Saturday, November 21, 2015

Isma: 'Pengajaran buat saya'



Azma Aizal Yusoof
Azma yang kini mahu dikenali dengan nama Isma.
PENGARAH yang juga pelakon, Azma Aizal Yusoof, 33, mengaku bersalah mengasari pelakon, Ika Nabella di set penggambaran drama Dawai Asmara, pada 2 November lalu.
Menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran besar dalam hidupnya, Azma yang kini mahu dikenali dengan nama Isma menjelaskan dia berbuat begitu kerana terlalu komited dengan kerjanya.
Mengakui menghidap 'Bipolar Disorder', Isma bagaimanapun menegaskan dia dalam keadaan sedar ketika kejadian tersebut berlaku.
"Saya mengaku bersalah kerana mengasari Ika tapi saya bukan menumbuk seperti yang dilaporkan sebaliknya menampar pipi dan memukul lengannya.
"Saya bertindak sebegitu kerana saya terlalu komited dengan kerja saya dan saya mahu berikan yang terbaik dalam menghasilkan drama tersebut. Drama ini adalah drama paling berat yang pernah saya arahkan.
"Dan saya akui saya masih belajar dalam bidang pengarahan dan saya mencuba pelbagai ‘method’ untuk mengajar pelakon tentang lakonan dan salah satunya dengan ‘method’ tersebut.
"Saya juga dalam keadaan sedar ketika itu kerana saya tidak pernah lupa mengambil ubat. Mungkin saya patut jelaskan 'method' tersebut.
"Saya akui pernah menggunakan ‘method’ tersebut terhadap beberapa pelakon lain namun tidak sampai membabitkan kes polis. Tapi saya berjanji tidak akan membuat perkara seumpama itu selepas ini," katanya dalam satu sidang media khas bagi menjelaskan mengenai punca dia mengasari Ika, bertempat di pejabat urusan Suhan Movies Sdn Bhd, di Setiawangsa, semalam.
Isma berkata, selepas Ika membuat laporan polis, dia terus menyerah diri kepada pihak polis di Balai Polis Hulu Klang dan kes berkenaan seterusnya dibicarakan di mahkamah.
"Kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dan saya telah dijatuhkan hukuman bersalah terhadap serta dikenakan didenda sebanyak RM2000 pada 13 November lalu," katanya.
Dalam kejadian itu, Ika mendakwa dia ditumbuk dan dipukul Izma hingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian muka dan beberapa bahagian badan.
Ika membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang, pada sebelah malam hari kejadian. Dia juga telah menarik diri daripada produksi tersebut.
Tambah Isma, selepas dijatuhkan hukuman, dia mengambil keputusan untuk menarik diri daripada produksi drama terbitan Suhan Movies Sdn Bhd milik Rosyam Nor.
"Saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku, saya telah selesai kerja saya sebanyak tujuh episod dan saya mengambil keputusan menarik diri daripada pihak produksi," katanya.
Sementara itu, difahamkan pihak Suhan Movies telah menggantikan Izma dengan pengarah Aidilfitri Mohd Yunus dan watak Ika digantikan oleh pelakon baharu Putri Najwa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: