Tuesday, November 5, 2013

Misi cinta Lab The Rat


LAB THE RAT terdiri daripada gabungan suami isteri, adik-beradik dan teman rapat.


LOVE THE MISSION, debut perdana Lab The Rat bagai kena dengan sasaran. Dipasarkan sejak Mei lalu (ya, saya terlambat mengulasnya, namun ia masih relevan), album ini pantas menyemai cinta melalui karya mereka yang segar dan mengasyikkan. 'Misi cinta' mereka benar-benar kesampaian.
Sementelah, pengisi posisi grup ini bukan calang-calang pemuzik. Dalam dunia indie, nama Syarul Reza dan Shahirah Aishah yang memegang posisi sebagai vokalis itu sendiri sudah cukup tersohor. Mereka yang juga merupakan suami isteri, nampaknya memanipulasi pakej bersama lantas membentuk Lab The Rat dengan Syaril Zizi, Nik Azwaa, Syaiful Nazri dan Kech atas tiket aliran folk rock. Justeru, untuk mengulas tentang kepakaran mereka dari segi teknikal muzik dan bunyi, semuanya hampir sempurna kerana ini padang permainan mereka sejak lama dahulu.
Bunyi yang bersih, permainan yang menyenangkan dan diakhiri dengan proses mastering yang tidak menampakkan cacat cela menjadi tunjang utama album ini untuk dibanggakan.
Menyentuh tentang lapan buah lagu yang dihasilkan, dimulai dengan Send Us To Ukraine sehingga Some Try Hard, ia merupakan untaian lagu yang cukup enak.
Secara peribadi, saya menyukai I Know yang ritmanya cukup segar dikahwinkan indah dengan vokal husky Syarul sebelum falseto tinggi Shahirah 'menyampuk' pada bahagian terakhir lagu dan ia diakhiri dengan momentum yang baik pada penghujung lagu.
Airinna sebagai satu-satunya lagu Melayu yang ditujukan khas buat anak mereka memang dibikin dalam mood lagu dodoi yang bersifat klasik. Liriknya juga boleh disimpulkan sebagai satu aprisiasi pasangan ini terhadap kurniaan terindah Tuhan buat mereka.
Selebihnya tentang Lab The Rat, apa kata anda beli dan nilaikan sendiri tentang karya mereka.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: