuah kapal tentera laut Perancis, Siroco di perairan Haiti.
"Saya tidak mampu menjelaskan secara perubatan tetapi gadis itu memberitahu saya bahawa dia tidak makan atau minum dan terperangkap sejak 12 Januari lalu," kata ketua doktor di atas kapal Siroco, Evelyne Lambert.
Etienne dalam keadaan baik serta sudah mampu untuk tidur dan Lambert berkata, mangsa mengalami beberapa masalah kerana dia tidak dapat bergerak dalam tempoh lama semasa terperangkap menyebabkan kakinya berasa sakit.
Namun, kakinya kini telah dapat digerakkan.
Sementara itu, seorang pegawai pejabat penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Elisabeth Byrs berkata, bekalan ubat semakin kurang sekali gus mengancam kesihatan 200,000 penduduk yang memerlukan rawatan.
Seorang jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Joe Lowry berkata, sistem penjagaan kesihatan Haiti musnah teruk apabila ramai petugas terbunuh atau cedera manakala banyak hospital dan stok perubatan yang musnah.
Seorang pegawai tentera Amerika Syarikat (AS), Douglas Fraser memberitahu, kapal hospital tentera laut AS, USNS Comfort sudah mencapai had penuh apabila merawat lebih 3,000 pesakit.
Pihaknya merancang untuk mendirikan pusat baru yang dapat menampung 5,000 pesakit di sebidang tanah di Haiti.
Gempa bumi yang melanda pada 12 Januari lalu menyebabkan lebih 200,000 orang dianggarkan terbunuh manakala 170,000 mayat sudah dikebumikan atau dibakar.
Komputer Apple iPad tiru P88 keluaran China?
SHANGHAI - Komputer iPad yang dilancarkan syarikat Apple di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu lalu didapati mirip peralatan skrin sentuh yang dikenali dengan nama P88 di China yang telah dijual sejak enam bulan lalu.
Syarikat Shenzhen Great Loong Brother Industrial Co. yang mengeluarkan P88 itu mendakwa Apple meniru komputer skrin sesentuhnya.
"Kami tidak faham. Kenapakah syarikat itu (Apple) membuat sesuatu yang sama dengan kami," kata seorang eksekutif syarikat tersebut.
Walaupun P88 lebih berat dan tebal berbanding iPad, komputer itu mempunyai skrin lebih besar dan simpanan memori lebih banyak berbanding iPad.
Komputer keluaran China itu dilancarkan pada Ogos lalu dan dipamerkan di pertunjukan elektronik di Berlin pada tahun lalu.
Model iPad termurah dengan sambungan Wi-Fi dan memori 16 gigabit akan dijual pada harga AS$499 (RM1,702) di AS dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, syarikat Fujitsu di Jepun mendakwa pihaknya telah menggunakan nama iPad pada alat mudah alih keluarannya pada 2002 di AS.
Menurut syarikat Fujitsu, ia pernah mengeluarkan alat itu yang mempunyai skrin sentuh bagi membolehkan kerani pasar raya menyimpan data di dalamnya.
Lelaki cium ayam disiasat
NEW YORK - Agensi pengangkutan awam New York melakukan siasatan berhubung satu rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki mencium seekor ayam hidup di dalam sebuah tren bawah tanah.
Seorang arkitek, Kylie Kaiser berumur 27 tahun merakamkan imej video itu semasa dia bersama dua rakannya menaiki tren tersebut pada pukul 7 malam pada waktu tempatan Selasa lalu.
"Lelaki itu berbaring di atas lantai, cium, memeluk dan mengangkat ayam itu di dalam tren itu," kata Kaiser kelmarin.
Menurutnya, lelaki itu tidak mengendahkan penumpang lain yang berada di dalam tren tersebut.
Beberapa penumpang yang melihat gelagat lelaki itu turut ketawa.
Kaiser berkata, penampilan lelaki itu menunjukkan dia seperti tidak mempunyai rumah kerana terdapat kereta sorong beli-belah dipenuhi tin minuman di sebelahnya.
Jurucakap Pengangkutan Awam Pusat Bandar New York, Charles Seaton berkata, tidak ada penumpang yang melaporkan kejadian itu.
Kaiser merakamkan video dan gambar lelaki itu dengan menggunakan gajet Blackberry dan menyiarkan di laman blognya.
Imej rakaman itu boleh dilihat di laman YouTube.
Telefon bimbit selamatkan wanita
EAST BRUNSWICK, Amerika Syariakt (AS) - Seorang wanita yang terperangkap di dalam keretanya yang sedang terbalik berbual dengan menggunakan telefon bimbit semasa dia menunggu untuk diselamatkan.
Kereta yang dipandu wanita yang tidak dikenali itu terbabas semasa jalan berais di sebatang jalan raya di East Brunswick, New Jersey kelmarin.
Pemandu itu dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaaan.
Beberapa anggota polis dan bomba kemudiannya tiba di tempat kejadian untuk mengeluarkannya dari kereta itu.
Roket tentera rempuh rumah
JAKARTA - Pemerintah Indonesia meminta maaf kepada seorang wanita yang kehilangan sebelah kakinya apabila sebuah roket milik tentera mengenai rumahnya dalam satu ujian, kata seorang pegawai semalam.
Beberapa pegawai akhirnya mengaku bahawa ujian roket buatan Indonesia mengenai sebuah rumah di Lumajang, di Jawa Timur pada Rabu lalu.
Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan peluru berpandu itu gagal dalam ujian tetapi mendarat di kawasan kolam ternakan udang.
Jurucakap Kementerian Penyelidikan dan Teknologi, Anny Sulaswatty berkata, sebelah kaki wanita yang berumur 50 tahun itu dipotong manakala suaminya yang berusia 60 tahun dimasukkan ke sebuah hospital kerana melecur.
"Kami masih melakukan siasatan mengenai kesilapan yang berlaku itu. Kejadian itu berlaku mungkin disebabkan oleh angin kencang semasa pelancaran," katanya.
"Bayaran ganti rugi telah ditawarkan kepada mangsa. Ia menggambarkan bahawa kami berasa amat kesal," katanya.
Roket sepanjang tiga meter yang dikenali sebagai RKN 200 itu dikeluarkan oleh sebuah konsortium pemerintah dengan dianggotai oleh kontraktor Pt Pindad dan Kementerian Penyelidikan dan Teknologi.
Kisah usahawan kavadi
Membawa kavadi dan susu segar antara ritual kepada penganut Hindu ketika menyambut Thaipusam. Pada masa yang sama, ia juga menjana pendapatan kepada mereka yang menjalankan bisnes Kavadi.
DUA bulan sebelum sambutan Thaipusam, Annapurani Veeran Reddy, 68, begitu sibuk dengan kerja-kerja membuat kavadi.
Usahawan yang menjual barang-barang untuk upacara keagamaan masyarakat Hindu sejak lebih tiga dekad itu memulakan kerja-kerja membuat kavadi dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.
"Lazimnya saya mula sibuk menerima tempahan sekitar November kerana kerja-kerja untuk menyiapkan kavadi mengambil masa yang agak lama," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Warga emas yang berasal dari Sunway, Batu Caves itu yang mendapat tempahan daripada penduduk di sekitar Lembah Klang mengehadkan tempahan yang diterimanya. "Saya hanya ambil 50 tempahan saya kerana mahu menjaga kualiti," jelas Annapurani yang tidak melayan tempahan pada saat-saat akhir.
|
|
"Benar, perniagaan membuat kavadi lazimnya dimonopoli oleh golongan lelaki yang terdiri daripada tukang kayu tetapi saya mahu buktikan bahawa wanita juga mampu melakukannya. Bahkan ada pelanggan yang kurang percaya kavadi yang dijual adalah hasil kerja tangan saya," kata pemilik Kedai Annapurna Enterprise itu.
Sejak lebih dua abad yang lalu, perayaan Thaipusam disambut meriah di negara ini. Perayaan yang cukup sinonim dengan Dewa Murugan itu mula bertapak di Malaysia apabila seorang pedagang India, K.Thamboosamy Pillai mengutarakan idea mahu membina kuil untuk Dewa Murugan di Malaysia.
Pillai yang juga pengasas Kuil Sri Maha Mariamman di Kuala Lumpur telah memilih sebuah gua batu kapur yang terletak di Batu Caves untuk membina kuil tersebut.
Kerja-kerja pembinaan selesai dalam tempoh setahun. Pada 1892, Pillai mengadakan perayaan Thaipusam di Batu Caves. Ritual yang dipelopori oleh Pillai itu diteruskan sehingga hari ini oleh penganut Hindu.
Lebih membanggakan, Thaipusam juga merupakan salah satu perayaan yang tercatat dalam takwim kebangsaan termasuk Deepavali dan Ponggal.
Mengakui kerja-kerja membuat kavadi bukan satu tugas mudah, namun minat dan rekaannya yang unik mendorong wanita itu melakukannya dengan bersungguh-sungguh.Perayaan Thaipusam yang jatuh pada bulan penuh iaitu hari bertuah kesepuluh kalendar Tamil dalam bulan Thai. Mereka percaya buruj Pusam iaitu bintang yang bersinar muncul di ufuk utara disambut oleh penganut Hindu di serata dunia.
Bayar nazar
Selain Malaysia, penganut Hindu yang tinggal di India, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah juga menyambutnya.
Di negara ini penganut Hindu akan ke Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves untuk menunaikan nazar mereka kepada Dewa Murugan. Dipercayai cara membayar nazar juga berbeza mengikut hajat dan kemampuan masing-masing.
Ada yang memikul kavadi, manakala ada yang mengusung belanga yang diisi susu segar. Bagaimanapun, amalan membawa kavadi mempunyai signifikan tersendiri dalam perayaan Thaipusam.
"Kavadi dan Thaipusam merupakan dua elemen yang saling berkaitan antara satu sama lain. Tanpa perarakan kavadi maka sambutan Thaipusam dianggap tidak sempurna.
"Amalan memikul kavadi dilakukan untuk membayar nazar kepada Dewa Murugan dan menebus dosa-dosa lampau," jelas Annapurani.
Menurut ibu kepada seorang anak itu, sebelum ini kebanyakan kuil terletak di dalam hutan. Dengan kedudukannya yang tersorok menyebabkan ramai penganut agama Hindu sukar membawa kavadi kepada Dewa Murugan.
|
|
Dari situ Annapurani mendapat idea untuk menjual kavadi. Meskipun tanpa latihan asas, Annapurani banyak mempelajari cara-cara membuat kavadi hasil pemerhatian dan pengalamannya.
Rangka kavadi diperbuat daripada kayu tebal dan papan nipis khas. Rangka itu kemudian dihias dengan pembalut kertas yang berwarna kuning. Pembalut khas yang diimport dari Thailand itu bersifat kalis air.
Proses menampal pembalut pada permukaan atas kavadi yang melengkung itu disambung pada kayu pelapik menjunjung kavadi.
Sejenis kain perhiasan yang dikenali sebagai kavadi kunjam ditampal di tepi papan yang melengkok itu. Bagi menceriakan hiasan kavadi, bunga-bunga plastik dan bulu-bulu merak digunakan.
Kavadi tersebut dijual pada harga di antara RM30 sehingga RM150 mengikut saiz.
Sementara itu, pembuat kavadi yang bekerja di Kedai Ambal Store di Batu Caves, S.Murugesan, 38, berkata, dia mengamalkan makan sayur-sayuran sepanjang membuat kavadi.
|
|
Kasut paku
Murugesan mempelajari seni membuat kavadi daripada seorang rakannya di India ketika remaja. Katanya, di India terdapat pelbagai jenis kavadi yang jarang ditemui di Malaysia.
Antaranya ialah olai kavadi, pala kavadi dan valai kavadi. Di negara ini, kebanyakan penganut agama Hindu lebih gemar membeli paal kavadi, mayil kavadi dan vel kavadi.
Perbezaan nama ini jenis bahan membuat kavadi yang digunakan.
Di Ambal Store, setiap kavadi dijual pada harga di antara RM35 hingga RM180. Harga tersebut bergantung kepada saiz. Ada yang bersaiz 0.4 meter sehingga 2.7 meter. Pada tahun ini Murugesan menerima tempahan kavadi daripada seorang warga Myanmar yang dianggapnya sesuatu yang istimewa.
Sementara itu, selain kavadi dan belanga susu, ada juga penganut yang membayar nazar kepada Dewa Murugan dengan memakai kasut paku. Menurut seorang peniaga dari Pulau Pinang, R. Karunagaran kasut paku yang mengandungi lebih 300 batang paku itu dijual pada harga di antara RM350 hingga RM600 mengikut saiz dan corak.
Selain itu, dia turut membuat paal kavadi. Dia menjualnya pada harga di antara RM130 hingga RM200 mengikut saiz. Bagaimanapun, tempahan kavadi yang diterimanya hanya 100 berbanding 200 kavadi tahun lalu.
Peluang merebut buku-buku terbaik
SEJAK dua tahun lalu, guru besar Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Zon R10, Kuala Lumpur, Teh Zaiton Abdul Halim, 51, teruja setiap kali berkunjung ke jualan gudang buku dan majalah yang dikelolakan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D).
Tidak seperti kebanyakan pengunjung lain, Teh Zaiton sedia membelanjakan sehingga ribuan ringgit untuk jualan gudang itu. Seperti tahun-tahun sebelum ini, berkotak-kotak buku ilmiah dan novel serta bahan bacaan lain masuk dalam senarai pembeliannya.
"Sejak mengetahui adanya jualan gudang buku dan majalah di sini, saya tidak melepaskan peluang membeli buku- buku yang boleh dijadikan bahan bacaan untuk anak-anak murid saya.
"Harganya jauh lebih murah berbanding membeli secara pesanan atau membeli di kedai-kedai buku," katanya yang ditemani guru perpustakaan, Zanariah Zakaria, 37, dan pembantu tadbir Pusat Sumber, Aishah Yusuf, 30.
Sebagai pendidik yang menyandang jawatan nombor satu di sekolah, Teh Zaiton mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajarnya.
"Murid-murid sekolah rendah agak sukar ke perpustakaan untuk meminjam buku, jadi saya letakkan sebuah bakul yang penuh dengan buku di bilik-bilik darjah supaya timbul minat membaca.
"Kalau sekelas ada 40 orang, saya akan letak sebanyak 40 buah buku. Kemudian, selang beberapa minggu saya akan buat pusingan buku-buku itu di kelas-kelas lain," katanya.
Tambah Teh Zaiton, para pendidik perlu ada perancangan dalam memupuk minat membaca para pelajar. Salah satunya adalah dengan meninjau jualan gudang yang menawarkan bahan bacaan berguna.
"Di samping buku-buku ilmiah, saya akan membeli novel-novel menarik yang sesuai untuk murid-murid sekolah rendah. Saya mahu mereka sentiasa membawa buku ke mana-mana sahaja.
"Melalui usaha ini tidak mustahil budaya membaca dapat dikembangkan," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus UP&D, Khoo Gee Siang memberitahu, terdapat hampir 4,000 tajuk buku dan majalah boleh didapati pada jualan gudang buku dan majalah di Pejabat Urusan UP&D, Taman Shamelin, Cheras. Jualan bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Ia berlangsung sehingga 7 Februari ini.
"Antara buku yang ditawarkan pada jualan gudang kali ini terdiri daripada genre motivasi, keluarga, wanita, makanan, fesyen, novel, kanak-kanak serta buku akademik untuk peringkat tadika hingga universiti.
"Majalah yang ditawarkan pula merangkumi semua majalah Kumpulan Utusan iaitu Al-Islam, Harmoni, Kawan, Mangga, Mastika, Pemikir, Saji, Umph, URTV, Wanita dan Infiniti," terangnya.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Siti Rozaida Roslan memberitahu, jualan gudang kali ini memberikan nilai tambah kerana bagi setiap pembelian yang melebihi RM100, pengunjung boleh menyertai cabutan bertuah.
"Bagi tempat pertama, pengunjung boleh memenangi hadiah buku bernilai RM500, tempat kedua RM300 dan tempat ketiga RM200 selain hadiah sagu hati dan hadiah cenderamata bagi pembelian dan langganan majalah.
"Bagi mereka yang melanggan majalah Wanita selama setahun, cenderamata berupa set eksklusif seperti rantai, loket dan pin kerongsang tajaan D'or Rue Sdn. Bhd. bernilai RM115," jelas Siti.
Khusus buat mereka yang meminati majalah Mastika, satu keluaran khas Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah setebal 189 muka surat dijual pada harga RM6 selepas diskaun 20 peratus.
"Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan Edisi Ekonomi setebal 2,196 muka surat dijual pada harga RM19.50. Selain itu, buku-buku terbitan 2002 dan tahun-tahun sebelumnya diberi diskaun 50 peratus manakala bagi buku yang diterbitkan antara 2003 hingga 2004, pelanggan boleh mendapat diskaun sebanyak 45 peratus," kata Siti. Potongan 20 peratus diberikan untuk koleksi buku terbaru.
Tambahnya, buku-buku tersebut boleh di dapati pada harga serendah RM1.50 sehingga RM1,300. Dalam pada itu, syarikat telekomunikasi Celcom dan Chemical Company of Malaysia (CCM) turut menjayakan jualan gudang itu dengan menawarkan produk mereka pada harga istimewa.
Sebarang pertanyaan atau untuk langganan buku dan majalah, sila hubungi pejabat UP&D di talian 03-9285 6577 atau 03-9285 3860.
Legasi SUV
SUV Cayenne daripada Porsche dan LM002 daripada Lamborghini wajar menjadi SUV yang perlu diingati sehingga hari ini. Kedua-duanya mencatatkan rekod tersendiri bukan sahaja untuk keluarga Porsche dan Lamborghini bahkan keseluruhan industri kenderaan utiliti sports.
APABILA Porsche mengumumkan projek Cayenne, ia menimbulkan kontroversi dalam kalangan pemain industri automotif. Adalah mustahil untuk sebuah syarikat yang dikenali selama ini kerana membina kereta sports ingin beralih kepada produksi sebuah SUV. Porsche dilihat hilang falsafah, hala tuju dan ia menjadi satu kenyataan yang tidak boleh diterima oleh para peminat Porsche.
Namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan Porsche dalam dekad 1990-an yang hampir menyebabkan syarikat itu bankrap. Hakikatnya, setiap kali kegawatan ekonomi melanda, industri automotif menjadi rapuh dan terdedah kepada kerugian besar. Apatah lagi jika melibatkan sebuah syarikat yang hanya membuat kereta sports dengan pasaran yang kecil.
Apabila Wendelin Wiedeking dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, beliau memberi gambaran jelas kepada lembaga pengarahnya bahawa mereka mesti keluar daripada tradisi Boxster dan 911.
Mereka perlu ada rangkaian produk baru agar terus dapat bersaing. Wiedeking yang melihat kejayaan SUV buatan Mercedes dan BMW di Amerika sebagai inspirasi mencadangkan sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh pemilik Porsche selama ini - SUV.
Pada tahun 2001 Cayenne telah diperkenalkan sebagai pilihan SUV mewah dari pembuat kereta sports terkemuka Jerman itu. Seperti yang dijangka, ia mendapat sambutan menggila ketika mula menerjah ke pasaran Amerika pada tahun 2003.
Hasilnya, dalam tempoh setahun sahaja, syarikat yang sebelum ini mencatat kerugian AS$128 juta (RM448 juta) telah mengaut keuntungan sebanyak AS$2.1 bilion (RM7.35 bilion), mewakili 10.1 keuntungan peratus daripada keseluruhan perniagaan Porsche.
Kejayaan LM002
Jadi, apa kaitannya Porsche dengan Lamborghini? Kedua-duanya membuat kereta sports mewah. Namun tidak ramai yang sedar bahawa selain Porsche, Lamborghini juga pernah menghasilkan SUV mereka sendiri pada penghujung tahun 1980-an.
Jumlahnya mungkin tidak sebesar Cayenne, tetapi ia merupakan model yang kekal diingati. Lamborghini LM002.
Pembuat kereta sports Itali itu pernah membuat kejutan pertama dengan menghasilkan SUV konsep pada 1977 yang diberi nama Cheetah. Projek tersebut adalah untuk kegunaan tentera Amerika. Malangnya kenderaan itu jahanam sewaktu diuji. Cheetah dipasang dengan enjin Chrysler.
Selepas itu model gantiannya LM001 dipadankan dengan enjin AMC V8. Namun menyedari kelemahan SUV berenjin belakang, konflik dengan kerangka dan enjin bukan milik mereka, Lamborghini akhirnya bermula semula dengan konfigurasi enjin hadapan. Mereka menggunakan enjin daripada kereta sports Countach V12. Ia dipertontonkan di pameran auto Brussel pada tahun 1986.
Antara tahun 1986 hingga 1993 adalah zaman kelahiran dan kegemilangan LM002. Begitupun, hanya 301 unit yang dibina dan ia kekal sebagai SUV paling hebat dalam abad ke-20.
Tiada model seumpamanya dibina dan kebanyakan teknologi yang digunakan pada era tersebut merupakan revolusi yang mencetuskan evolusi terhadap SUV mewah yang direka pada hari ini.
Selain enjin V12 5.2 liternya yang berkuasa 450 kuasa kuda dan 368 paun kaki tork, ia merupakan SUV yang direka untuk menjadi perentas alam dengan ciri-ciri mewah. Idea itu digunakan kembali oleh British Leyland ke atas Range Rover untuk mengembangkan pasaran Land Rover (yang bersaing dengan Land Cruiser). LM002 juga memberi inspirasi kepada Hummer.
Enjin penuh kuasa
Apa sebenarnya yang menjadikan kenderaan itu begitu istimewa? Dengan bentangan enjin V12 yang terbukti berkuasa pada model Countach, ia menjadi satu-satunya SUV yang disuapkan dengan enam unit karburator Weber dan dipasangkan bersama tujuh bebola galas enjin utama.
Konfigurasi omboh susunan sebelah menyebelah dipermudahkan dengan pemantauan silinder daripada unit sensor berasingan. Terdapat dua butang amaran memeriksa enjin yang mengesan sekiranya berlaku kerosakan di barisan silinder kiri dan kanan.
SUV itu sangat besar. Hampir dua meter tinggi dari permukaan bumi dan 4.8 meter. Lebarnya 1.9 meter. Tidak ada kenderaan bersaiz itu pada eranya, hatta bagi sebuah lori. Beratnya menjangkau 2.7 tan. Tangki bahan apinya berkapasiti 290 liter. Kalau diisi dengan RON95, anda perlu bersedia membayar RM522 untuk setangki penuh petrol.
Laris di negara Arab
Untuk mencuri pasaran Asia Barat, SUV itu menggunakan khidmat tayar Pirelli Scorpion bersaiz 325/65/17. Malah jika mengikut ukuran hari ini pun, ia adalah yang paling lebar dan besar.
Tayar itu direka khas oleh Pirelli untuk LM002 dengan permukaan leper untuk memudahkannya bergerak di atas padang pasir. Sebelum kehadiran teknologi run flat, tayar itu sudah pun wujud dengan kemampuannya bergerak walaupun ia bocor sepenuhnya.
Idea itu menarik minat ramai hartawan negara Arab. Arab Saudi dilaporkan membeli 50 unit LM002 yang kemudian dilengkapkan dengan mesingan. Presiden Libya, Muammar Qadaffi pula didakwa membeli 100 unit LM002 untuk kegunaan tenteranya. Dalam perlumbaan lasak padang pasir Rally of Pharoah di Mesir pada tahun 1987, LM002 telah digunakan sebagai kereta pendahulu yang bertugas memberi laluan awal kepada peserta.
Selain daripada versi lasak dan padang pasir, LM002 juga dibina untuk pasaran mewah dengan aksesori tayar jalan raya biasa, tempat duduk bersalut kulit, sistem audio di atas konsol bumbung, cermin berlaminasi, bampar dan aksesori krom serta roda aloi berjenama OZ atau MZW.
Ketika dilancarkan, versi itu dijual pada harga AS$130,000 atau RM455,000. Ya. Itu harga pada tahun 1986.
Dalam industri hari ini, kenderaan serupa yang boleh dikaitkan dengan kejayaan LM002 ialah Hummer (H1 - H3). Saya yakin, jika hari ini VW AG mengambil keputusan mengembangkan SUV gergasi itu dalam era moden, ia akan memeriahkan lagi industri dan pastinya sejarah perlu ditulis kembali!
Lompat pulau ke pulau
Di Krabi, lautan adalah tarikan dan syurga. Dengan puluhan pulau yang berada di sekitarnya anda tidak akan pernah bosan meneroka setiap keindahan di sana.
KABUS nipis menyelubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi, Thailand pada petang itu. Pesawat AirAsia AK 384 mendarat dengan selamat membuatkan hati kami semakin tidak sabar untuk menyelongkar misteri dan keindahan Krabi yang diperkatakan oleh teman-teman sebelum ini.
Sampai di muka pintu keluar lapangan terbang seorang pemandu pelancong sudah sedia menanti kehadiran saya dan kawan-kawan yang sememangnya tidak sabar lagi untuk menikmati keindahan pantai Ao Nang sepanjang daerah Krabi.
Tidak ketinggalan mencuba keenakan makanan Thailand, membeli cenderamata dan buah tangan yang bakal dibawa pulang.
Saya dan rakan-rakan begitu teruja untuk meneroka keindahan pulau-pulau yang terdapat di daerah itu.
Kami bertanya kepada pemandu pelancong tentang latarbelakang dan masyarakat sekitar daerah Krabi. Kebanyakan penduduk tempatan di daerah itu adalah masyarakat beragama Islam dan selebihnya beragama Hindu, Buddha dan Kristian.
Hati kami girang mendengar penerangan panjang lebar oleh pemandu pelancong kerana kami tidak akan menghadapi masalah mencari makanan halal.
Setibanya di hotel penginapan Hotel Pavillion Queen's Bay pekerja di hotel itu menyambut kedatangan kami dengan mesra. Selesai pendaftaran masuk penginapan, kami tidak sabar untuk melihat bilik penginapan.
Ternyata dengan harga yang berpatutan, kami semua amat berpuas hati dengan bilik yang selesa, bersih dan luas. Kamar mandi juga agak besar lengkap dengan tab mandi.
Di ruang balkoni pula tersedia buaian kayu yang besar untuk mereka yang suka bersantai sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.
Hotel penginapan kami berada dalam jarak 200 meter dari pekan Ao Nang. Siap membersihkan diri, kami berjalan ke kawasan sekitar pekan Ao Nang untuk mencari makanan.
Perut saya berkeroncong sejak petang kerana kelaparan. Kami singgah di salah satu warung makanan Thai. Hairannya penyambut tetamu sudah boleh mengagak kami datang dari Malaysia setelah mendengar perbualan kami. Dia terus memberi salam menandakan bahawa dia beragama Islam dan makanan yang disediakannya juga halal.
Kami begitu senang sekali dan meminta beliau mencadangkan makanan yang lazat di situ.
Kami memilih untuk menikmati tom yam, somtam, nasi goreng nenas dan juga popia ala Thai. Sememangnya makanan di warung itu sungguh enak dan berbeza dengan makanan ala Thai di Malaysia.
Dengan harga yang sangat berpatutan kami kagum dengan cara tukang masak itu menghidangkan menu. Nasi goreng nenas dihidangkan di dalam sebiji nenas dengan taburan gajus.
Selesai mengisi perut dan setelah kekenyangan, kami meneruskan perjalanan dengan bersiar-siar menikmati angin malam Ao Nang.
Banyak gerai menjual cenderamata, pakaian, barangan kraftangan, tempat urut ala Thai, restoran makanan Barat dan tempatan selain kemudahan kios penukaran mata wang asing. Kami sempat membeli barangan kraftangan dan juga pakaian sebagai cenderamata untuk di bawa pulang.
|
|
Bagaimanapun antara gerai yang paling menangkap perhatian kami ialah kedai-kedai lukisan.
Saya sempat masuk ke salah satu galeri itu. Lukisan yang dipotretkan begitu cantik. Saya amat kagum dengan bakat anak muda Krabi yang menjadi pelukis. Malah mereka tidak kekok atau marah apabila diajak bergambar.
Saya sempat merakam beberapa keping lukisan hasil pelukis muda itu. Setelah puas berjalan kami kembali ke hotel kerana esoknya ada aturcara wajib Krabi sedang menunggu kami. Sejak awal lagi kami sudah menempah pakej untuk mengelilingi pulau-pulau sekitar Krabi.
Keesokannya, seawal jam 7 pagi kami bersiap untuk sarapan di hotel. Makanan yang disajikan begitu menyelerakan. Terdapat makanan biasa didapati di kebanyakan hotel seperti nasi goreng, mi goreng dan sebagainya.
Jelajah Phi Phi Islands
Tepat jam 8.30 pagi seperti yang dijanjikan, sebuah van sampai di luar lobi hotel untuk menjemput kami menuju ke kawasan jeti tempat bot-bot laju yang disediakan untuk menjelajah pulau ke pulau.
Ramai pelancong asing dan tempatan sudah bersedia untuk menikmati keindahan laut, pulau dan pantai yang sebelum ini dilihat dalam majalah dan akhbar.
Saya sendiri amat teruja apabila melangkah masuk ke dalam bot laju tersebut. Kami memilih untuk duduk di ruang luar hadapan bot untuk mendapatkan pemandangan lebih jelas panorama laut dan pulau yang bakal kami lalui.
Terdapat pelbagai jenis pakej yang disediakan seperti pakej Phi Phi Islands, Lautan Krabi dan juga Hong Islands. Kami memilih pakej Phi Phi Islands.
Seorang pemandu pelancong tempatan tetapi fasih berbahasa Inggeris mengucap selamat dan menerangkan kepada kami semua tentang destinasi yang bakal kami kunjungi.
Antara pulau-pulau yang akan kami lawati dalam pakej Phi Phi Islands ialah Bamboo Island, Hin Klarng, Monkey Beach, Phi Phi Don, Pi Leh Bay dan juga Maya Bay.
Maya Bay adalah salah sebuah pantai terbersih dan tercantik selain terkenal kerana menjadi lokasi penggambaran filem The Beach lakonan aktor Hollywood tersohor, Leornardo Dicaprio.
Sepanjang persinggahan, kami dibenarkan melakukan aktiviti snorkeling untuk menikmati kecantikan dan keunikan hidupan laut dan terumbu karang.
Kami berhenti untuk makan tengah hari di Phi Phi Don. Pantai yang landai dan cantik memukau pandangan saat kami menjamu makanan tengah hari. Sajian yang disediakan sama seperti di Malaysia, jadi kami tidak berdepan banyak masalah dengan menu di Krabi.
Selesai makan kami diberi masa untuk bersantai di sekitar pantai Phi Phi Don. Kami meneruskan perjalanan ke Pi Leh Bay iaitu antara lagun tercantik di Phi Phi Leh. Selepas itu kami ke Viking Cave dan juga Lohsamah Bay untuk aktiviti snorkeling lagi sekali.
Bertemu ikan lumba-lumba
Destinasi terakhir kami kunjungi pada petang itu ialah Maya Bay. Ternyata pantainya sangat cantik seperti diperkatakan ramai. Pasir yang lembut dan halus serta suasana sekitar pulau yang hijau amat memukau.
Terdapat tapak perkhemahan bagi pelancong yang ingin bermalam di pulau itu. Kami hanya berjalan di kawasan sekitar untuk merakam pemandangan yang indah itu. Kami diberi masa selama satu jam untuk bersantai di Maya Bay. Tepat jam 4.30 petang kami bertolak untuk pulang ke hotel.
|
|
Nasib kami sungguh baik pada petang itu kerana di pertengahan jalan, kami terserempak dengan sekawan ikan lumba-lumba berenang-renang berhampiran bot kami.
Ramai yang teruja melihat aksi ikan lumba-lumba itu termasuk pelancong Eropah yang bersama kami di dalam bot itu.
Matahari melabuhkan tirai lewat jam 5.30 petang. Kami menaiki van yang disediakan untuk pulang ke hotel. Pengalaman dan kenangan pada hari itu sungguh mengasyikkan dan tidak akan luput daripada ingatan.
Bagi anda yang berminat untuk melakukan aktiviti lasak terdapat banyak pilihan aktiviti yang disediakan oleh pihak hotel seperti bunjee jumping, mendaki bukit, berbasikal bukit, merentas hutan, meluncur air atau menyelam.
Anda juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti santai seperti berkayak, snorkeling, menunggang gajah atau melawat tempat-tempat bersejarah di sekitar Krabi.
Mewah dan berkuasa
Selepas dua dekad ‘menghilangkan diri, kenderaan mewah Rolls-Royce Ghost dari United Kingdom (UK) kembali memeriahkan pasaran kereta di Malaysia.
ANDA ada lebih RM2.6 juta untuk dibelanjakan? Jika ya, tawaran terbaru daripada Rolls-Royce Motor Cars mungkin boleh ditimbangkan.
Memulakan kempennya menerusi model yang diberi nama Ghost, jenama kenderaan mewah itu sekali lagi tampil untuk menambah keterujaan kepada golongan hartawan Malaysia.
Beribu pejabat di Goodwood, West Sussex, United Kingdom, Rolls-Royce sudah lama memenuhi ekspektasi dan keperluan super mewah golongan selebriti di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Berbanding rangkaian model Phantom, Ghost merupakan model yang lebih kecil dan dinamik. Namun, ia tetap dikenali sebagai sebuah Rolls-Royce yang mencapai aspek modenisme baru dan kekal dengan ciri-ciri kemewahannya.
Kereta itu menjadi model pertama dalam siri produk Rolls-Royce yang bakal ditawarkan di Malaysia. Model-model lain daripada keluarga Phantom seperti Phantom, Phantom Extended Wheelbase (salun empat pintu), Phantom Drophead Coupé (convertible) dan Phantom Coupé (fixed roof) akan menemui para peminatnya sepanjang tahun ini.
Menurut Pengarah Serantau Asia Pasifik Rolls-Royce Motor Cars, Colin Kelly, Ghost menampilkan reka bentuk yang mampu meluaskan lagi tarikan terhadap produk keluaran Rolls-Royce Motor Cars.
Ghost menggabungkan proses penambahbaikan, teknologi baru dan gaya kontemporari. Model itu juga memiliki semua lambang kejayaan model-model Rolls-Royce terdahulu. Ia menggunakan kayu terbaik, material kulit dan mengaplikasikan standard pengilangan yang tiada bezanya dengan model Phantom.
"Ghost memangkin minat memberangsangkan di Malaysia. Saya yakin kereta ini akan berjaya di Malaysia dengan gabungan unik ciri dinamiknya," kata Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong yang bernaung di bawah pengedaran Quill Motorcars Sdn. Bhd.
Keselesaan Kelas Pertama
Michael optimis pihaknya akan menerima tempahan di antara lapan hingga sepuluh unit menjelang akhir tahun ini. Namun, Ghost dibina berdasarkan kepada permintaan.
"Saya menjangkakan Ghost akan memperoleh pemintaan kukuh di Malaysia. Selain mampu menarik kelompok pembeli lebih besar yang mungkin tidak pernah mengambil perhatian terhadap jenama Rolls-Royce sebelum ini," tambah Pengurus Besar bagi Utara dan Timur Asia Pasifik Rolls-Royce Motor Cars, Brenda Pek. Ruang dalaman Ghost menyerlahkan pelbagai reka bentuk yang menjadi identiti kepada
Rolls-Royce.
|
|
Misalnya suis-suis berbentuk biola tradisional dan corong udara yang kelihatan seperti bebola mata. Karpet lantainya yang tebal itu pula diperbuat daripada bulu kambing untuk menikmati rasa mewah yang sebenar.
Terselit di pintu hadapan ialah payung yang disalut dengan material Teflon. Sementara pintu-pintunya pula membuktikan keunikan Rolls-Royce kerana ia boleh dibuka pada bukaan 83 darjah.
Ruang kabinnya dilimpahi dengan cahaya semula jadi yang boleh ditingkatkan melalui bumbung suria (secara opsyen). Bumbung tersebut bermula dari bahagian hadapan sehinggalah ke seksyen belakang.
Pendingin hawa empat zon automatik, ciri pengedaran udara automatik, penghalang penumpatan udara dan kompensasi solar, tempat duduk individu atau lounge (hadir dengan ciri urutan secara pilihan) menawarkan keselesaan terbaik buat setiap penumpangnya.
Meja yang dibalut dengan kulit terbaik dan kemasan kayunya dipadankan dengan ruang kabin Ghost. Ia turut menempatkan dua unit skrin LCD bersaiz 23 sentimeter (sm) di bahagian belakang tempat duduk hadapan. Sistem audio yang ada pada Ghost mampu menjana 600 watt bunyi menerusi amplifier 10 saluran dan 16 buah pembesar suara, termasuklah dua subwoofers yang dipasang di bahagian lantai.
Input USB dan auxiliary membolehkannya berintegrasi dengan alat audio luar, sementara cakera padat 12.5 GB membenarkan penyimpanan fail-fail muzik daripada USD atau pemain cakera padat dibuat.
Bergerak di atas sistem suspensi udara sofistikated pada kempat-empat rodanya, Ghost mampu mengenal pasti 'keperluan' walaupun yang paling kecil. Misalnya, ia berupaya mengesan pergerakan penumpang belakang pada satu bahagian tempat duduk, seterusnya disesuaikan sewajarnya. Fungsi angkat dan turun pula dapat menaikkan atau menurunkan Ghost sehingga 25 milimeter (mm).
Memiliki pelbagai ciri bantuan pilihan menjadikan Ghost sebuah kenderaan yang paling fokus kepada pemandu dalam rangkaian model Rolls-Royce Motor Cars. Ia merangkumi kamera yang memberi paparan di bahagian belakang, sisi hadapan dan atas.
Prestasi terbaik
|
|
Kamera pemandangan waktu malam (Night Vision camera), paparan head-up (Head-up Display), amaran penukaran laluan (Lane Departure Warning), bantuan lampu tinggi (High Beam Assistance), adaptif (Adaptive), lampu utama berhaluan (directional headlights) dan kawalan aktif Cruise Control dengan ciri brek Stop & Go Active Brake Intervention turut dipasang. Sementara Optional Comfort Entry membolehkan akses lebih mudah ke dalam kereta. Ia membuka kunci pada pintu apabila kunci saku berada pada jarak 1.5 meter.
Ghost merupakan kenderaan Rolls-Royce paling berkuasa pernah dibina sehingga kini. Ia mampu memberikan prestasi mengikut cara Rolls-Royce sepenuhnya tanpa sebarang masalah. Sumber kepada kuasa dinamiknya terletak pada enjin V12 dengan pendesak turbo berkembar bersesaran 6.6 liter. Enjin itu dipadankan bersama kotak gear automatik ZF lapan kelajuan.
Janaan kuasa puncaknya mencecah 563bhp / 420kW / 570PS @ 5,250rpm yang digabungkan dengan tork maksimum 780Nm / 575lb ft pada hanya putaran enjin 1,500 rpm. Hasilnya, Ghost berupaya mencapai kelajuan dari 0 ke 100km/h dalam tempoh hanya 4.9 saat. Selain mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 250km/j.
Enjin baru itu juga meletakkan Rolls-Royce Motor Cars pada posisi peneraju secara signifikan dalam aspek pengeluaran gas CO2 (317g/km) dan penjimatan bahan api (gabungan pengunaan: 13.6 l/100km).
Sistem keselamatan elektronik memastikan Ghost berada dalam keadaan stabil atas apa jua bentuk permukaan jalan. Ia termasuklah Anti-Roll Stabilisation, kawalan brek dinamik (Dynamic Brake Control), kawalan kestabilan dinamik (Dynamic Stability Control), kawalan kuasa tarikan dinamik (Dynamic Traction Control) serta kawalan brek ketika membelok (Cornering Brake Control).
Produksi Ghost sudah bermula di Goodwood. Kereta pelanggan pertama di Malaysia dijangka dapat dihantar pada suku kedua 2010. Bagi memenuhi jangkaan permintaan, Rolls-Royce Motor Cars telah meningkatkan kapasiti pengilangannya sebanyak 50 peratus.
Baru-baru ini, Rolls-Royce Motor Cars mengumumkan hasil jualan memberangsangkan bagi 2009. Sebanyak 1.002 unit kereta berjaya dijual dalam tempoh tersebut.
Estetika Baba Nyonya
Konsep Baba Nyonya yang diterapkan pada Legend Crest suite mencerminkan budaya Malaysia.
MEJA kopi bulat menyambut tetamu sebaik daun pintu bilik dibuka. Meja yang diletakkan berhampiran pintu gelangsar dan sofa rona ungu lembut itu cukup menarik perhatian. Bukan kerana rekaan yang unik atau pelik tetapi hidangan yang diatur kemas di atasnya.
Kedudukan sebiji bakul siah yang berisi aneka buah dan teko Nyonya di dalam bakul anyaman rotan amat simbolik.
Pemilihan bakul siah dan teko teh Nyonya merupakan item signatur untuk menterjemah tema dan konsep suite Legend Crest.
"Elemen dekorasi yang diterapkan bukan kerana perayaan Tahun Baru Cina. Sebaliknya, mesej yang mahu disampaikan ialah tetamu sedang beristirehat dan menginap di dalam bilik berkonsepkan Baba Nyonya.
"Penerapan dekorasi ini secara tidak langsung memperkenalkan salah satu keunikan kelompok masyarakat Malaysia kepada tetamu khususnya pelancong asing," terang Pengurus Komunikasi Hotel Legend, Lee Meng Hong ketika ditemui Kosmo! di suite Legend Crest yang seluas 60 meter persegi.
Legend Crest bukanlah suite baru dalam kategori bilik yang ditawarkan di Legend. Pada asalnya suite yang terdapat di aras 12 hingga 16 itu merupakan bilik kategori eksekutif.
Namun enggan membiarkan pelanggan setia suite eksekutif bosan dengan dekorasi dan konsep yang sama, pihak pengurusan Legend mengambil keputusan melakukan transformasi. Pada Julai 2009 Legend Crest sudah sedia untuk dihuni.
Pengubahsuaian itu tidak terhad kepada elemen hiasan. Sebaliknya turut meliputi penukaran perabot dan dekorasi kamar mandian. Susun atur yang ringkas sama sekali tidak menjejaskan kerana sentuhan magis tata riasnya berjaya membuatkan atmosfera bilik tampak mewah.
Begitu juga dengan kehadiran elemen budaya Baba Nyonya yang digarap bersama perabot konsep moden kontemporari.
Biarpun katil bersaiz king hanya dibentangkan cadar linen polos putih krim namun ia masih memiliki daya tarikan tersendiri. Apatah lagi dinding di kepala katil dihiasi papan bermotifkan corak kerawang yang diinspirasikan daripada fabrik busana masyarakat Baba Nyonya.
Hamparan permaidani suite yang berasaskan coklat gelap dan bercorak kelabu juga tidak mengecewakan. Pemilihan corak sedemikian antara pilihan ideal bagi dekorasi suite yang tidak sarat dengan perhiasan. Hasilnya pengunjung dapat menenangkan fikiran setelah seharian penat menghadiri mesyuarat dan mengendalikan urusan perniagaan.
|
|
Moden kontemporari
Tambah Meng Hong, kebanyakan hotel bertaraf lima bintang lebih cenderung memilih tema Barat atau Asia Barat yang berkonsepkan moden kontemporari. Namun untuk memartabatkan keunikan Malaysia maka suite Legend Crest diterapkan dengan nilai-nilai estetika Baba Nyonya.
"Sebelum ini pengunjung antarabangsa hanya mengenali Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Diharapkan selepas menginap di suite Legend Crest mereka akan tahu bahawa kita juga mempunyai kelompok masyarakat Baba Nyonya atau Peranakan.
"Sebab itulah, selain bakul siah, dua buah lukisan yang menceritakan budaya Baba Nyonya digantung kemas di dinding. Lampu panjang dalam karung rotan yang mencerminkan budaya Peranakan digantung bersebelahan sofa hijau dari jenis kulit," kata Meng Hong yang turut menyatakan penghuni kamar berpeluang menghirup teh Cina dan Jepun.
|
Bersesuaian dengan sasaran pengunjung yang terdiri daripada golongan korporat dan ahli perniagaan penginapan di Legend Crest menawarkan keselesaan untuk urusan perniagaan.
Pelayar Internet juga tidak perlu bimbang kerana terdapat kemudahan Internet. Hasilnya pengunjung dapat menjalani pelbagai tugasan dalam kamar yang tenang selain hiasan bunga-bunga segar dalam balang kaca yang memenuhi segenap ruang.
Selesai dengan agenda perniagaan seharian segarkan tubuh badan yang keletihan dalam kamar mandian. Rendamkan diri seketika dalam tab mandi atau mandi di bawah curahan shower yang mempunyai sistem urutan badan.
Bilik bertaraf Legend Crest itu bukan sahaja boleh dinikmati sebaik sahaja melangkah ke dalam bilik. Sebaliknya pengunjung suit berkenaan sudah menerima layanan istimewa sejak melakukan urusan daftar masuk lagi.
Ini bermakna penginap di Legend Crest tidak perlu mendaftar seperti biasa di kaunter pendaftaran ruang lobi. Sebaliknya, hanya mengatur langkah ke Legend Crest Lounge yang dilengkapi pintu kaca dan berhawa dingin.
Ia bukan sekadar ruang untuk mendaftar masuk. Sebaliknya Legend Crest Lounge juga menyediakan ruang makan untuk penginap suit Legend Crest menikmati sarapan pagi. Bermula dari pukul 6 petang hingga 8 malam sajian koktel percuma dihidangkan kepada penginap yang bukan beragama Islam.
"Penginap suit Legend Crest boleh mendapat potongan diskaun sebanyak 30 peratus di semua rangkaian tempat makan di dalam hotel ini. Caranya pengunjung hanya perlu menunjukkan kad kekunci bilik Legend Crest," kata Meng Hong.