![]()
LALUAN mencabar sepanjang pendakian membataskan pergerakan Nazri (kiri) yang gagal melayakkan diri untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.
|
SERAMAI 24 orang peserta, termasuk tiga bekas pesakit kanser, menyahut cabaran dan menyertai pendakian Gunung Kinabalu, Sabah dalam program Klimb for Kancer pada 22 September lalu. Aktiviti itu dianjurkan Majlis Kanser Nasional (Makna) dengan penyertaan pesakit kanser yang telah sembuh, penderma berkala, staf dan sukarelawan daripada setiap peringkat umur.
Zeffereili Helmie, 12, merupakan peserta termuda yang menyertai cabaran itu manakala seorang bekas penghidap kanser, Sagowah Maliban yang kini berusia 58 tahun menjadi peserta tertua program.
Seorang bekas pesakit kanser, Nazri Hamzah, 23, berjaya tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat yang berada pada ketinggian 3,668 meter dari paras laut, kira-kira 426 meter lagi untuk tiba ke puncak Kinabalu. Biarpun berdepan kesukaran pergerakan akibat halangan batu-batu granit dan laluan sempit, Nazri tetap bersemangat meneruskan pendakian.
Memulakan cabaran pendakian seawal pukul 2.30 pagi dari Laban Rata memberi tekanan kepada mental dan fizikal Nazri yang kehilangan kaki kanan pada umur 16 tahun akibat penyakit kanser yang pernah dihidapinya.

BARISAN 21 peserta dan tiga bekas pesakit kanser yang menyertai program Klimb for Kancer di Gunung Kinabalu yang diadakan pada bulan September lalu.
"Kesukaran pergerakan akibat cerun yang berbahaya menyebabkan saya dan Nazri tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat pada pukul 5.15 pagi.
"Pusat pemeriksaan itu ditutup tepat pukul 5 pagi dan kelewatan 15 minit tersebut secara automatik menggugurkan kelayakan kami untuk meneruskan pendakian ke puncak.
"Tujuh lagi pendaki iaitu Max Chong, Umadevi Govindaraju, Susan Shee, Yunus Sufaat, Aarya Gowri, Sagawoh dan Rozieana Jorun berjaya menawan puncak Kinabalu," ujar Timbalan Pengurus Besar Makna, A. Vemanna.
Sokongan komuniti
Usaha murni itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Kelengkapan dan peralatan mendaki ditaja sepenuhnya oleh Corezone, manakala baju-T para peserta disumbangkan Global Gases Malaysia Sdn. Bhd.
Klimb for Kancer yang menekankan penggunaan huruf 'K' bagi merujuk kepada Kinabalu merupakan program yang istimewa kepada para pesakit kanser yang terselamat daripada ancaman penyakit berbahaya tersebut.
Kempen itu berjaya meraih sasaran sumbangan bernilai RM50,000 yang akan disalurkan kepada pesakit-pesakit kanser yang sedang berjuang melawan penyakit itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: