Saturday, November 21, 2015

Sate ikan keli Pahang jadi pilihan



Sate ikan keli Pahang jadi pilihan
Adnan (tiga, kiri) mengiringi Sh. Puzi (empat,kiri) merasa hidangan sate keli yang siap diproses dan dibakar pada demonstrasi yang diadakan.
PEKAN - Sejak dulu, ikan keli bersaiz besar iaitu dua kilogram ke atas sememangnya tidak mendapat tempat di pasaran, malah harganya turut diniaga rendah ekoran hanya diambil pengusaha kolam pancing.
Keadaan berkenaan disedari Jabatan Perikanan negeri Pahang yang mencari jalan alternatif bagi menaikkan 'saham' ikan keli di pasaran melalui usaha mewujudkan perusahaan dan pemprosesan sate ikan keli.
Pengarahnya, Adnan Hussin berkata, makanan berasaskan isi ikan keli itu bukan suatu yang baharu kerana ia (sate ikan keli) telah diusahakan di kawasan Lembah Klang dan mendapat sambutan hebat.
"Perusahaan ini amat tepat dilakukan seiring dengan kelebihan negeri Pahang sendiri yang terkenal sebagai negeri pengeluar utama ikan keli di Pantai Timur iaitu sebanyak 32 tan metrik setahun.
"Mungkin sate ini adalah satu menu baru bagi kita dan ragu-ragu untuk dicuba, tetapi bagi yang telah mencubanya, mereka akan dapat bau aroma enak dan rasanya juga lazat seperti daging biasa," ketika penyerahan elaun sara hidup kepada nelayan darat dan demonstrasi pemprosesan sate ikan keli di perkarangan Pejabat Perikanan daerah Pekan.
Seramai 714 orang nelayan darat (sepenuh masa) dari seluruh Pahang menerima elaun sara hidup yang berjumlah RM 1.43 juta bagi tempoh setahun.
Adun Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohd Puzi Sh Ali hadir menyampaikan elaun berkenaan bagi bulan November kepada 64 orang nelayan darat daerah Pekan melibatkan jumlah sebanyak RM12 800.
Sementara itu, dua tenaga pengajar professional dari Putrajaya turut dibawa bagi mengajar cara-cara memproses dan membuat sate ikan keli dengan cara yang betul dan menepati citarasa pasaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: