Monday, August 19, 2013

Pelajar UiTM pamer koleksi ulung



KOLEKSI berteraskan watak-watak dalam filem arahan pengarah prolifik, Tim Burton, menjadi inspirasi kepada pereka muda, Amirul Ashraf Safari, 25, sehingga idea kreatifnya itu diangkat sebagai pemenang utama Anugerah Rekaan Terbaik 2013.
Anugerah itu diberikan bersempena dengan pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir pengajian Ijazah Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diadakan di Black Box, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengklasifikasikan busananya sebagai rekaan berseni, Amirul Ashraf memaklumkan koleksi beliau merupakan persalinan yang praktikal.
Bertemakan The Chronicle of Tim Burton, beliau menghasilkan busana menerusi penerapan watak-watak daripada filem seperti Alice In Wonderland, The Nightmare Before Christmas dan Edward Scissorshands.
“Saya sangat meminati filem-filem Tim Burton sehingga tercipta koleksi ini. Tidak hanya berfantasi, malah saya turut bereksperimen melalui beberapa perincian dalam setiap busana,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! selepas pertunjukan fesyen itu.
Ketelitian rekaan dapat dilihat menerusi jaket dan skirt daripada gabungan material polivinil klorida (PVC) dan organza dengan penataan tali-tali yang disambung tangan.
“Kemasan tali-tali tersebut menjadikan koleksi ini menonjol berbanding koleksi-koleksi lain. Ia mengambil masa dan ketelitian yang tinggi bagi menghasilkan rekaan berkualiti dan tampak anggun ketika diperagakan,” jelas anak muda yang berasal dari Klang, Selangor ini.
Mengakui penganugerahan tersebut sebagai satu kejutan yang menggembirakan, Amirul Ashraf tidak menyangka ia mampu mengatasi rekaan-rekaan indah lain yang turut diperagakan pada hari itu.
Melihatkan pentas peragaan, penulis dapat melihat sisi kematangan pereka melalui rekaan yang menonjolkan cita rasa fesyen yang baik.
Mereka bijak menzahirkan inspirasi melalui pengamatan seni reka agung dunia atau keindahan alam semesta tanpa mengetepikan nilai keaslian diri mereka.
ELEMEN fesyen era Baroque diolah berani oleh Hadijah.


Fesyen Baroque
Percubaan Hadijah Hamdan, 25, mengambil konsep kegemilangan fesyen era Baroque perlu diberi pujian kerana setiap rekaan nampak sofistikated dan membawa nafas segar kepada koleksinya.
Kemasan pada cetakan amat dititikberatkan Hadijah yang memastikan setiap motif hiasan bersepuh emas saling bercantum mengikut bentuk asal.
Kemasan pada rekaan telah meletakkan rekaan beliau ke tempat kedua pada pertunjukan fesyen yang diadili barisan penggiat fesyen seperti Rizman Nordin dan Bon Zainal.
“Saya mendapat maklum balas positif terutamanya pada bahagian korset kerana cetakan yang teratur dan saling berkaitan dengan cetakan-cetakan lain,” ujarnya yang akan menjadi pensyarah di sebuah institusi pengajian swasta tidak lama lagi.
Inspirasi wanita Pearl Harbor
Jika Hadijah berbangga dengan rekaan cetusan tahun 1500 hingga 1800 itu, pemenang tempat ketiga, Hana Fatimah Zulkufli, 22, mengambil era klasik 1940-an iaitu ketika Perang Dunia Kedua sebagai inpirasi rekaannya.
“Lebih spesifik, saya mengambil idea fesyen Pearl Harbor kerana wanita pada waktu itu mempunyai cita rasa fesyen tersendiri yang menarik sungguhpun berhadapan dengan peperangan,” ujar gadis yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini.
Idea klasik itu diberi sentuhan moden beliau dengan menonjolkan rekaan yang minimalis dan ringkas.
Aura kontemporari rekaan itu mengekalkan motif-motif signatur seperti potongan dan cetakan berkotak. Penggunaan fabrik-fabrik seperti kain kapas, krep dan PVC menampakkan ciri-ciri klasik dalam rekaannya.
Sisi baharu adi wira
Koleksi bertemakan Superhero Alter Ego menjadi sandaran kepada pereka muda kelahiran Johor, Suhairie Mohamed, 24. Menghidupkan watak-watak adiwira seperti Hulk, Thor, Wonder Woman dan Catwoman, gaya edgy melatari busana yang menggunakan dua tona warna utama iaitu hitam dan jingga.
CORAK Inner City Patchwork diserlahkan dengan kombinasi rona biru keunguan rekaan Najwa.


Tidak hanya memfokuskan rekaan busana, Suhairie turut berinovasi melalui penggunaan aksesori bagi melengkapkan koleksinya.
“Selain itu, saya menggemari busana lelaki yang diinspirasikan daripada watak Thor.
“Saya cuba menerapkan penggunaan kilt yang menjadi tradisi masyarakat Scotland ke dalam rekaan saya,” jelasnya.
Palet warna dan motif
Jika kebanyakan pelajar menggunakan warna-warna gelap bagi menampakkan sisi misteri, Wan Noor Bainun Wan Zaizodin, 24, menampilkan palet warna yang ceria bagi menampakkan keanggunan si pemakai.
Mengambil inspirasi daripada dunia Bollywood yang penuh warna-warni, kain sutera satin dan kapas dijadikan material utama bagi menghasilkan busana kasual sedia untuk dipakai beliau.
“Pereka dari India, Manish Arora, banyak mempengaruhi saya kerana rekaannya yang berani dengan potongan dan penekanan siluet pada busana,” kongsi gadis berasal dari Kuching, Sarawak itu.
Motif Inner City Patchwork pula menjadi pilihan Najwa Alias, 22, melalui rekaan yang menggunakan paten warna kaleidoskop.
Ia boleh dilihat menerusi hiasan tiga dimensi pada bahagian dada.
“Pada awalnya, saya ingin mereka menggunakan teknik cetakan tetapi pensyarah mengatakan ia sudah terlalu biasa.
“Selepas membuat sedikit kajian, teknik cantuman kain ini nampak cantik dan moden,” ujarnya yang mengagumi pereka terkemuka, Emilo Pucci.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: