Sunday, July 31, 2016

'Green Love' Filem Tempatan Tampil Pelakon Antarabangsa




Pelakon terkenal Hong Kong, Edward Chui (kanan) dan Lisa Ch'ng (kiri), dua watak utama dalam filem 'Green Love' yang menjalani lokasi penggambaran di Ma Ni Villa baharu-baharu ini. Filem arahan dan terbitan anak tempatan yang menggabungkan pelakon terkemuka dan muka baharu dari Hong Kong, China serta Malaysia itu dijangka dapat memperkenalkan lagi Malaysia di seluruh dunia. 
PETALING JAYA: Filem arahan dan terbitan anak tempatan iaitu Green Love yang menggabungkan pelakon terkemuka dari Hong Kong, China dan Malaysia dijangka dapat mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Penerbitnya, Andy Lee yang berkecimpung dalam dunia perfileman sejak 2003 berkata naskah berkenaan bukan sahaja mengangkat kisah cinta sebaliknya membawa mesej percintaan terhadap keluarga dan alam sekitar.

"Saya orang Malaysia sebab itu saya pilih pengambaran di Malaysia kerana yakin Green Love dapat membawa nama negara ke setiap pelusuk dunia kerana ia menonjolkan mesej percintaan dalam pelbagai dimensi termasuk keluarga dan alam sekitar.

"Ini satu yang mudah tetapi kita sentiasa mengabaikannya akibat pemikiran materialistik dan mahu audien mengalami elemen asas apa dia cinta," katanya ketika ditemui di lokasi pengambaran di Ma Ni Villa, Ulu Bernam dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Andy filem cinta itu bakal menemui penonton pada bulan Mac atau April tahun hadapan dan akan ditayangkan di beberapa buah negara.
Tambahnya, filem ini juga dijangka akan ditayangkan di Amerika Syarikat memandangkan ia menggunakan dwi bahasa iaitu Kantonis dan Inggeris.
"Dalam menerbitkan filem-filem yang baik, kami bekerjasama dengan pihak-pihak di Singapura and Thailand dan ini juga membolehkan kami meluaskan  audien kami selain di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Andy yang juga penerbit filemThe 3rd Generation pernah mendapat anugerah Rekaan Baju Terbaik, Sinematografi Terbaik, dan Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke 19, turut meluahkan rasa terima kasih dan menganggap beliau bertuah apabila filemnya ini turut mendapat kerjasama dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Selain membantu daripada segi pencarian lokasi penggambaran, FINAS turut menyumbang dana sebanyak RM1.2 juta untuk Andy menerbitkan filem sulungnya yang bergenre percintaan.

"Filem diarah C.L Hor, seorang pengarah berbakat dan kami telah bekerja bersama-sama lebih 10 tahun.

"Sebelum ini kami membuat filem aksi, seni, 'super power' tetapi ini filem pertama kami akan cinta dan kami gembira kerana Finas membantu kami," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menyifatkan filem ini mempunyai banyak kelebihan dan yang pastinya salah satu kelebihan dan keistimewaannya ialah ia mampu menarik pelancong asing ke Malaysia.

"Kehadiran pelakon terkenal Hong Kong seperti Wu Fung, Rossane Lui, Edward Chui dan Lisa Ch'ng adalah satu kelebihan selain filem ini memaparkan 100 peratus penggambaran di lokasi-lokasi menarik dalam Malaysia.

"Jadi apabila ditayangkan nanti di serata dunia terutamanya di Hong Kong dan Malaysia sudah pasti ia dapat menarik ramai pelancong ke negara kita.

"Finas membantu menyumbangkan dana sebanyak RM1.2 juta salah satunya disebabkan kenegaraan dan ia dapat memupuk semangat berbilang kaum serta apabila filem ini 'box office' sudah pasti menarik pelancong asing ke negara kita, antara lokasi penggambaran adalah di Bukit Fraser, Pahang, Sungai Klah Hotspring, Perak, Ma Ni Villa, Selangor dan di Putrajaya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khusairi juga menyarankan penerbit-penerbit Melayu dapat mencontohi usaha dan cara yang dilakukan Andy bagi meluaskan lagi pasaran filemnya.

Penerbit filem Melayu yang ada pada masa ini ramai yang berbakat dan sudah masanya hasil karya mereka dijual di luar negara selain Indonesia.

"Produser Melayu digalak mencari lebih banyak lagi rakan penerbit dari negara lain bagi membolehkan filem kita dipasarkan di negara lain seperti yang dilakukan Andy.

"Belum lagi habis penggambaran dan dibuat sebarang promosi, namun sudah ada pihak dari Amerika Syarikat contohnya yang sudah menawarkan untuk membeli filem ini.

"Seperti Syamsul Yusof yang bagi saya filem Munafik arahannya itu mampu dipasarkan dengan lebih meluas di mana-mana negara Islam lain sekiranya dibuat sedikit perubahan dengan mengubahsuai bahasa atau dubbing kerana mesej yang dibawa dalam filem itu amat baik," katanya.

Sementara itu, salah seorang pelakon utama filem Green Love iaitu Wu Fung, menghargai usaha semua pihak yang menjayakan filem ini sama ada daripada pihak Finas mahupun krew penerbitan.

Pelakon veteran dari Hong Kong itu turut meluahkan rasa gembira apabila buat pertama kali beliau berpeluang bekerjasama dengan pengarah dan penerbit dari Malaysia yang dianggapnya sebagai krew produksi yang terbaik.

"Saya telah berlakon selama 60 tahun, inilah kali pertama saya ke Malaysia dan bekerja dengan pasukan Malaysia.

"Krew bersemangat tinggi, rajin, bekerjasama dan bertanggungjawab. Ia menjadikan segala-galanya lancar dan mudah," tambahnya.

Justeru beliau mengharapkan filem ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati para penonton apabila ia ditayangkan kelak.

Kekasih Buat Carian Tentang Julia Ziegler Di Internet



Julia Ziegler merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya pada tahun hadapan. 
PETALING JAYA: Pelakon Julia Ziegler memberitahu teman lelakinya ada membaca laporan yang ditulis di internet termasuk cerita-cerita gosip dan kontroversi mengenai dirinya.
Julia atau nama sebenarnya Julia Bob Fauzi Ziegler, 32, berkata, lelaki yang dikenali sebagai Johan itu berbuat demikian kerana ingin mengikuti perkembangan kariernya selain ia sebagai cara untuk lebih memahami tentang dirinya sebagai seorang selebriti.

"Sebagai teman lelaki sudah tentu dia ada membaca cerita sama ada baik atau pun buruk mengenai saya di internet.

"Bagaimanapun dia bukan seorang cepat mempercayai sesuatu perkara dan akan bertanya dengan saya sekiranya ada perkara yang dia musykil," katanya.
Julia bakal muncul dalam program Super Spontan Superstar.
Dalam pada itu, Julia berkata, dia juga tidak bimbang apabila Johan mula membuat carian tentang dirinya di internet kerana tiada apa yang perlu disorokkan kepada bakal suaminya itu.

"Saya seorang yang suka berterus terang dan jika dia bertanya tentang sesuatu perkara saya akan bersikap jujur kerana itu adalah kunci dalam sesebuah hubungan.

"Saya juga bertuah kerana teman lelaki jenis memahami kerjaya saya sebagai pelakon malah sering menonton drama atau filem lakonan saya," jelasnya.

Sementara itu, bercakap lanjut mengenai hubungannya dengan jurutera mekanikal itu, Julia berkata mereka merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan.

Bagaimanapun katanya, persiapan untuk majlis berkenaan masih belum dibuat kerana ia masih dalam peringkat perbincangan.

"Saya dan bakal suami sepakat untuk mengadakan sebuah majlis sederhana dan paling penting melaksanakan yang wajib.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai persiapan namun saya sudah pun menghadiri kursus perkahwinan baru-baru ini," ujarnya.

Ashton Kutcher Larang Mila Kunis Tonton Program Realiti




PELAKON Mila Kunis mendedahkan bahawa suaminya Ashton Kucher tidak membenarkan dia menonton program realiti di rumah.
Seperti dipetik Film-News, dia hanya menonton program-program berkenaan ketika suaminya bekerja dan tiada di rumah.

"Jika dia ada di rumah saya tidak boleh menonton program-program realiti itu, dia memang melarangnya sama sekali.

"Antara program yang dia benci ialah  Beverly Hills Housewives dan Botched," ujarnya.

Pasangan ini mula menjalinkan hubungan cinta pada 2012 selepas lelaki itu putus dengan bekas kekasihnya Demi Moore.

Mereka berkahwin pada Julai 2015 dan kini mempunyai dua cahaya mata.

Tingkat Kawalan Keselamatan Sempadan Kekang Penyeludupan Senjata Api



Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
KUANTAN: Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara ini dalam usaha mengekang sebarang aktiviti penyeludupan termasuk senjata api. 
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, bagi tujuan itu beliau telah mengarahkan Panglima Medan supaya semua anggota bertugas di sempadan melakukan eksesais secara berkala untuk menentukan keselamatan kawasan berkenaan.
"Warga tentera yang berkhidmat di situ (sempadan negara) akan terus memantau keselamatan dan kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelak benda ini (penyeludupan senjata api) berlaku.
"Penyeludupan ini berbagai-bagai bentuk dan cara," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Tentera Darat di Kem Darlockwood di sini, Jumaat malam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah saluran televisyen yang mengatakan antara punca utama dikenal pasti kes jenayah tembak semakin berleluasa sejak kebelakangan ini adalah disebabkan aktiviti penyeludupan senjata api di sempadan yang semakin aktif dan upah pembunuh upahan yang rendah.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Panglima 4 Briged (Mekanize) Brig Jen Datuk Md Din Abu.
Selain itu, Raja Mohamed Affandi berkata, TDM turut mempunyai kerjasama yang baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aspek penyelarasan operasi antara kedua-dua pasukan keselamatan berkenaan di sempadan negara. 
Ditanya kemungkinan untuk menambah keanggotaan sedia ada di sempadan, beliau berkata, pada masa ini tiada keperluan anggota tentera ditambah bagi mengawal keselamatan sempadan memandangkan jumlah keanggotaan sedia ada sudah memadai.

Pokemon Go Boleh Bantu Mereka Yang Hadapi Gangguan Psikologi - Pakar



Pokemon Go. 
KUALA LUMPUR: Pokemon Go, permainan realiti telefon pintar, yang secara beransur-ansur menawan dunia maya, boleh membantu mereka yang mengalami masalah gangguan psikologi, menurut seorang ahli psikologi terkemuka.
"Ia memberi beberapa faedah untuk semua jenis masalah psikologi seperti kebimbangan dan kemurungan," kata Dr Edward Chan, perunding psikologi utama di Pusat Psikologi Antarabangsa, di sini.
"Sebagai contoh, mereka yang mengalami kemurungan dapat melupakan pemikiran negatif apabila bermain permainan ini, yang secara tidak langsung mampu bangkit dan meneroka dunia luar," katanya.
Selain kemurungan, katanya, Pokemon Go turut membantu mereka yang mengalami masalah serius seperti fobia dan kebimbangan sosial kerana ia adalah satu motivasi yang sangat baik bagi golongan ini untuk bangkit semula.
"Mereka akan mula berinteraksi dengan pemain lain dalam permainan ini di luar daripada hanya berkurung di rumah. Pada masa sama, ia akan meningkatkan keyakinan diri dan kemampuan bersosial," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang tiada bantahan untuk permainan itu diperkenalkan di negara ini, Dr Chan memuji langkah tersebut.
"Ini menunjukkan kita terbuka dengan perkara baharu, selain tanda negara ini sanggup menerima perubahan dengan menyesuaikan diri bersama perkembangan teknologi dan perubahan sosial," katanya.
Baru-baru ini, Salleh berkata, Malaysia tidak menentang atau mengehadkan aplikasi permainan mudah alih percuma yang akan diperkenalkan di negara ini, walaupun sesetengah negara telah berbuat demikian.
Pokemon Go, yang dibangunkan Niantic Incorporation, Amerika Syarikat telah mencatat sejarah baharu permainan realiti menerusi aplikasi telefon pintar. 
Walaupun aplikasi permainan itu akan diterima di negara ini, Dr Chan yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang psikologi, menasihatkan bakal pemainnya agar tidak terlalu taksub sehingga mengalih tumpuan daripada perkara yang harus diutamakan.
"Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan Pokemon Go adalah sesuatu yang negatif, namun jika sehingga seseorang itu terganggu, mengabaikan hubungan atau pelajaran, ia pasti bukan sesuatu yang baik," jelasnya.
Pokemon Go adalah permainan konvensional 'sembunyi dan cari' yang diangkat ke tahap baharu yang memerlukan pemainnya mencari dan melawan karektor maya, berdasar lokasi dunia sebenar yang dikesan menerusi telefon pintar.
Aplikasi permainan percuma itu dikeluarkan secara rasmi pada 6 Julai lepas di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat. Ketika ini ia sudah sampai di 30 negara.
Sehingga kini belum ada tarikh tetap untuk ia diperkenalkan di Malaysia, tetapi aplikasi permainan itu mungkin disediakan untuk pengguna Android dan iOS mulai September ini. 

Pemilik Suara Kartun 'Postman Pat' Meninggal Dunia




Suara Barrie dipinjamkan untuk watak kartun Postman Pat.
KEN Barrie, pemilik suara bagi watak kartun Postman Pat meninggal dunia pada usia 73 tahun akibat kanser.
Barrie, atau nama sebenarnya Leslie Hulme meminjamkan suaranya untuk watak Pat dan banyak lagi watak siri animasi lain.
Anak perempuannya, Lorraine Peterson berkata, Barrie menghembuskan nafas terakhirnya di Denham, Buckinghamshire akibat kanser.
Postman Pat merupakan siri kartun sejak awal 80-an dengan siri pertamanya sebanyak 13 episod mula ditayangkan pada 1981.
Beliau turut mempunyai kerjaya dalam bidang nyanyian, antaranya menyanyikan lagu dalam sebuah album bersama Fred Astaire dan Bing Crosby. 
Peterson berkata: "Dia (Barrie) begitu pakar dalam pelbagai watak dan suara yang berbeza. Dia suka memendam mengenai apa yang dia lakukan tetapi dia menyukainya, dan bekerja bersama 'watak-wataknya'." - Mail Online

Dukun Doktor Dani sarat mesej, pengajaran



Dukun Doktor Dani sarat mesej, pengajaran
NAMA Sabri Yunus dalam arena seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Anak jati Kelantan ini juga sudah meletakkan nama dalam aras tersendiri di arena pengarahan.

Kebanyakan telefilem dan drama sentuhannya dianggap penuh magis dan digarap berbeza dengan sesetengah drama yang lebih terikat beberapa perkara lain.

Dan kini, lelaki berusia 55 tahun ini melangkah setapak lagi ke hadapan di dalam kerjaya sebagai pengarah dengan bergelar sutradara filem pula.

Meskipun terkenal dengan karya-karya berat, Sabri berkata, untuk filem pertamanya ini, dia cuba untuk menyeimbangkan penceritaan agar tidak terlalu berat atau ringan.

Dan ternyata, percubaan pertama Sabri di arena pengarahan filem komedi membuahkan hasil.

Jika sesetengah filem genre komedi lebih selesa fokus kepada hiburan semata-mata, berbeza dengan filem arahan Sabri ini yang menyulami komedi dan mesej berguna.

Pendek kata, menonton filem ini bukan hanya sekadar ketawa dan lupa, tetapi ada sesuatu untuk difikirkan dan diteladani.

Suasana cantik perkampungan yang segar dilihat banyak mencantikkan lagi filem ini.

Selain terlibat sebagai penulis skrip dan pengarah, Sabri juga turut membawakan watak Dukun Sudin di samping Taufik Batisah sebagai Dani, Fasha Sandha (Doktor Lily), Khatijah Tan (Mak Siti), Amirul Affendi (Lepat), Raysha Rizrose (Fikha), Sani Sudin (Penghulu) dan penampilan terakhir Yus Edoo (Jambu) sebagai Chot.

Ternyata pemilihan Taufik di dalam filem ini memberi satu kesegaran baharu kerana umum mengetahui Taufik adalah seorang penyanyi.

Pelakon-pelakon lain termasuk Fasha sendiri memberikan lakonan yang cukup baik dan Sabri sekali lagi berjaya mengimbangi lakonan ke semua pelakon yang terlibat.

Dan bagi mereka yang merindui keletah Allahyarham Yus Jambu, filem ini sedikit sebanyak mengubati kerinduan itu.

Dukun Doktor Dani mengisahkan tentang Dani yang membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi seorang doktor dan kemudian dia pulang ke kampung dan bekerja dengan dukun Sudin.

Keadaan menjadi kalut apabila dukun Sudin meninggal dunia dan Dani mengambil alih tempat dukun Sudin dengan caranya sendiri. Adakah penduduk kampung boleh menerima Dani mengubati mereka? Adakah Dani akan menjadi dukun buat selama-lamanya atau dia kembali menjadi doktor? Apakah yang akan terjadi selepas itu?

Saksikan jawapannya di pawagam.

Abam Bocey digoda lelaki gila seks



 Abam Bocey
- Foto ihsan Instagram Abam
PELAWAK popular Abam Bocey mendedahkan dirinya pernah diganggu oleh lelaki gila seks di laman sosial baru-baru ini.
Menurut Abam, 27, lelaki berkenaan menghantar gambar dalam keadaan bogel dan cuba menggodanya malah memanggilnya seksi.
"Saya sangat terkejut sebaik saja menerima gambar bogel lelaki terbabit di Facebook dan lebih menggelikan apabila dia cuba menggoda saya dan memanggil saya seksi.
"Tidak tahulah bahagian mana pada saya yang seksi," katanya dipetik BHOnline.
Tambah Abam, walaupun ini kali pertama berlaku, tetapi ia membimbangkannya.
“Selepas ini, saya akan pantau laman sosial saya dan akan lebih bersikap berhati-hati sebelum menerima sesiapa untuk menjadi rakan di laman Facebook,” ujarnya
Abam  merupakan ahli kumpulan Bocey yang turut disertai Fad dan Achey dan pernah dinobatkan sebagai Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 29.

Jared Leto bukti kemampuan pelakon versatil



Jared Leto bukti kemampuan pelakon versatil
NAMA pelakon kacak Hollywood, Jared Leto sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Tidak hanya berbekalkan rupa paras semata-mata, sebaliknya pelakon ini juga membuktikan dirinya mempunyai bakat  besar di dalam bidang lakonan.

Sekiranya anda pernah menonton filem Fight Club yang turut dilakonkan oleh Edward Norton dan Brad Pitt, anda mungkin tidak lupa dengan watak Angel Face, seorang peninju bermuka jambu yang dilakonkan oleh Leto.

Mengimbas latar belakang pelakon ini, Leto atau nama sebenarnya Jared Joseph Leto, dilahirkan pada 26 Disember 1971 di Louisana, Amerika Syarikat (AS).

Semasa zaman remaja, dia membesar dengan ramai penyanyi, pemuzik, pengarah dan pelukis.

Pengalaman yang dimiliki telah menyebabkan Leto  membuat keputusan untuk menjadi seorang artis apabila dia meningkat dewasa.

Bagi merealisasikan impiannya, Leto telah memasuki School of Visual Arts di bandar New York dengan mengambil jurusan dalam bidang pembuatan filem.

Leto mula berlakon pada 1994 dengan mengambil watak sampingan dalam drama My So-Called Life. Bakatnya semakin menyerlah apabila melakonkan watak pelari Olimpik AS, Steve Prefontaine dalam filem Prefontaine.

Dalam filem itu, dia berjumpa dengan ahli keluarga pelari tersebut untuk mendapat gambaran jelas perwatakan Prefontaine yang sebenar.

Selain itu, dia telah menjalani latihan larian selama beberapa bulan bagi menjiwai karakter seorang pelari pecut. Lakonannya dalam filem itu mendapat pujian daripada pengkritik filem.

Pada 2013, Leto membintangi filem Dallas Buyers Club dengan melakonkan watak Rayon, seorang lelaki transgender yang menghidap AIDS. Dalam filem tersebut, Leto terpaksa menurunkan berat badannya sebanyak 13 kilogram.

Selain itu, dia diminta untuk mencukurkan keningnya serta berlatih berjalan dengan memakai kasut bertumit.

Komitmennya tidak sia-sia apabila pihak Oscar mengangkat Leto sebagai pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Anugerah Akademi pada 2014.

Cabaran The Joker

Terbaharu, Leto akan muncul dalam filem Suicide Squad, dengan menjadi The Joker.

Filem ini mengisahkan sekumpulan individu luar biasa yang dipilih kerajaan AS untuk menyekat The Joker daripada melakukan kejahatan.

Dalam satu temu bual di majalah Rolling Stone, Leto mengakui, untuk menghidupkan watak Joker, dia menonton pelbagai video jenayah melalui laman video, Youtube.

“Video yang saya tonton memang ganas. Saya tidak mahu menontonnya, namun demi Joker, saya tengok juga.

“Walau bagaimanapun, saya tetap menghormati watak Joker yang dilakonkan oleh mendiang Heather Ledger,” katanya.

Rumah Bugis terus utuh berdiri



Rumah Bugis terus utuh berdiri
Rumah Bugis di Kampung Sungai Kuali.

PONTIAN - Sekali pandang, tidak ubah seperti rumah lama namun siapa sangka rumah kayu yang terletak di Kampung Sungai Kuali di sini, merupakan satu-satunya rumah tradisional masyarakat Bugis yang masih utuh berdiri sehingga kini.
Pemiliknya, Pitah Taha, 52, memberitahu rumah pusaka keluarganya itu berusia lebih 50 tahun dengan binaan keseluruhan rumah daripada kayu.
Katanya, perbezaan ketara di antara rumah lama dengan rumah tradisional Bugis dapat dilihat pada bahagian hadapan rumah yang agak tinggi.
Dia yang juga Ketua Umno Cawangan Sungai Kuali menjelaskan bahagian hadapan rumah dibina tinggi mempunyai banyak tujuan namun apa yang penting melindungi keselamatan penghuni rumah.
"Bahagian hadapan rumah yang tinggi digelar “rumah panggung”. Binaannya juga agak tinggi sehingga seseorang itu boleh berdiri di bahagian bawah rumah.
"Binaan yang tinggi itu bertujuan melindungi penghuninya kerana pada masa dahulu kawasan di sekitar rumah masih lagi hutan dan dibimbangi haiwan liar akan masuk ke dalam rumah.
"Jadi, orang dulu-dulu membina rumah dengan lebih tinggi dengan binaan keseluruhan rumah daripada kayu," katanya.
Pitah memberitahu kebanyakan rumah lama di sini sudah diubahsuai dengan binaan batu-bata terutama di bahagian dapur.
Katanya, demi mengekalkan warisan keluarga, rumah tradisi Bugis tersebut tidak diusik malah jauh sekali untuk diubahsuai.
"Keadaan rumah sama seperti keadaan asal. Semua binaan rumah masih lagi kayu yang sehingga kini kukuh. Ahli keluarga dan penduduk kampung juga meminta supaya rumah tradisi ini dikekalkan," katanya.
Bagi mengekalkan warisan masyarakat Bugis, Pitah dan isterinya Radiah Abdullah menghias rumah tersebut dengan barang-barang antik.
Menurut Pitah, dia sanggup ke Johor Bahru, Melaka dan Perak demi mencari barang antik untuk diletakkan di rumahnya yang menjadi lokasi Homestay Tanjung Piai.
Katanya, dia juga turut memiliki beberapa barang antik seperti radio lama, telefon lama, gromofon dan barang tembaga yang diwarisi daripada bapanya.
"Memandangkan rumah saya menjadi lokasi pelancong yang menyertai pakej Homestay Tanjung Piai, sudah pasti saya mahukan yang terbaik diberikan kepada mereka.
Hiasan barang antik sememangnya menarik perhatian mereka yang rata-ratanya begitu teruja sehingga ada menggelar rumah saya seperti muzium," katanya.
Jelas Pitah, dia akan terus menjaga warisan keluarganya dan budaya masyarakat Bugis untuk kekal bertahan buat selama-lamanya
.

Malaysia dan Australia kongsi kepakaran bersama



 Malaysia dan Australia kongsi kepakaran bersama
Seramai 15 Pegawai dan 194 anggota lain -lain pangkat daripada Tentera Darat Diraja Malaysia dan Tentera Darat Australia terlibat dalam Excercise Sapper Bersama 2016 di sini kem Pulada.
JOHOR BAHRU – Tentera Darat Diraja Malaysia dan Tentera Darat Australia terus mengukuhkan hubungan dua hala melalui Exercise Sapper Bersama 2016 di Kem Pusat Latihan tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, dekat sini, yang bermula 10 Jun dan berakhir semalam.
Majlis Penutup disempurnakan oleh, Timbalan Ketua Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Nawawi, manakala Tentera  Darat Australia diwakili Komander 7 Brigednya Brigadier Anthony Rawlins.
Ia adalah salah satu program antara kedua-dua negara di bawah Malaysia-Australia Joint Defence Programme (MAJDP) melibatkan seramai 15 pegawai dan 194 anggota lain-lain pangkat.
Dalam majlis berkenaan, Pengarah Eksais kedua-dua negara iaitu Kolonel Md Sidek Abas dan Leftenan Kolonel Till Brook turut menyampaikan penerangan mengenai Exercise Sapper Bersama 2016 dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris.
Md Sidek berkata, Eksesais Sapper 2016 berorientasikan teknikal antara Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Combat Engineer Regiment yang memberi tumpuan pada kerja-kerja kejuruteraan awam ke atas Fasiliti Ketenteraan Malaysia dalam situasi sebenar.
“Ilmu dan kepakaran dalam teknologi baharu dapat ditimbulkan terutamanya perbandingan peralatan kerja dan keberkesanannya boleh diambil perhatian  sebagai menambah baik inventori peralatan dalam pasukan masing-masing.
“Hasil kerja peninggalan eksesais ini telah dapat meningkatkan kemudahan lapang sasar di Kem Pulada. Sebanyak 52 skop kerja telah ditetapkan dalam dua fasa, dari jumlah itu, 34 skop dapat disiapkan manakala selebihnya dilaksanakan dalam fasa kedua,”katanya.

Ustaz ganti rotan murid di reman



Ustaz ganti rotan murid di reman
Suspek dibawa ke Bilik Reman Mahkamah Majistret Sungai Petani.
SUNGAI PETANI - Seorang ustaz ganti ditahan reman selama empat hari, semalam, untuk membantu siasatan bagi kes tiga murid cedera dirotan di sebuah madrasah di sini, baru-baru ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Balkhis Abdul Halim terhadap suspek berusia 27 tahun mulai 29 Julai sehingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.
Suspek tiba dengan berkain pelekat dan berbaju T di Bilik Reman Mahkamah Sungai Petani, di sini, dengan kedua-dua tangannya bergari pada jam 9.30 pagi, sebelum keluar kira-kira dua jam kemudian sejurus perintah tahanan reman dikeluarkan dengan menaiki kenderaan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, suspek ditahan di Parit Buntar, Perak, pada jam 10.10 malam, kelmarin.
"Sehingga kini, polis sudah merekodkan keterangan daripada dua murid terlibat berusia 10 dan 12 tahun, masing-masing berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
“Seorang lagi mangsa bagaimanapun belum dapat dihubungi. Namun, setakat ini polis belum menerima laporan mangsa atau keluarga mangsa berhubung kejadian berkenaan,” katanya.
Md Zukir berkata, siasatan awal polis juga mendapati ketiga-tiga mangsa dirotan kerana cuba melarikan diri dari madrasah itu ketika waktu subuh, Isnin lalu.
Beliau berkata, suspek yang merupakan ustaz ganti mencari dan menemui murid terbabit berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Muda lalu membawa mereka pulang sebelum dirotan di dalam bilik kuliah di hadapan rakan-rakan lain.
“Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan lebam pada badan dan luka di kepala,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JPN), Dr Norhizan Ismail mengesahkan seorang daripada tiga mangsa telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), pagi semalam.
“Memandangkan kes ini di dalam siasatan polis, pihak hospital dan JPN tidak akan mengemukakan sebarang kenyataan kerana ia akan mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.
Kelmarin, polis mengesahkan pihaknya menerima satu laporan daripada anak kepada pengasas madrasah itu yang menafikan penglibatan madrasah kerana bimbang nama baik madrasahnya terjejas dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Pengadu berusia 46 tahun membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas menerima kiriman gambar seorang murid berusia 10 tahun dirotan oleh seorang ustaz yang menjadi viral dalam media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Sebelum itu, pengadu juga didapati menghubungi salah seorang ustaz di pusat berkenaan untuk mengesahkan kejadian.
Ustaz yang dihubungi itu mengesahkan perbuatan itu dilakukan ustaz ganti dan ada memaklumkan kepadanya bahawa dia merotan tiga murid berkenaan dan meminta kebenaran untuk murid berkenaan pulang ke rumah.
Pengadu dimaklumkan, alasan ustaz ganti bertindak melakukan perbuatan itu kerana murid berkenaan mahu melarikan diri dari asrama.
Terdahulu, seorang kakitangan swasta memuat naik status dan gambar seorang murid dalam laman Facebook dan menyatakan kekecewaannya terdapat perbuatan merotan sehingga kulit kepala mangsa terkoyak.

Raja buah dijamin murah



durian
GOPENG - Harga durian pada Fiesta Durian Negeri Perak yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini dijamin lima hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran semasa.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri Perak, Basri Jasmo berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 60 metrik tan Raja Buah itu pada fiesta kali ini yang turut berlangsung serentak di beberapa tempat seluruh negara.
Katanya, lebih 20,000 pengunjung disasarkan datang ke fiesta tersebut bagi sama-sama merasai dan menikmati keenakan durian yang disediakan seperti durian kampung, durian klon atau 'Musang King'.
"Dengan kedudukan strategik RTC Gopeng yang terletak bersebelahan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), kunjungan tahun ini jika dilihat secara kasar memang ramai berbading tahun lepas.
"Hari ini sahaja, seawal jam 11 pagi sebanyak 10 metrik tan durian telah habis," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Fiesta Durian Negeri Perak hari ini.  
Basri turut menyarankan orang ramai supaya menikmati durian yang dibeli di RTC tersebut bagi memudahkan mereka menukar kepada buah baharu jika buah yang dibeli tidak elok.
"Bagi yang beli dan membawa pulang pula kita nasihatkan mereka supaya membawa bekas makanan supaya dapat melihat buah itu elok atau tidak," katanya.
Selain buah durian Fama turut menyediakan pelbagai jenis buah lain termasuk rambutan, nangka madu, nanas dan mangis untuk memberikan orang ramai lebih banyak pilihan menikmati buah-buahan tempatan lain.
Fiesta itu dibuka kepada orang ramai bermula dari 10 pagi hingga 10 malam.

MPT giat bangunkan pusat peranginan di Bukit Larut



MPT giat bangunkan pusat peranginan di Bukit Larut
Antara lokasi menarik yang ada di Bukit Larut. Gambar kecil: Abd Rahim
TAIPING - Sejak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengambil alih pengurusan dan pentadbiran Bukit Larut, pelbagai aspek pembangunan kawasan peranginan itu sedang giat dilaksanakan.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, sejak Januari hingga Jun lalu, seramai 8, 030 pengunjung ke Bukit Larut.
Menurutnya, sebanyak RM71,417 berjaya dikutip hasil operasi jip dan RM9,880 hasil daripada penginapan pengunjung di banglow yang disediakan.
“Walaupun kita masih tidak dapat membuat perbandingan, namun angka tersebut diharap mampu menjadi permulaan yang positif ke arah membangunkan Bukit Larut agar menjadi destinasi pelancongan setiap pengunjung yang ke Taiping,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPT, di sini, semalam.
Abd Rahim berkata, tidak lama lagi kafe di Bukit Larut juga akan mula beroperasi.
“Sehingga kini pihak MPT sudah pun mengeluarkan iklan dan kita harap dengan pembukaan kafe itu ia akan menarik lebih ramai pengunjung ke Bukit Larut selepas ini,” katanya.
Beliau berkata, satu lagi aspek penting yang sentiasa diberikan perhatian ialah melibatkan kenderaan pacuan empat roda yang menjadi pengangkutan utama di sini.
“Setakat ini, kita mempunyai lapan jip, namun tidak semua digunakan secara serentak.
“Bagaimanapun, berikutan faktor usia yang sudah begitu lama mengakibatkan ia tidak boleh beroperasi untuk tempoh masa lama.
“Jip-jip ini perlu sentiasa dibaiki dan masih tidak boleh digunakan secara konsisten,” katanya.
Tambah Abd Rahim, bagi mengatasi masalah tersebut, pihak MPT sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada agensi berkaitan.
“Selain itu, kita juga bakal menjalin kerjasama dengan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) bagi membangunkan destinasi pelancongan Bukit Larut,” katanya.
Pihaknya juga sedang dalam proses untuk mewujudkan satu kumpulan khas yang akan ditugaskan bagi mengurus dan merancang pembangunan Bukit Larut.
“Difahamkan 32 individu yang bakal dilantik ini akan memberikan tumpuan khusus kepada setiap aspek pengurusan serta perancangan Bukit Larut.
“Iklan juga telah dikeluarkan dan proses temuduga akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Naik motosikal ke Makkah



Naik motosikal ke Makkah
Zambry (dua, kanan) bersama Wazi (kanan), Meor Azhar (kiri) dan Mat Napiah ketika menghadiri program santai Ride To Hajj.
IPOH – Tiga anak Perak bersama dua rakan dari negeri lain berangkat ke tanah suci menaiki kapcai semalam selepas tiga bulan membuat persediaan untuk menyertai pengembaraan yang dikenali sebagai Ride To Hajj 2016.
Mereka bakal mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia yang menyempurnakan ibadat haji melalui jalan darat menaiki motosikal.
Bekas juara Kejohanan Malaysia Cub Prix, Wazi Abdul Hamid, 45, yang berasal dari Tambun akan mengetuai pengembaraan sejauh 12,500 kilometer itu yang dijangka mengambil masa antara 35 hingga 45 hari untuk tiba di lokasi berkenaan.
Menurutnya, dua lagi anak Perak yang turut terlibat dalam pengembaraan ini adalah peladang, Mat Napiah Mohd Noor, 50, dari Matang dan kontraktor membaiki rumah, Meor Azhar Meor Raflan, 43, dari Bota Kiri.
Selain itu, katanya, pengurus acara, Azman Baharuddin, 52, dari Seremban dan penjawat awam, Othman Darus, 46, turut bersama mereka dalam pengembaraan itu.
“Idea itu tercetus dalam tempoh yang singkat dan kita bersyukur kerana niat untuk melaksanakan pengembaraan ini disokong pelbagai pihak termasuk Lembaga Tabung Haji yang memberikan peluang untuk melakukan ibadat haji.
“Kita juga berasa bertuah apabila Modenas tampil menaja lima motosikal untuk digunakan sepanjang perjalanan menuju ke tanah suci itu.
“Perjalanan ini dijangka akan merentasi tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran sebelum memasuki Arab Saudi.
“Antara cabaran yang bakal ditempuh adalah kita akan melalui kawasan tertinggi dan panas iaitu Banjaran Himalaya setinggi 5,486 meter dengan suhu mencecah 0 darjah Celsius manakala suhu di padang pasir pula dijangka mencapai 55 darjah Celsius.
“Dalam masa sama, kita turut berhubung dengan Kementerian Luar supaya dapat berkomunikasi dengan negara yang bakal dilalui agar perjalanan ini dipermudahkan,” katanya.
Wazi ditemui pada sidang media selepas menghadiri program santai Ride To Hajj bersama Ipoh Bikers yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya, segala peralatan membaiki motosikal juga telah disediakan dan mereka turut dibekalkan alat peranti wifi supaya segala perkembangan terkini dapati dimuat naik dalam media sosial.
Tambahnya, selepas selesai mengerjakan haji, motosikal itu akan diserahkan kepada pelajar Malaysia yang menetap di Jeddah dan Madinah bagi memudahkan mereka menjalani aktiviti harian.
Wazi berharap, perjalanan dia bersama empat rakannya itu dapat muhasabah diri masing-masing serta mendekatkan diri mereka dengan ALLAH SWT.
Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan anak Perak yang bukan sahaja berniat untuk menunaikan haji tetapi menganggap pengembaraan tersebut sebagai satu cabaran.
“Kita tahu mereka perlu merentasi banyak negara dan pastinya mereka memerlukan semangat kuat dari segi fizikal dan mental.
“Saya juga menganggap ini sebagai satu ‘trending’ kerana apabila berjaya, sudah pasti mereka akan menjadi idola kepada anak-anak muda," katanya.

Waspada panggilan minta wang



Waspada panggilan minta wang
Tuanku Muhriz (kanan) berkenan menanam pokok pada majlis itu.
JEMPOL - Masyarakat terutamanya warga emas yang mendapat panggilan telefon mencurigakan sehingga mendorong mereka memasukkan sejumlah wang kepada individu yang tidak dikenali digesa melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, perkara pertama yang perlu mereka lakukan adalah tidak panik selain memaklumkan kepada ahli keluarga lain mengenainya.
“Jangan mendiamkan maklumat berkenaan sehingga menyebabkan bertindak sendirian yang akhirnya memakan diri.
“Jika pihak berkenaan memaklumkan dirinya adalah pegawai polis, mohon mendapatkan pengesahan terlebih dahulu kepada PDRM berhampiran susulan kita tidak mahu berlakunya kes penipuan.
“Jangan mudah percaya kerana hal ini dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab yang inginkan sesuatu dengan cara menipu,” katanya selepas melihat beberapa kejadian penipuan membabitkan wang terutamanya warga emas.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, masyarakat juga diharap tidak menyembunyikan aktiviti jenayah yang dikesan di kawasan masing-masing.
“Walaupun individu yang dikesan terlibat merupakan saudara ataupun sebaliknya.
“Tumpuan kita adalah daerah ini bebas aktiviti jenayah selain memastikan masyarakat selesa dan aman melakukan rutin harian masing-masing.
“Oleh demikian, kita akan berterusan melakukan ‘community policing’ yang ternyata memberi perkembangan positif dalam hal-hal berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Noorzainy menghadiri majlis bersempena keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bersantap bersama Penduduk di Masjid Tunku Puan Chik, Kampung Serting Ilir Jempol.
Turut berkenan berangkat, anakanda Tunku Zain Al - Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Salah jika bela ikan emas di Switzerland



ikan emas
- Gambat hiasan
ZURICH - SWITZERLAND . Di Switzerland, adalah menyalahi undang-undang jika anda hanya membela seekor ikan emas.
Ia berdasarkan satu undang-undang berkaitan hak asasi haiwan yang diperkenalkan di negara itu pada tahun 2008 yang menyatakan ikan adalah makhluk 'sosial' yang memerlukan sahabat.
Laporan techly.com dipetik Mirror.uk, kerajaan Switzerland percaya ia adalah kejam untuk memaksa haiwan seperti itu hidup secara berasingan.
Bagaimanapun, undang-undang ini bukan tertakluk kepada ikan emas sahaja sebaliknya beberapa haiwan lain seperti tikus belanda dan burung budgerigar.
Malah ada syarikat di sana menyediakan perkhidamtan memadankan tikus belanda dengan pasangan lain jika pasangan haiwan itu mati atau berlaku perkara yang tidak boleh dielakan.
Bukan itu sahaja, Switzerland turut memperkenalkan beberapa peraturan pelik berkaitan pemilikan haiwan peliharaan dan antaranya ialah pencinta anjing perlu mengambil kursus sebelum boleh membela hiawan bekenaan dan perlu menjalai latihan pratikal.
Manakala untuk membela kucing pula, pemilik perlu membiarkan haiwan itu diluar supaya dapat melihat kucing yang lain dan jika mahu menyimpannya hanya di dalam rumah, anda perlu membela dua ekor kucing.
Selain itu, bagi sesiapa yang mahu membela burung kakak tua pula, adalah salah jika anda gagal mendapatkan 'kawan' untuk bercakap dengannya.

Saturday, July 30, 2016

Pekin Ibrahim Sahkan Bercinta Dengan Model Antarabangsa



Pekin belum sedia dedah identiti kekasih.
PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim mengesahkan kini sedang hangat bercinta dengan seorang model antarabangsa yang kini menetap di London.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 35, berkata, wanita itu sudah pun memeluk agama islam baru-baru ini dengan menggunakan nama Iman.

"Ya, saya sedang berkawan secara serius kira-kira enam bulan dengan seorang wanita yang bekerja sebagai model dan pelukis di London.

"Saya selalu jumpa dia di sana jika kelapangan dan dia juga sudah beberapa kali datang ke Malaysia.

"Alhamdulillah dia juga sudah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Iman," ujarnya.
Pekin dan Syafie bergandingan dalam filem Kampung Drift.
Pekin ditemui pada majlis tayangan filem Kampung Drift yang diadakan di Cathay Cineleisure, di sini, malam Khamis.
Dalam pada itu, Pekin berkata, mereka masih belum bersedia untuk mendedahkan hubungan istimewa berkenaan berikutan wanita itu terikat dengan beberapa kontrak.

"Saya tidak boleh dedahkan identitinya kerana dia terikat kontrak dengan beberapa jenama terkenal. Dia juga minta saya merahsiakan perkara ini hingga dia tamat kontrak tersebut.

"Inysa-Allah, kalau dia dah sedia, saya tidak kisah untuk berkongsi kepada umum tentang hubungan kami," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang sikap terbukanya bercerita tentang hubungan peribadi, Pekin berkata, dia tidak gemar menyembunyikan sesuatu yang benar berlaku.
Barisan pelakon Kampung Drift yang bakal ditayangkan pada 4 Ogos depan.
"Saya terbuka jika ada yang bertanya, masa saya bercinta dengan Uqasha dulu pun saya tidak pernah mengelak jika wartawan bertanya.

"Bagaimanapun, kami hanya merancang dan tuhan yang menentukannya," katanya.

Dalam perkembangan kerjaya, Pekin turut membintangi filem Kampung Drift yang bakal ditayangkan Khamis depan.

Dia membawa watak sebagai Acai yang juga bapa kepada Johan lakonan Syafie Naswip.

Filem arahan pertama Nevin Hiong ini turut dibintangi oleh Pablo Amirul, Fatin Afeefa dan Syazwan Yunos.

Suhaimi Saad Diugut Gara-gara Status Jadi Viral



Suhimi bersama isteri, Ina Naim dan empat anaknya.
PETALING JAYA: Penyanyi nasyid Suhaimi Saad mengakui menerima beberapa ugutan daripada individu tidak dikenali menerusi mesej peribadi di laman sosial.
Suhaimi, 36, berkata, perkara itu timbul selepas beberapa status berkaitan cara hidup yang diamalkan keluarganya menjadi viral dan tidak diterima segelintir masyarakat.

"Saya terima banyak ugutan daripada beberapa individu tidak dikenali kerana mereka tidak bersetuju dengan pendapat yang saya utarakan di facebook.

"Ramai yang ugut nak pukul, pijak dan macam-macam lagi jika jumpa saya.

"Saya sendiri tidak faham kerana pada saya apa yang saya tulis adalah pendapat dan cara hidup saya itu tidak menganggu kehidupan mereka," ujarnya.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata, perkara itu masih belum sampai ke tahap serius hingga perlu di laporkan ke pihak polis.
Bekas ahli kumpulan InTeam ini mula hangat diperkatakan selepas memuat naik pendapat peribadinya tentang pemberian vaksin pada empat cahaya matanya.
Suami kepada Nordiana Naim atau Ina Naim ini juga sekali lagi menjadi viral dengan kisah rumah tangga yang dikatakan terlalu zuhud dengan tidak memiliki peralatan elektrik, serta tidak memberikan anak mereka kehidupan seperti kanak-kanak lain termasuk mengikuti sisitem pendidikan di negara ini.

Pada awal bulan lalu, dia juga dikecam pengguna laman sosial apabila gambar anak-anaknya didakwa sedang meminta sedekah di bazar Ramadan tersebar.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, kesan viral tersebut, kehidupannya berubah apabila sering dipandang serong masyarakat.

Malah, katanya, kerjaya nyanyian juga menerima kesan apabila lebih tiga persembahannya telah dibatalkan oleh penganjur dengan alasan tidak mahu mencetuskan kemarahan penonton.

"Saya tahu ramai yang tidak suka, malah ada yang kata ingin ludah saya jika jumpa di luar. Perkara itu membuatkan saya jarang keluar rumah sehinggakan ingin ke masjid pun saya kena fikir dua kali.

"Sejak viral itu juga lebih tiga persembahan saya dibatalkan kerana tidak mahu kejadian tidak diingin berlaku. Sejujurnya memang sedih tetapi saya percaya ada hikmah di sebalik perkara yang terjadi," ujarnya.

Selain itu, menjelaskan dakwaan kononya melatih anak-anak minta sedekah, Suhaimi berkata, ia adalah aktiviti bagi mengutip tabung sebuah persatuan kebajikan di Sabah.

"Saya dan isteri menjadi duta untuk sebuah persatuan kebajikan di Sabah dan kami memang sering mengikuti aktiviti mereka untuk mengutip dana.

"Anak-anak saya juga selalu dibawa untuk melatih mereka berhadapan dengan orang ramai," ujarnya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, dia meminta orang ramai agar menghormati cara dan kehidupan yang dipilih untuk keluarganya.
Tambahnya, apa yang dilakukan itu juga tidak menganggu gugat kesejahteraan mana-mana individu dan masyarakat di negara ini.
Suhaimi berkahwin dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Johan (Raja Lawak) Perjelas Isu Kenakan Bayaran Mahal



Johan dan isterinya, Ozlynn bakal bersaing dalam program Super Spontan Superstar yang bakal bermula pada 5 Ogos depan.
PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio, Johan Raja Lawak menyangkal dakwaan kononnya dia mengenakan bayaran yang tinggi kepada pihak produksi Super Spontan Superstar sebelum bersetuju bertanding dalam program berkenaan.
Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 32, sebaliknya berkata, tidak timbul isu bayaran tambahan pula produksi yang menerbitkan program itu adalah milik rakan baiknya sendiri iaitu Afdlin Shauki.

"Sejujurnya sebelum bersetuju dalam sesuatu projek pasti akan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak dan soal bayaran kebiasaannya mengikut tolak ansur.
Ozlynn minta izin suami sebelum bersetuju sertai program berkenaan.
"Seperti Super Spontan Superstar ia diterbitkan oleh rakan baik saya sendiri dan tidak munasabah jika saya kenakan bayaran tidak masuk akal seperti didakwa," katanya.

Super Spontan Superstar bakal bersiaran bermula 5 Ogos depan di saluran Astro Warna 132 dan Mustika HD 134 pada setiap hari Jumaat, 9 malam.

Ia turut bersiaran secara langsung setiap minggu di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini.

Dalam pada itu, Johan berkata, sebagai pelawak dia sentiasa menantikan untuk bertanding dalam Super Spontan Superstar kerana cabaran yang diketengahkan mampu menguji kreativitinya sebagai pelawak.

Malah katanya, idea-idea baharu itu juga berguna sebagai bahan untuk digunakan ketika ke udara sebagai penyampai radio.

"Ini adalah acara tahunan untuk saya kerana ia bukan sahaja menyeronokkan tetapi ia mampu mengasah akal saya untuk cepat dalam membuat keputusan selain memikirkan idea-idea baharu ketika di pentas.

"Ia juga berguna untuk memperbaiki persembahan saya ketika bersiaran di radio kerana perlu sentiasa tampil dengan sesuatu yang segar agar pendengar tidak bosan," ujarnya.

Gimik pelancaran program Super Spontan Superstar.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatan isterinya dalam program sama, Johan berkata dia tidak melihat ia sebagai satu masalah malah memberi peluang kepada mereka untuk bersaing secara sihat.

Kata Johan, sekiranya Ozlynn tidak terlibat dalam program berkenaan wanita itu tetap akan bersamanya kerana dia juga adalah pengurusnya.

"Masuk atau tidak dia tetap berada dengan saya ke mana sahaja saya pergi.

"Jadi alang-alang dah dapat tawaran juga, apa salahnya tambahan pula inilah peluang kami untuk bersaing sesama sendiri kerana kami dipisahkan dengan kumpulan berbeza," jelasnya.

Akui Johan lagi, Ozlynn terlebih dahulu meminta kebenarannya sebelum membuat keputusan menyertai pertandingan itu.

Bekas Vokalis Klangit Ari Hardy Cuba Nasib Keluar Lagu Solo




Ary Hadre
PETALING JAYA: Bekas vokalis Klangit, Ary Hadre bersedia untuk bersaing semula dalam industri hiburan dengan mempertaruhkan single solo pertamanya yang berjudul Janji Palsu.
Ary atau nama sebenarnya Mohamad Nor Hadre Ayub, berkata, lagu ciptaan sepenuhnya Adi Sixth Sense dianggap sesuai untuk dijadikan single pertama kerana kekuatan susunan muzik disamping kematangan vokalnya tersendiri.
“Sejujurnya saya sangat teruja dan sedikit gementar memikirkan respon yang bakal diberikan oleh peminat terhadap single solo pertama saya ini. 
"Jika dilihat melalui susunan muziknya, saya rasa genre ini amat digemari zaman sekarang selain kekuatan liriknya yang amat mendalam dan bisa memberikan kesan terhadap pendengar. 
"Maklumlah, kisah cinta ada bermacam-macam, jadi, lirik lagu ini saya anggap sebagai salah satu kisah sedih dalam menempuhi alam percintaan,” katanya.

Ary berkata, dia yakin Janji Palsu dapat diterima pendengar terutamanya peminat-peminat kumpulan Klangit dan bakal menjadi sebuah lagu pilihan pendengar di radio-radio tempatan.

Janji Palsu ini mengisahkan tentang pasangan yang tidak berlaku jujur dalam perhubungan dan seringkali memberikan janji palsu hingga akhirnya percintaan mereka kecundang.

Untuk makluman, kumpulan Klangit pernah menerima anugerah platinum atas kejayaan mereka mencatat penjualan nada dering tertinggi menerusi lagu Sesal Mendua oleh Sony Music.

Ariana Grande-Ricky Alvarez Berpisah Selepas Setahun Bercinta



Ariana Grande dan Ricky Alvarez hanya sempat mempertahankan hubungan cinta mereka selama setahun.
PENYANYI Ariana Grande dan teman lelakinya Ricky Alvarez dilaporkan sudah berpisah hanya selepas setahun menjalinkan hubungan cinta.
E Online melaporkan Ariana yang mengambil keputusan berpisah dengan lelaki berkenaan kerana sudah tidak mempunyai persefahaman.

Bagaimanapun sumber terdekat penyanyi itu menyangkal dakwaan perpisahan itu berpunca daripada sikap Ricky yang curang terhadapnya.

"Dia gembira dengan kehidupan solo tanpa terikat dengan sebarang hubungan buat masa ini.

"Mereka masih kekal sebagai rakan walaupun telah berpisah," katanya.

Ariana sebelum ini memberi gambaran tentang perpisahan tersebut apabila bertindak memadam gambar dan status berhubung lelaki berkenaan di laman sosial.

Kangin (Super Junior) Bakal Dihadapkan Ke Mahkamah




Kangin bakal dihadapkan ke mahkamah akibat memandu dalam keadaan mabuk.
PENYANYI Kangin daripada kumpulan Super Junior bakal dihadapkan ke mahkamah selepas dia ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk baru-baru ini.
Soompi melaporkan Kangin kes tersebut bakal disebut pada 17 Ogos depan untuk dibicarakan di hadapan hakim.

Kangin juga terpaksa membayar ikat jamin sebanyak USD6,200 sebelum kes itu disebut di mahkamah.

Pada 24 Mei lalu, Kangin melanggar pembahagi jalan dalam keadaan mabuk dan akibat kejadian itu dia dikecam oleh peminatnya.

Kangin dalam satu kenyataan mengakui kesalahan itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada peminat.

Perkahwinan cara Islam: Itu cara saya berdakwah



Afad
Afad
BERDAKWAH bagi mengajak manusia mengenali Islam boleh dilakukan melalui pelbagai cara.
Itulah dilakukan bekas vokalis kumpulan nasyid Raihan, Afad dalam usaha menarik masyarakat terus mendekati dan mencintai Islam.
Selain sering mengadakan kuliah di masjid di kawasan tempat tinggalnya, Afad atau nama sebenarnya Zulfadli Mustazar, 32, turut mempromosikan perkahwinan mengikut cara Islam.
Menceritakan penglibatannya dalam bidang itu, Afad berkata, pada mulanya, dia dipanggil untuk membaca selawat dan melakukan persembahan pada majlis perkahwinan untuk beberapa tahun.
“Tetapi saya mengambil keputusan untuk mengajak masyarakat Islam untuk melakukan perkahwinan secara Islamik setelah membaca beberapa buku serta merujuk kepada beberapa agamawan.
“Beberapa ustaz yang saya jumpa setuju dengan hasrat saya untuk mempromosikan perkahwinan Islamik,” katanya kepada Zass.
Bertemu Afad di kediamannya, anak muda ini berkongsi mengenai syarikat yang ditubuhkan bagi mengendalikan perkahwinan.
“Saya banyak merujuk pelbagai sumber bagi memastikan sesebuah perkahwinan dikendali ikut syariat.
“Saya tidak sekali-kali memikirkan perniagaan ini akan mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya mahu semua pihak, termasuk rakan-rakan saya yang mengendalikan majlis tersebut mendapat keberkatan daripada apa yang mereka lakukan,” katanya.
Jelasnya, apa yang dilakukan ini hanya sebagai pemudah cara sahaja di mana sebelum sesebuah majlis berlangsung, keluarga pengantin akan berjumpa dengannya untuk mendapatkan nasihat daripadanya.
“Biasanya, saya akan jelaskan kepada keluarga pengantin, apakah tujuan walimatul urus diadakan supaya mereka faham dan mendapat gambaran sebenar,” katanya.
Pada majlis itu, pihaknya akan menukar beberapa adat perkahwinan yang dirasakannya tidak sesuai dengan syariat Islam.
“Contohnya, kita tukar adat menepung tawar dengan beberapa tindakan lain seperti bersalaman dengan ahli keluarga, bacaan doa daripada pengantin lelaki dan lain-lain lagi,” katanya.
Katanya, inilah caranya berdakwah dan berharap usaha ini akan terus diterima.
Aktif bersama NGO
Selain melakukan perkahwinan Islamik, Afad turut aktif melakukan pelbagai kerja amal dengan menyertai beberapa NGO.
Bagi Afad, dengan menyertai program-program amal, ia akan terus mendidik jiwa dan diri seseorang untuk terus bersyukur.
“Dengan cara ini, saya boleh dekati masyarakat dengan mendengar luahan hati mereka.
“Selain itu, apabila kita lakukan kerja amal, akan terbit rasa syukur bagi mengenangkan kesenangan hidup yang dianugerahkan ALLAH SWT,” katanya.
Afad bersama beberapa kumpulan nasyid lain pernah bekerjasama dengan pertubuhan bantuan Islam antarabangsa, Islamic Relief untuk mencari dana bagi pertubuhan itu, dalam usaha pertubuhan itu untuk bantu golongan memerlukan pada Ramadan lalu.
Dalam pada itu, Afad turut melakukan kerja amal bersama pertubuhan yang menghimpunkan artis yang meminati motosikal berkuasa besar yang dikenali sebagai Malaysian Musician Bikers (MMB).
“Pada Ramadan lalu, saya bersama beberapa artis di dalam pertubuhan ini berbuka puasa di sebuah pusat tahfiz di Lembah Klang. Insya-ALLAH, kami merancang melakukan beberapa program lagi pada masa akan datang,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai MMB, pertubuhan ini telah dilancarkan pada 2013 dan disertai 70 artis. Kumpulan itu ditubuhkan oleh seorang pemuzik, Shamsul Hadi.
Selain menunggang motosikal bersama-sama, Afad berkata, anggota kumpulan ini kerap melakukan usrah bersama-sama.
“Kebiasannya, kami akan berkumpul pada waktu tengah malam. Meskipun kami adalah artis, kami jarang berbual kosong.
“Sebaliknya, kami berbincang mengenai pelbagai isu seperti isu keagamaan, negara dan hiburan sendiri,” katanya.
Kenangan bersama Raihan
Bercerita mengenai pengalamannya bersama Raihan, Afad berkata, penglibatannya di dalam kumpulan nasyid tersebut selama 10 tahun adalah antara kenangan paling indah yang pernah berlaku di dalam hidupnya.
Katanya, dia mula menyertai Raihan pada 2006 setelah vokalis Raihan sebelum ini, Nazrey Johani meninggalkan kumpulan itu.
“Saya mula menyertai Raihan setelah menghadiri ujibakat yang dianjur kumpulan itu. Sewaktu saya diuji bakat, salah seorang daripada ahli kumpulan itu menegur saya kerana pernah mengecam saya sebelum ini.
“Saya beritahu mereka, saya bersama kumpulan saya pernah menyertai pertandingan dianjurkan Raihan dan berjaya memenangi pertandingan itu,” katanya.
Walaubagaimanapun, anggota kumpulan itu berpesan kepadanya bahawa tujuan tertubuhnya Raihan bukanlah berkisar kepada populariti dan keuntungan semata-matanya.
Sebaliknya, Raihan ditubuhkan untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat untuk mendekati serta mencintai Islam.
“Apabila saya mendengar peringatan tersebut, saya tidak berfikir panjang dan bersetuju untuk menyertai mereka,” katanya.
Antara pengalaman yang tidak pernah dilupakannya adalah sewaktu menganggotai Raihan apabila diminta menjadi vokalis utama dalam sebuah program televisyen, beberapa hari selepas sesi ujibakatnya dengan Raihan.
Katanya, pada mulanya, dia sepatutnya menjadi vokalis utama bersama-sama seorang lagi peserta ujibakat itu. Namun, lelaki tersebut tidak muncul semasa program itu hendak dilangsungkan.
“Pada ketika itu, hati saya sangat berdebar kerana saya tidak menghafal kesemua lagu Raihan. Namun, ahli Raihan menengangkan serta memberi sokongan kepada saya.
“Alhamdulillah, saya berjaya laksanakan tanggungjawab saya pada hari itu,” katanya.

Kerinduan Noryn Aziz



Kerinduan Noryn Aziz
PENYANYI jazz, Noryn Aziz mengakui rindu untuk kembali merakamkan lagu terbaharu. Kali terakhir penyanyi berusia 40 tahun ini merakamkan single adalah menerusi lagu Mutiara dan Tinta Putih pada 2013.
Begitupun, hasratnya itu terpaksa ditangguhkan seketika selepas bergelar ibu kepada Raja Bariq Umar Shah, yang kini berusia dua tahun.
Tambahan pula, isteri kepada Datuk Raja Kamarul Bahrin ini lebih selesa menjaga anaknya sendiri daripada mendapatkan khidmat pembantu rumah.
“Sebenarnya, saya lebih kepada berehat di rumah seterusnya menguruskan rumah tangga.
“Hampir 24 jam masa saya dihabiskan dengan anak saya. Lagipun, dia masih kecil dan sedang lasak, jadi perlu lebih perhatian.
“Saya juga tidak pernah berpisah dengannya dan sebab itu hubungan kami jadi terlalu rapat,” katanya pada Zass.
Rentetan itu, pemilik nama sebenar, Norazmahwati Abdul Aziz ini mengakui pembabitannya dalam dunia seni kini agak terhad.
Atas dasar itu, Noryn lebih selektif dalam memilih persembahan selain sekadar memenuhi undangan bagi meraikan sesuatu majlis.
“Tidak banyak yang boleh dilakukan sekarang. Tunggulah anak besar sedikit. Mungkin dalam tempoh setahun dua lagi.
“Dia umpama ‘shadow of your smile,’ sifatnya itu tidak boleh berenggang.
“Ke mana sahaja saya pergi, dia pasti akan membuntuti saya - tidak kiralah ke dapur, tandas, ruang tamu atau ke mana-mana sahaja,” katanya.
Menganggapnya sebagai satu cabaran, Noryn yakin impiannya itu dapat digapai selepas anaknya semakin membesar.
Bahkan, Noryn membayangkan langkahnya dalam bidang nyanyian kembali terbuka selepas Raja Bariq Umar Shah memulakan sesi prasekolah kelak.
“Oleh kerana sudah lama saya tidak merakamkan lagu, jadi, saya percaya saya perlukan seorang guru untuk tunjuk ajar.
“Lagipun, apabila sudah lama tidak menyanyi, saya perlu ‘brush up’ semula suara saya,” katanya.