![]()
GUNASELVI memberi jaminan radio internet Twitz.fm Sahana sebagai pilihan alternatif yang menghiburkan.
|
WALAUPUN baru setahun ke udara, Twitz.fm Sahana, sebuah stesen radio Tamil tempatan kini semakin popular baik dalam kalangan pendengar tempatan mahupun di luar negara.
Stesen tersebut merupakan stesen radio Tamil pertama yang memperoleh lesen di Malaysia untuk beroperasi secara dalam talian menerusi laman web www.twitz.fm/sahana.
Bekas deejay sebuah stesen radio Tamil yang popular di Astro, Gunaselvi Chelliah yang kini bertugas di stesen itu berkata, kewujudan stesen radio Tamil dalam talian memberikan pilihan kepada para pendengar untuk berhibur.
"Kami mempunyai pendengar dari seluruh dunia. Antaranya termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Lebanon dan Sri Lanka.
"Selaku sebuah stesen radio internet, kami dapat berhubung tanpa sempadan, malah stesen ini satu-satunya radio internet berbahasa Tamil di negara ini yang berlesen dan memperoleh kelulusan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP)," ujar Gunaselvi atau lebih dikenali sebagai Selvi.
Twitz.fm merupakan stesen radio yang dimiliki syarikat rakaman Infinity, yang diusahakan oleh K. S. Kannadasan, 49.
Sasaran pendengar radio tersebut ialah generasi muda, hype dan pelayar internet.
"Cabaran utama kami ialah untuk memperkenalkan jenama Sahana menggunakan medium internet. Kami banyak melakukan promosi dalam talian seperti laman sosial Facebook dan Twitter.
"Selain itu, kami juga meneruskan hubungan baik dengan beberapa syarikat hiburan di India sekali gus memudahkan untuk mendapatkan berita-berita hiburan terbaharu," kata Kannadasan.
Di konti radio Twitz.fm Sahana, semua peralatan dan gajet yang digunakan adalah canggih dan terkini.
Stesen tersebut turut mempunyai dua orang deejay lain iaitu Khartik Ganason, 24, yang dikenali sebagai DJ Khartik dan S. Samson Thomas, 26, iaitu DJ Saint.

Dari kiri : DJ SAINT, Khartik dan Selvi sibuk melayan pendengar sambil memutar lagu pilihan di stesen radio internet Tamil, Twitz.fm Sahana.
Pendengar setia
Khartik ke udara pada waktu malam dari pukul 8 hingga 11 malam. Walaupun kurang fasih berbahasa Tamil tetapi beliau mempunyai gaya tersendiri yang menjadi tarikan pendengar.
Selain itu, Khartik peka dengan berita hiburan Tamil dan Hollywood semasa.
"Kami ada pendengar setia yang hanya mengenali kami melalui suara. Tetapi saya percaya bilangan tersebut akan bertambah pada masa akan datang.
"Saya juga seronok menjadi sebahagian daripada keluarga Twitz.fm Sahana kerana pendedahan terhadap peralatan di konti yang canggih dan terkini membuatkan kerja menjadi mudah serta menyeronokkan. Kami juga sentiasa menyajikan berita-berita terbaharu mengenai hiburan Tamil di seluruh dunia," ujar Khartik.
Dalam pada itu, DJ Saint mengendalikan sesi siaran dari pukul 11 pagi hingga 3 petang. Pada pendengarnya terdiri daripada pelajar kolej dan pekerja pejabat.
"Ketika ini, kami membekalkan hiburan dan info hiburan yang lengkap tanpa banyak iklan komersial.
"Ketika ke udara kami bebas bersembang bersama para pendengar dengan membincangkan isu-isu semasa. Kami juga turut menyenarai filem terbaik atau terburuk, topik-topik semasa berkaitan golongan muda, temuramah tetamu jemputan di samping menawarkan kebebasan kepada pendengar untuk berkongsi maklumat," kata DJ Saint.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: