PRESIDEN Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, 60, juga dikenali sebagai 'tukang lapor' apabila sudah membuat hampir 1,000 laporan polis berkaitan isu semasa terutamanya hal yang menyentuh agama Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Manakala Faye Kusairi adalah bintang yang semakin meningkat naik dan meninggalkan lakonan yang memberi kesan menerusi drama Istikarah Cinta.
Biarpun berada dalam dua arena berbeza, ia tidak menghalang kedua-dua figura ini bergabung KLFX Superspeed Malaysia Finale By Meps yang berlangsung pada 14 dan 15 November lalu di Melaka International Motorsport Circuit (MMIC), Ayer Keroh, Melaka.
Baik Abdul Rani yang lebih dikenali dengan panggilan Rani Kulup dan Faye, kedua-duanya sama mahu mengajak masyarakat terutamanya golongan belia ke litar lumba.
Dilantik sebagai duta KLFX Superspeed Malaysia selama setahun, Faye yang sememangnya pemandu kereta lumba, bersetuju untuk bersama pihak penganjur menarik minat golongan belia ke litar lumba.
"Kita sering lihat sesetengah golongan belia menjadikan jalan raya sebagai litar lumba dan secara tidak langsung membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
"Jadi menerusi program seperti ini kita berharap dapat menarik golongan belia khususnya ke litar lumba, biarpun mereka ada sebuah kereta biasa sahaja.
"Kerana dari program seperti ini, dari sebuah kereta biasa lama kelamaan kita boleh ubah suai kereta ke sebuah kereta lumba.
"Secara tidak langsung ia akan membawa golongan belia ke litar lumba dan mereka tidak lagi akan berlumba di jalan raya," katanya kepada Zass.
Sependapat dengan Faye, Rani Kulup berkata, biarpun sudah berusia, ia tidak menjadi penghalang buatnya mengajak golongan belia ke program seperti ini.
Biarpun ada yang menyifatkan populariti Rani Kulup dipergunakan untuk menarik golongan belia, namun bagi empunya diri, ia bukan satu masalah.
"Kalau dipergunakan untuk program yang baik seperti ini apa salahnya. Lagipun saya memang mahu berbakti kepada bangsa, agama dan negara.
"Harapan saya untuk tahun 2016, kita dapat angka sifar dalam kes perlumbaan di jalan raya. Kita bawa orang berlumba di trek dan kalau ada kemalangan terjadi, ia berlaku secara terhormat," ujarnya.
Program berterusan
Dalam pada itu, wakil penganjur KLFX Superspeed Malaysia, Amir Mokhsein Abdullah berkata, pemilihan kedua-dua figura ini adalah bertetapan dengan perjalanan program yang mereka jalankan.
"Faye adalah seorang figura yang bukan sahaja berbakat dalam bidang lakonan tetapi juga mempunyai kemahiran di litar lumba.
Manakala Ayah Rani pula dia sebagai penasihat program yang membantu kita merangka perjalanan program ini dan dalam masa yang sama membantu mempromosikan lagi program ini.
"Jadi kami lihat kedua-dua figura ini mempunyai kekuatan tersendiri untuk mengajak golongan sasaran mengikuti program kami," katanya.
Bercerita lanjut mengenai KLFX Superspeed Malaysia, Amir berkata, program ini pada asalnya dianjurkan atas minat pihak penganjur.
Program ini memulakan siri kejohanan di beberapa kawasan luar bandar bermula 15 Februari 2015 di MMIC dan seterusnya pada Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah Perak Darul Ridzuan, Litar UUM Sintok, Kedah Darul Aman, USJ ELITE Subang Jaya dan beberapa kawasan yang lain.
"Program ini tidak berakhir setakat minggu lalu sahaja kerana ia akan menjadi program berterusan sehingga tahun depan bersama duta, Faye," ujarnya.
Jalin kerjasama
Sementara itu penganjur KLFX Superspeed Malaysia Finale By Meps, ZCT Network menerusi wakilnya, Azizul Nazri menyifatkan program ini bagus dalam mendidik golongan belia untuk meminati sukan lumba kereta.
"Seperti yang kita sedia maklum, sukan lumba kereta ini memerlukan bajet yang besar untuk seseorang memodifikasi dari sebuah kereta biasa ke sebuah kereta lumba.
"Jadi sebagai sebuah syarikat yang menjalankan seminar pengurusan kewangan, kami melihat program mempunyai kaitan dan secara tidak langsung kami membantu belia menguruskan kewangan dan mereka boleh menyertai sukan lumba kereta seperti ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: