Thursday, November 19, 2015

Tiga pasang kembar seiras dalam satu kelas



Tiga pasang kembar seiras dalam satu kelas
Nor Aswa (kanan) dan Wan Aida (tengah) bersama tiga pasang murid kembar seiras Tahun Satu Nilam SK Seri Bandi 2.
BANDAR SERI BANDI - Jarang sesebuah kelas di sekolah memiliki pelajar kembar seiras lebih dari sepasang seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bandi 2 kerana salah sebuah kelas tahun satunya mempunyai tiga pasang murid kembar seiras.
Keadaan itu menjadikan Kelas Satu Nilam SK Seri Bandi 2 unik dan menjadi sebutan guru dan penduduk.
Tiga pasang kembar seiras itu yang terdiri daripada dua pasang murid lelaki dan sepasang murid perempuan bukan sahaja menjadi penyeri kelas malah mereka juga mencetuskan suasana kelakar.
Dua pasang murid kembar lelaki berkenaan adalah Azeem Haiqal Azmi dan Azeem Haziq Azmi serta Mohamad Amerul Fahmi Jusoh dan Mohamad Amerul Hakimi Jusoh sementara kembar perempuan pula bernama Nur Sumairah Mahamad dan Nur Sumaiyah Mahamad.
Guru Kelas Satu Nilam, Nor Aswa Mustafar berkata, suasana yang menggelikan hati tercetus apabila ramai guru yang mengajar kelasnya itu tertukar orang ketika menyebut nama murid kembar berkenaan.
“Jika tertukar orang, bukan sahaja semua murid ketawa, tapi guru pun ikut ketawa juga sebab kes tertukar nama bukan sahaja berlaku ketika awal tahun tapi berlanjutan hingga akhir tahun.
“Pasangan kembar perempuan ramai cikgu tak dapat bezakan sebab mereka seiras,” katanya.
Katanya, bagi kembar lelaki, Azeem Haiqal dan Azeem Haziq, dia dapat cam dan bezakan mereka melalui mata di mana salah seorang memiliki mata lebih bersinar dan bulat.
“Bagi pasangan kembar Amerul Fahmi dan Amerul Hakimi pula mereka dapat dibezakan melalui potongan rambut. Walaupun kadang-kadang saya dan cikgu lain terkeliru untuk mengenal keenam-enam mereka, tapi mengajar tiga pasang kembar seiras dalam satu kelas ini merupakan sesuatu yang sangat menarik dan menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Seri Bandi 2, Wan Aida Wan Ali berkata, tahun depan, dijangka lima pasangan kembar akan mendaftar masuk ke tahun satu di sekolahnya itu.
“Kami sudah ada pengalaman tiga pasang kembar seiras jadi kami sangat teruja untuk terima lima pasang kembar baharu pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: