Kejutan yang paling besar adalah apabila duo Azhael gagal mara ke peringkat akhir AF2013 kerana mendapat undian terendah pada minggu lalu dengan keputusan undian hanya 15.83 peratus.
Namun begitu, kesedihan peserta duo dari Kuala Lumpur itu tidak lama kerana mereka kini kembali ke AF2013 selepas mendapat undian tertinggi AFMASUK yang telah dibuka sejak 12 November lalu.
Talian AFMASUK telah dibuka selama 24 jam dan ditutup tepat jam 9.30 malam, 13 November. Menerusi undian AFMASUK itu, Azhael telah mendapat undian tertinggi dari peminat, sekali gus membolehkan mereka diserap kembali ke AF2013.
Kemasukan Azhael itu seterusnya menyaksikan enam finalis terbaik terus mara bagi merebut gelaran juara.
Konsert akhir AF2013 di jadual berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur mulai jam 9 malam.
Ia juga akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104).
Pada minggu akhir ini, setiap pelajar akan menyanyikan dua lagu berupa lagu wajib pilihan tenaga pengajar dan sebuah single yang diciptakan khas oleh komposer terkenal buat mereka.
Indah jadikan batu loncatan
Seperti yang diketahui, sebelum menyertai AF, Indah sudah punya album sendiri bersama SRC Records yang berjudul Indah Ruhaila.
Namun begitu, dia tidak menganggap perkara itu sebagai batu loncatan buat dirinya sebaliknya program realiti itulah yang lebih membantu serta menjadi platform buat dirinya dikenali.
“Saya amat bersyukur kerana masih mampu melangkah ke peringkat akhir.
“Secara jujurnya, saya tidak pernah terfikir soal undian yang saya peroleh pada setiap minggu dan juga tidak akan kecewa andai tersingkir.
“Namun apabila mampu sampai ke peringkat ini, ia sendiri satu kejutan buat diri saya,” katanya yang akan menyanyikan lagu Jagalah Diri nyanyian asal Jaclyn Victor dan lagu baharu, Percayalah You're Always In My Heart.
Aisyah tumpang tuah Aliff Aziz?
Tatkala senarai nama bintang AF2013 diumumkan, nama Aisyah menjadi perhatian ramai kerana dia adalah adik kepada penyanyi popular, Aliff Aziz.
Atas sebab itulah jugalah, Aisyah disifatkan meraih undian tertinggi pada setiap minggu kerana mendapat bantuan daripada populariti abangnya itu.
“Sebelum ini pun, saya tidak pernah memberitahu yang Alif Aziz adalah abang saya, cuma perkara itu tiba-tiba tersebar luas.
“Malah, juri juga pilih saya bukan kerana saya ini adalah adik kepada Alif Aziz,” jelasnya yang akan membawa lagu baharu, Mimpi ciptaan sepenuhnya Faizal Tahir dan lagu Datuk Siti Nurhaliza, Lebih Indah.
Dalam pada itu, Aisyah memberitahu, dia juga sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam industri seni.
“Persediaan itu mungkin lebih ke arah mental,” katanya sambil memberitahu dia akan membuat satu kelainan dalam konsert akhir berkenaan.
Faizul janji yang terbaik
Sekiranya, duo Azhael tidak dimasukkan kembali, pasti saja Faizul menjadi satu-satunya ‘kumbang’ dalam finalis ini.
Walaupun begitu, Faizul sempat memberi ‘amaran’ dan berjanji untuk memberikan persembahan yang terbaik menjelang konsert akhir nanti.
“Jaga-jaga ya kawan-kawan! Saya akan buat persembahan yang ‘kaw kaw’ nanti. Tunggu dan lihat saja nanti,” katanya sambil ketawa.
Faizul akan menyanyikan lagu Hanyut, nyanyian asal Faizal Tahir dan lagu baru Sepasang Sayap, ciptaan sepenuhnya oleh Amir Jahari.
Sementara itu, duo Azhael pula akan menyanyikan lagu Penglipur Lara, nyanyian asal oleh Hazama dan sebuah lagu baharu berjudul Hentian Terakhir.
Amira jaga stamina
Pernah berada di kedudukan terbawah dan hampir disingkirkan namun tidak dilepaskan oleh pihak AF2013 membuatkan Amira berasa sangat bersyukur.
“Apa yang saya perlu buat kini adalah meningkatkan stamina agar dapat memberikan persembahan yang terbaik nanti,” katanya.
Katanya, apa yang penting sekarang adalah tahap kesihatan yang memuaskan agar tidak mengganggu persiapan. Selain itu, dia juga gembira kerana berpeluang berkongsi pengalaman dengan Inspirer yang dipilih.
“Kami semua selesa dengan Inspirer. Mereka sangat profesional di samping berkongsi pengalaman,” katanya yang akan menyanyikan lagu Terlalu Istimewa nyanyian asal Adibah Noor dan lagu baharu Sesaat Untukku.
Nabila tak layak?
Kejayaan Nabila hingga ke peringkat akhir AF2013, menimbulkan pelbagai reaksi daripada peminat. Malah, ada sebilangan peminat berpendapat Nabila tidak seharusnya layak ke konsert akhir.
Bukan itu saja, Nabila juga pernah menerima mesej ancaman bunuh melalui akaun sosial rasmi Facebook AF2013. Namun bagi Nabila, semua kejadian itu tidak langsung melunturkan semangatnya sebaliknya menjadikan dia lebih bersiap sedia untuk menghadapi industri selepas AF2013 tamat.
“Jika dalam AF, kita hanya dikelilingi oleh kelompok sendiri tapi apabila di dunia luar, cabaran itu lagi besar. Saya harus mempersiapkan diri dari segi mental. Lagipun perjalanan saya masih panjang,” katanya.
Di kala menghadapi persiapan akhir, Nabila cuba meningkatkan staminanya selain sentiasa mengikuti kelas vokal bersama cikgu Shafi. Malam ini, Nabila akan menyanyikan lagu Seandainya Masih Ada Cinta oleh Dayang Nurfaizah dan sebuah lagu baharu ciptaan Zul Mahat dan liriknya oleh Habsah Kamis berjudul Katakan Saja.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: