Tuesday, November 5, 2013

Tomok nilai 11 peserta Idola Kecil 6


BARISAN 11 peserta Idola Kecil 6 dan tenaga pengajar sudah bersedia untuk memulakan musim baharu program realiti terkenal itu.


BULAN ini bakal menyaksikan musim terbaharu program realiti kanak-kanak nombor satu negara, Idola Kecil ditayangkan melalui saluran TV9.
Program pencarian bakat cilik itu telah menjelajah ke tiga lokasi iaitu di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada Oktober lalu.
Hampir 1,000 orang telah hadir untuk mencuba nasib dan hanya 28 peserta terpilih untuk ke peringkat saringan yang diadakan di Cheringin Resort, Janda Baik baru-baru ini.
Kesemua peserta telah menunjukkan persembahan yang begitu menakjubkan, namun hanya 11 peserta terpilih untuk mewarnai pentas Idola Kecil musim keenam (IK6).
Menurut Pengurus Besar TV9, Zurina Othman, walaupun musim ini TV9 hanya menjelajah ke tiga buah lokasi, namun beliau berpuas hati kerana para peserta menampilkan vokal yang sangat berkualiti.
“Ini memberi kesukaran kepada pihak penerbitan, terutamanya para juri untuk membuat pemilihan.
“Kejayaan mereka bukan sahaja berdasarkan vokal malah kehandalan serta kemahiran mereka dalam tarian dan lakonan turut diambil kira,” jelas Zurina ketika sidang akhbar baru-baru ini.
Tambah Zurina, selain menyediakan platform untuk mengasah dan mempamerkan bakat terpendam mereka, Idola Kecil 6 turut memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari tutorial muzik dan menimba ilmu serta pengalaman berharga pada musim cuti sekolah seperti membentuk jati diri, bertanggungjawab dan yang paling utama adalah mewujudkan sikap setia kawan.
Pada musim ini, Idola Kecil 6 menampilkan lima peserta lelaki dan enam peserta perempuan.
Lima peserta lelaki berbakat yang terpilih ialah Abdul Razzaq Muqri Abdul Qahhar, 12, dari Melaka, Ammierul Daneal Eddy Noor, 12, dari Selangor, Danial Cheur Hamasiah, 12, dari Sabah, Muhammad Aliff Kadiron, 12 dari Johor dan Razin Aiman, 12, dari Selangor.

DARI kiri: Fuzzwayne, Cikgu Delly, Tomok dan AG Coco pada sidang akhbar Idola Kecil 6 yang diadakan di Cathay Cineleisure, Damansara baru-baru ini.


Peserta perempuan pula terdiri daripada Aby Norlila Kamaruddin, 12, dari Selangor, Aida Syazlina Mohammad Azmi, 11, dari Johor, Nur Afreena Saiful Najib, 12, dari Kuala Lumpur, Shafiqah Amira Sukor, 12, dari Pahang, Nur Emilia Natasha, 11, dari Perak dan peserta paling bongsu, Nor Aleeya Nor Edwan, 10, dari Johor.
Malah, Idola Kecil 6 juga menampilkan juri tetap yang baharu iaitu seorang penyanyi dan pelakon, Shah Indrawan Ismail atau Tomok. Setiap minggu Tomok akan dibantu oleh dua lagi juri yang berpengalaman seperti komposer, pengarah muzik ataupun penulis lirik untuk menilai dan mengadili persembahan dan vokal para peserta.
“Ini kali pertama saya menjadi juri tetap untuk program realiti TV. Saya begitu teruja dan kagum dengan bakat yang ada pada para peserta,” jelas Tomok.
Menurut Tomok, pentas Idola Kecil merupakan platform terbaik untuk menggilap dan mencungkil bakat si kecil.
Idola Kecil 6 turut menampilkan tenaga pengajar yang sangat berpengalaman serta kreatif untuk membimbing dan membantu para peserta.
Fadlita Mohd. Tain atau Cikgu Delly masih lagi menggalas tugas sebagai guru vokal. Turut membantu Cikgu Delly dalam susunan muzik dan komposer ialah AG Coco atau nama sebenarnya Hezry Hafidz. Guru tari pada musim ini akan diterajui oleh Fazrin Zainudin atau Fuzzwayne.
‘Abang Long’ dalam kalangan peserta Idola Kecil, Alif Satar, masih lagi kekal sebagai pengacara pada musim ini.
“Saya sudah lima kali menjadi pengacara Idola Kecil. Tapi pada Idola Kecil 6, saya lihat para peserta sangat berbakat dan mempunyai vokal yang memang luar biasa. Kali ini kita boleh jangka satu persaingan yang amat sengit antara peserta dan kita akan tampil dengan konsep berbeza iaitu mereka akan diiringi dengan muzik live band,” jelas Alif.
Hot FM juga akan mempromosikan secara eksklusif kesemua peserta Idola Kecil 6 dengan temu bual mingguan dan pelbagai aktiviti lain.
Idola Kecil 6 akan mula bersiaran di TV9 menerusi episod pengenalan pada 9 November, Sabtu, pukul 8.30 malam, manakala konsert mingguan pertama dijadual menemui penonton pada 16 November, Sabtu pada pukul 8.30 malam.
Seperti musim yang lalu, penonton akan berpeluang untuk mengikuti perkembangan dan gelagat peserta cilik ini menerusi Idola Kecil Klip Mini yang akan disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6.30 petang selama dua minit bermula 11 November.
Klip mini ini akan diterajui oleh Ben Laden dari Idola Kecil 5.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: