Sunday, November 3, 2013

Trio pelapis pengacara

WAJAH-WAJAH baharu program 3R ini menjanjikan program tersebut akan menyediakan pelbagai isu menarik berkaitan wanita.


NAMA-NAMA seperti Azah Yasmin Yusof, Rafidah Abdullah, Low Ngai Yuen, Kartini Ariffin dan Celina Khor terlebih dulu mencipta nama menerusi rancangan televisyen 3R (Respek, Relaks, Respon).
Selepas 13 musim ke udara, untuk edisi pada tahun 2013, 3R muncul semula bersama tiga muka baharu. Tiada jalan mudah untuk mereka, sebaliknya trio 3R versi baharu yang terdiri daripada Dayah Bakar, Amirah Azmi dan Yvonne Lee sebenarnya tiga peserta terbaik yang lulus ujian menerusi program pencarian pengacara baharu, Projek 3R baru-baru ini.
Pada minggu lalu, wanita muda itu mula bersiaran dalam episod pertama 3R yang mengenengahkan isu bertajuk Lelaki Kaki Pukul.
Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar, 24 yang sebelum ini pernah menjadi pengacara rancangan Hijabista di TV9 menjelaskan bahawa penglibatannya dalam 3R merupakan platform untuk mengembangkan potensi diri.
"Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada keluarga 3R dan seperti berada dalam mimpi. Tetapi jika kita bersungguh-sungguh mahu melakukannya, pasti mimpi boleh menjadi realiti. Itulah yang telah saya lakukan," katanya.
Bagi Amirah, 22, atau nama penuhnya Siti Nor Amirah Mohammad Azmi, dia menggunakan platform itu untuk memberi sumbangan kepada remaja perempuan dalam bentuk pendidikan hiburan.
"Saya berharap dapat berkongsi idea dan isu semasa berkaitan gadis seperti saya supaya mereka tahu bagaimana untuk menangani isu-isu berkenan. Semoga mereka memberi respons yang menggalakkan kepada saya," ujar graduan ijazah sarjana muda dalam perakaunan daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu.
Dalam pada itu, Yvonne yang merupakan bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2012/13 pula menjanjikan perkongsian pengetahuan yang menyeronokkan buat penonton.
"Team 3R bagaikan sebuah keluarga buat saya. Berada di sini membuatkan saya melalui proses mengenali diri serta membantu perkembangan pemikiran dan cara saya melihat dunia.
"Pastinya saya mahu menarik lebih ramai penonton baharu kerana kami menjanjikan pelbagai isu berkaitan wanita yang terkini, lebih hangat dan menarik. Ia akan diolah dengan cara yang menyeronokkan," kata graduan ijazah komunikasi media tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: