
WARIS tidak lemah semangat dengan kontroversi yang melanda dirinya kini.
UMUM mengetahui lagu Botingkek nyanyian rapper muda, Waris telah ditarik keluar daripada pencalonan akhir Anugerah Muzik Malaysia 20 (AIM 20) baru-baru ini.
Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak akan melenturkan semangat Waris atau nama sebenar, Muzzammil Alias, 24, untuk terus berkarya pada masa hadapan.
Pernah unggul dengan single yang mencetuskan fenomena pada awal tahun ini, Rembau Most Wanted, kini Waris terus hangat dengan lagu kedua yang berjudul Botingkek.
Ramai yang tidak berpuas hati mendakwa Waris seorang artis yang tidak beretika. Dia didakwa mencedok hasil karya orang lain kerana lagu barunya itu kedengaran hampir sama seperti lagu Racks On Racks nyanyian YC bersama Nelly, B.o.B., Trae The Truth, Yo Gotti, Cyhi Da Prynce, Dose & Ace Hood. Malah, judulnya juga hampir menyamai lagu tersebut cuma kelihatan seperti dialih bahasa.
Enggan peminat membuat andaian negatif, Waris bercakap kepada Kosmo! mengenai perasaannya, selain mengaku tidak akan berhenti melakukan lagu sampling atau lagu adunan semula yang cukup terkenal dalam kalangan penggiat muzik Hip Hop.
Kosmo!: Apa khabar Waris?
WARIS: Sihat. Saya baru sahaja pulang bercuti dari Bali, Indonesia.
Tahniah diucapkan atas kejayaan lagu Rembau Most Wanted yang layak bertanding dalam AIM 20 nanti. Apakah harapan anda untuk lagu tersebut?
Terima Kasih. Sebenarnya, secara peribadi, buat saya, tercalon pun saya lihat ia sudah cukup baik untuk pendatang baharu seperti saya. Tentang harapan untuk menang pula, saya melihat ia bergantung kepada rezeki. Jika saya menang, ia merupakan satu anugerah dan jika kalah, saya tetap terima dengan tangan terbuka.
Lagu Botingkek menimbulkan kontroversi apabila ia tercalon dalam anugerah tersebut. Selepas dikaji, ia memang mempunyai persamaan yang ketara dengan lagu Racks On Racks 
LAGU Racks On Racks ini dikatakan diciplak Waris menjadi lagu Botingkek.
Boleh anda komen sedikit tentang pengguguran lagu tersebut?
Saya menerima seadanya keputusan yang telah dibuat. Saya anggap ia bukan rezeki saya.
Mungkin boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut tentang konsep lagu Botingkek yang mempunyai persamaan hampir 100 peratus dengan lagu tersebut?
Kami dalam industri Hip Hop terkenal dengan konsep sampling. Mungkin ini sesuatu yang baharu di Malaysia, tetapi di barat konsep ini sudah diaplikasikan sejak 80-an lagi. Maksud sampling ini ialah adunan semula dan diubah mengikut kesesuaian semasa dan saya buat lagu Botingkek itu mengikut cita rasa rakyat Malaysia.
Selepas isu anda menciplak lagu seperti ini kecoh, adakah anda akan lebih berhati-hati atau membuat lagu original selepas ini?
Tidak, kerana saya tidak akan berhenti membuat lagu-lagu sampling kerana itu adalah sebahagian daripada muzik Hip Hop. Apa yang penting ialah saya mahu menyampaikan mesej menerusi lirik yang mengikut adunan saya sendiri.
Anda membuat lagu secara suka-suka, memuat naiknya dalam Youtube juga secara suka-suka tanpa menjangkakan anda boleh menjadi popular seperti sekarang. Namun kini, selepas popular, orang ramai mula mencari salah anda pula. Bagaimana anda melihat situasi ini?
Saya tidak kecewa kerana sesetengah pihak tidak memahami konsep dan idea yang saya cuba ketengahkan.
Apakah perkembangan terkini anda?
Saya dalam proses merakamkan single baharu yang masih belum diketahui judulnya. Saya akan berkolaborasi bersama Datuk Hattan dan lagu itu sudah hampir 30 peratus siap dirakam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: