Sunday, January 6, 2013

Yanti kerja dalam bilik sejuk


KEK aiskrim Heaven tahan selama tiga bulan jika disimpan di bawah suhu -25 darjah Celcius.


PENULIS seakan-akan tidak percaya melihat wanita kecil molek yang bernama Yanti Radiman, 37, ini sebenarnya ibu kepada dua orang anak kerana penampilannya tidak menampakkan usianya yang sebenar.
Ketua Pegawai Operasi Heaven Premium Ice Cream Cake (HPICC) yang sinonim dipanggil Yanti ini manis berbaju kurung berwarna merah jambu. Rambutnya yang lurus itu dibiarkan lepas begitu sahaja tanpa mengenakan aksesori yang sarat.
Berulang kali penulis cuba mendapatkan petua bagaimana dia mengekalkan kecantikan dan awet muda tetapi dia menegaskan tiada petua khusus yang diamalkannya.
“Saya seperti orang lain yang suka makan apa sahaja. Saya tidak mengamalkan sebarang petua awet muda. Cuma pada saya, jika hati kita gembira sudah pasti kebahagiaan itu terpancar pada wajah.
“Cuma saya pernah kehilangan berat badan disebabkan tekanan untuk menghasilkan kek aiskrim dengan kesemua bahannya dibuat sendiri dan melalui peringkat demi peringkat. Ia perlu cepat dan agak rumit,” jelasnya yang mempunyai tiga orang adik-beradik.
Ketam nipah
Berkongsi cerita tentang makanan kegemarannya, Yanti memberitahu, dia seorang yang tidak cerewet dalam bab makan. Dia amat menggemari masakan ketam nipah atau nama saintifiknya, Scylla Serrata.
“Saya pertama kali memakan ketam nipah yang digoreng bersama mentega di Pulau Pangkor, Perak. Saya tidak boleh menggambarkan rasanya dengan perkataan kerana ia sangat berbeza daripada makanan laut lain. Isinya padat, lazat dan manis.
“Jika diperhatikan, bentuknya seperti ketam batu tetapi bezanya ia boleh dimakan. Lazimnya ia menjadi kegilaan masyarakat Cina tetapi ketam jenis ini juga agak sukar diperoleh di pasar awam. Ia boleh ditemui di sesetengah kawasan sahaja,” ujarnya.
Selain menggemari hidangan ketam nipah, Yanti juga sangat sinonim dengan masakan Cina apatah lagi suaminya, Muhammad Norman Abdullah, 39, berdarah campuran Cina dan India.
“Masakan sup timun laut hasil air tangan ibu mertua menjadi makanan kegemaran saya kerana saya pasti rasa bertenaga selepas menghirupnya. Tekanan akibat kerja juga bagaikan hilang apabila menjamahnya,” tuturnya yang mempunyai tujuh orang pekerja.
Syarikat Melayu
Bercerita lanjut mengenai HPICC, Yanti memberitahu, idea sebenar penubuhan syarikat itu datang daripada suaminya, Muhammad Norman yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang sejuk beku.
“Sudah hampir dua tahun setengah kami membuka syarikat ini. Pada permulaan, kami hanya mengedarkan kek aiskrim di hotel-hotel sebelum menjualnya di pasaran terbuka berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Melihat kepada nama syarikat yang dipilih, ramai yang beranggapan ia dimiliki oleh orang bukan Melayu tetapi selepas mereka datang sendiri ke kilang kami yang terletak di Puchong, barulah mereka mengetahui ia sebenarnya perniagaan Bumiputera,” ujarnya.
Menurut Yanti, kek aiskrim mampu bertahan kira-kira tiga bulan jika disimpan di bawah suhu -25 darjah Celcius.
Bercerita lanjut, Yanti memberitahu, pengalaman memasuki bilik sejuk yang merupakan salah satu proses membuat kek aiskrim itu menjadi pengalaman berharga yang tidak boleh diperoleh di mana-mana.
“Bayangkan keadaan apabila berada di bawah suhu -25 darjah Celcius selama 15 hingga 20 minit dengan hanya memakai jaket sedangkan sebelum ini, saya tidak pernah masuk ke dalam bilik seperti itu.
“Ketika pertama kali memasuki bilik sejuk itu, saya boleh bertahan selama 10 minit sahaja di dalamnya.
“Walaupun sekejap, ia dirasakan lama. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu,” cerita Yanti sambil memberitahu, masa sehingga lapan jam diperlukan bagi proses pembekuan kek aiskrim itu.
Selain kek, Yanti menghasilkan kek cawan aiskrim. Dia menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya lima cawangan HPICC di seluruh Malaysia.
Tambah Yanti, pengalaman tidak tidur selama tiga hari disebabkan membuat penyelidikan dan pembangunan produknya benar-benar dirasakan berbaloi apabila menerima maklum balas positif daripada pelanggan sekali gus menaikkan semangatnya untuk terus mencipta pelbagai resipi baharu.
“Setiap pekerja akan diajar untuk membuat sukatan dan menggunakan teknik yang betul membuat kek aiskrim.
“Saya sendiri akan masuk ke dapur dan menolong mereka menyiapkan produk selain memantau segala proses yang melibatkan produk keluaran kami ini,” beritahu Yanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: