![]() |
Satu Muharam detik permulaan,
Perkiraan tahun Islam hijrah,
Perpindahan Nabi dan umat Islam,
Dari kota Mekah ke kota Madinah.
Atas keyakinan dan iman yang teguh,
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu,
Rela berkorban harta dan nyawa,
Demi menegakkan Islam tercinta.
Hijrah itu pengorbanan,
Hijrah itu perjuangan,
Hijrah itu persaudaraan,
Hijrah membentuk perpaduan.
JIKA ditanya kepada generasi muda masa kini, pasti ramai yang tidak mengetahui tentang lagu tema sempena sambutan awal Muharram atau Maal Hijrah seperti lirik yang tertera di atas.
Namun, jika menyebut tentang lagu Oppa Gangnam Style dendangan penyanyi terkenal Korea Selatan, Psy, anak kecil sekali pun mengetahuinya sehingga mampu meniru tarian kuda yang dipersembahkan melalui lagu berkenaan.
Itu antara penangan media sosial yang menjangkaui batasan sempadan dengan hanya melalui alam maya. Ibarat kata, teknologi masa kini membolehkan semuanya berada di hujung jari individu.
Tekan sahaja punat di telefon pintar atau tablet canggih, semua capaian internet boleh diakses dengan mudah. Daripada kanak-kanak sehingga golongan dewasa yang sudah bergelar datuk atau nenek, masing-masing mempunyai akaun Facebook, Twitter atau Instagram tersendiri.
Mengulas mengenai situasi tersebut, pendakwah bebas, Ustaz Ghazali Ibrahim memberitahu, ini merupakan antara sebahagian ujian yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam masa kini.
"Seperti apa yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadisnya iaitu 'Pada akhir zaman nanti umatku akan dibinasakan oleh musuh-musuh seperti mereka menyiat daging-daging dalam hidangan. Jadi sahabat-sahabat bertanya, kenapa ya Rasulullah? Adakah umat Islam sedikit bilangannya? Jawab Rasulullah tidak, bahkan jumlahnya ramai tetapi ketika itu, kamu seperti buih-buih di lautan.
"Ini kerana ketika itu, antara lain kamu akan dihinggapi penyakit yang dinamakan alwahnu iaitu cinta dunia dan takut mati," ujar Ghazali kepada Kosmo!.
Tambah beliau, gelombang media sosial sekali pandang kelihatan seperti satu kemudahan tetapi pada masa yang sama, ia merupakan satu saluran untuk musuh-musuh Islam mengacau, mengganggu dan merosakkan umat agama ini.

PERPADUAN kaum di negara ini boleh runtuh sekiranya penyebaran maklumat-maklumat yang belum sahih dilakukan tanpa usul periksa.
Tegasnya, secara umum, ia memang tidak salah. Cuma kadang-kadang keseronokan umat Islam menggunakan medium sosial tersebut membuatkan mereka terlupa bahawa ada batasan yang perlu dijaga.
"Malah, banyak yang kita lihat, perkara yang terlalu peribadi atau pergaduhan turut dipaparkan di laman-laman sosial berikut. Kemudian, bila ada sesuatu perbincangan, kita tanpa usul periksa menambah-nambah fakta yang ada.
"Jadi, mula-mula ia nampak seperti satu diskusi tetapi tiada kesudahan. Akhirnya masuklah pelbagai fahaman seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, syiah dan macam-mcam fahaman lain yang melibatkan akidah umat Islam,"ujarnya.
Tambah beliau, ia sekali gus menyebabkan masyarakat akan bercelaru hingga mencetuskan perbalahan.
Muhasabah diiri
Justeru, Ghazali menasihatkan agar dalam setiap apa pun yang ingin dilakukan, masyarakat hendak kembali ke pangkal jalan dengan mencari ilmu yang betul dan sahih serta bertanya kepada yang ahlinya. Jangan terlalu mudah untuk menyebarkan sesuatu berita atau perkara yang tidak pasti.
"Tetapi zaman sekarang, apabila dapat e-mel atau berita, tanpa soal selidik, kita terus hantar dan kongsi mengenainya melalui Facebook, Twitter atau blog. Sedangkan hakikat kebenarannya mungkin terlalu jauh dan kita terus mendapat dosa akibat kerana menyebarkan fitnah," tegasnya.
Sehubungan itu, sempena sambutan Maal Hijrah 1435H yang diraikan seluruh umat Islam hari ini, beliau berharap umat Islam, terutamanya generasi muda, agar kembali menghayati kisah perjuangan Rasulullah SAW dengan bersungguh-sungguh.
"Lihat bagaimana pengorbanan Nabi SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah yang kalau diikutkan Baginda amat menyayangi negeri kelahirannya itu. Namun, Allah memerintahkan Rasulullah SAW berhijrah ke tempat baharu untuk mengelak daripada binasa dan menjadi satu titik tolak pada masyarakat Islam untuk membuat suatu tindakan.
"Maka, peristiwa besar ini harus kita kaitkan dengan kehidupan kita. Hari ini, kita duduk dan muhasabah merenung kehidupan yang telah dilalui. Adakah kita lebih banyak berbuat baik atau sebaliknya.
"Jika banyak kita buat baik, maka perhalusi dan perbaiki lagi ke tahap yang lebih baik. Tetapi, jika banyak keburukan, maka kita tinggalkan ia sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan dan sebagainya. Itulah maksud sebenar hijrah iaitu daripada yang tidak baik kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik," ungkap Ghazali penuh makna.
Peranan dan kesan
Bagi penyanyi tanah air, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin mengakui, sukar untuk menafikan bahawa media sosial turut memainkan peranan penting dalam hidup masyarakat masa kini.
Katanya, oleh itu, mahu atau tidak, kita terpaksa duduk dan berada dalam situasi tersebut.
"Perkara ini ada kebaikan dan keburukannya. Sebenarnya, ia bergantung pada diri kita sendiri untuk mencorakkan penggunaan laman sosial yang ada.
"Bagi saya, jika mendapat satu maklumat yang terang-terangan mengarut atau palsu, saya akan terus padam dan tidak mempedulikannya. Tetapi, jika ia satu maklumat yang berguna, tidak salah untuk kita berkongsi bersama rakan-rakan," ujanya ketika ditemui sewaktu pelancaran program Hijrah Munawwarah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Oleh itu, Nora menasihatkan pengguna laman sosial agar tidak membuka aib orang atau memperkatakan tentang rumah tangga individu lain secara terbuka. Malah, jika terbaca sekali pun, jangan sesekali menyebarkannya.
![]()
MEDIA-MEDIA sosial juga mampu memberi manfaat kepada pengguna dengan meningkatkan kesedaran umum terhadap isu-isu dunia hari ini seperti yang melanda Palestin.
|
"Kepada semua wanita di luar sana, tolong berhati-hati dengan setiap status atau foto yang dimuat naik di laman sosial. Dunia sekarang sukar untuk dijangka kerana ramai yang memerhatikan kita. Paling penting, gunakan media sosial ke arah kebaikan.
"Sebaiknya, sentiasa berdoa semasa keluar dari rumah agar Allah melindungi kita dan keluarga dari perkara-perkara yang tidak baik,"ujarnya.
Ditanya mengenai makna hijrah dalam hidupnya, Nora pantas mengatakan: "Ia adalah mengenai masa. Jadi kita sama-sama muhasabah diri dan berhijrah kepada fitrah Allah. Kembali kepada Yang Maha Berkuasa yang menjadikan kita.
"Hijrah ini bukan satu perkara seperti bertudung sahaja tetapi kita menjadi seorang insan yang lebih baik dalam kedudukan mana sekali pun kita berada," tambah beliau.
Media baharu
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Ustaz Wan Alias Wan Abdullah berkata, sebagai sebuah saluran televisyen yang bercorak Islam, objektif mereka adalah untuk mendidik.
"Kami tidak menceritakan apa yang negatif tentang orang lain. Kalau bercakap soal berita pula, berita yang dibuat adalah yang betul. Seperti hadis Nabi SAW: 'Bercakap benarlah kamu walaupun pahit'. Itu konsep TV Alhijrah.
"Tanggungjawab kami bukan untuk menceritakan tentang apakah ketidaksempurnaan mazhab lain atau masalah kekeluargaan individu, sebaliknya kami menerangkan tentang apakah keindahan ajaran ahli sunnah wal jamaah dan mazhab Syafie," katanya.
Tambah beliau, media sosial seperti menganggap pisau sebagai senjata. Kita boleh kata pisau itu merbahaya dan menyebabkan kematian orang. Tetapi kita jangan lupa berapa banyak pisau yang boleh memberi manfaat dalam kehidupan kita.
"Jadi ia bergantung kepada cara penggunaannya. Begitu juga media sosial, gunakanlah ia dengan positif yang memberi kebaikan untuk agama, bangsa dan negara," tuturnya penuh hikmah.
Beliau berharap, sempena maal hijrah ini, umat Islam akan memanfaatkan media baharu untuk faedah pembangunan dan kesejahteraan negara. Beliau juga menasihatkan supaya media sosial tidak digunakan untuk memfitnah orang dan menimbulkan masalah dalam masyarakat kerana ia memberi impak negatif bagi negara.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: