• Tiz Zaqyah sedia akhiri zaman bujang

FIGURA ini mula menarik perhatian ramai menerusi drama rantaian Nur Kasih menerusi watak gadis bertudung bernama Nur Amina.

Semenjak dari itu, populariti gadis berusia 25 tahun ini terus melonjak naik dek keberkesanan lakonannya dalam setiap drama yang dibintanginya.

Namun lumrah menjadi selebriti, bukan perkembangan karier yang diberi perhatian, bahkan kisah peribadi seseorang selebriti itu juga turut menjadi perhatian ramai.

Mula dihidu bercinta dengan pasangannya dalam drama tersebut iaitu Remy Ishak, mereka pada mulanya dilihat saling menafikan perhubungan tersebut sebelum mengiakan.

Biarpun menjadi antara pasangan paling disukai peminat, namun percintaan Tiz dan Remy terlerai juga di tengah jalan.

Bagaimanapun kata orang, patah tumbuh, hilang berganti. Perpisahannya dengan Remy tidak menghalang Tiz untuk kembali menjalinkan hubungan cinta.

Lebih tidak disangka, Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak mengambil keputusan menerima lelaki yang dikenalinya semenjak di bangku sekolah lagi, Daniel Haziq.

Kali ini, tiada lagi rahsia apabila Tiz secara terbuka 'memperkenalkan' teman lelakinya melalui laman Instagram kepada peminat dan media.

Tentunya sahaja kemesraan mereka menarik perhatian pengikut Tiz di Instagram, di mana rata-ratanya mengharapkan hubungan Tiz dan Daniel akan berkekalan hingga ke jinjang pelamin.

Di tebak perancangan perkahwinan, Tiz berkata : “Jika jodoh panjang, saya akan berkahwin dengannya. Siapa yang tak mahu berkahwin, naluri wanita untuk berkahwin itu tetap ada.

Namun, saya percaya jodoh itu ketentuan ALLAH SWT dan DIA sudah menentukan hala tuju perhubungan ini.

“Memang tak dinafikan, saya seronok lihat semua rakan artis dah berkahwin dan punyai anak, tapi mungkin belum tiba masanya lagi,” katanya yang akan menamatkan zaman bujang tetapi bukan dalam masa terdekat.

Heroin drama bersiri popular, Jodoh Itu Milik Kita ini seolah-olah, berselindung dari menjawab soalan berkaitan perkahwinannya dan berkali-kali mengatakan belum tiba masanya untuk dia menamatkan zaman bujang.

Apabila di tanya adakah kekasihnya masih belum melamarnya, Tiz Zaqyah enggan mengulas, dia hanya memberitahu tunggu sahaja apa yang akan berlaku selepas ini.

Penat menangis

Tiz Zaqyah yang dikatakan baru sahaja pulang dari kota New York untuk menjalani penggambaran program Oh My English ini juga amat teruja, apabila drama bersiri Jodoh Itu Milik Kita yang berakhir malam kelmarin, mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Drama itu juga dikatakan mencecah rating sama dengan drama bersiri pencetus fenomena adaptasi novel pertama ke drama, iaitu Adam dan Hawa.

Katanya, bukan mudah untuk menjiwai skrip adaptasi tambahan pula perlu mengingati dan menghayati watak tersebut kerana bimbang dikritik penonton yang membaca buku tersebut.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan penerimaan peminat terhadap drama ini. Walaupun secara jujurnya saya tidak membaca novel tersebut, namun saya berusaha keras untuk menjiwai watak Dahlia kerana ia diadaptasikan dari novel yang popular.

“Dalam menghayati watak itu, saya akui memang agak penat kerana hampir setiap hari saya perlu menangis untuk menunjukkan emosi dan memerlukan ‘feel’ seperti yang ditulis berkaitan watak tersebut,” ujarnya.

Idam watak gangster

Dalam pada itu, Tiz Zaqyah memberitahu dia akan membuktikan dirinya mampu bersaing dalam dunia seni biarpun dengan kehadiran bakat baru.

Katanya, untuk kekal dalam industri bermacam-macam yang perlu dilakukan termasuklah mencabar dirinya untuk memegang watak antagonis selepas ini.

“Saya idam watak yang belum dibuat, terutamanya watak perempuan jahat. Bagaimanapun banyak juga tawaran lakonan saya sebagai gadis kampung yang bertudung dan sebagainya. Mungkin itu sudah rezeki.

“Tapi selepas ini, saya mahu watak perempuan gengster pula,” katanya yang mahu kelainan dalam watak lakonan sekali gus ingin mengembangkan lagi bakat yang dimilikinya.


Berlakon bersama Jericho Rosales

Mengulas mengenai perkembangan drama terbarunya, anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, dia akan menjalani penggambaran bersama Aaron Aziz dan Jericho Rosales pada awal Disember ini di Filipina dan beberapa tempat lain lagi.
Katanya, dia teruja apabila digandingkan dengan nama besar melalui drama itu.

“Saya sangat bangga dapat berlakon dengan pelakon terkenal. Mereka juga bukan calang-calang, jadi saya akan melakukan yang terbaik bagi membuktikan keberkesanan lakonan,” katanya.

Terlibat pergerakan belia

Mengulas mengenai aktiviti lapangnya, pelakon popular dengan drama Cinta Jangan Pergi ini berkata, dia kini sedang sibuk mengikuti aktiviti belia melalui pergerakan yang aktif di ibu kota.

Katanya, di samping itu, dia turut melihat aktiviti seperti itu sangat baik untuk menarik minat anak muda untuk beraktiviti di samping dapat membantu memberikan bantuan amal kepada orang yang memerlukan.

“Secara tidak langsung, saya terlibat dengan aktiviti ini bukan saja memberikan saya peluang untuk berbakti kepada masyarakat melalui bantuan amal, tetapi juga dapat memberikan ruang untuk saya menyertai aktiviti riadah yang sebenarnya perlu disertai oleh semua golongan belia,” katanya yang sukakan cabaran dan aktiviti sihat.