Sunday, January 6, 2013

Keunikan jari berlebih


JARI yang berlebih sebenarnya tidak mengganggu fungsi jari yang lain. - Gambar hiasan


POLIDAKTILI bermaksud lebihan jari yang juga dikenali sebagai hiperdaktili iaitu penyimpangan kongenital fizikal pada manusia, anjing dan kucing. Polidaktili adalah berlawanan dengan oligodaktili atau kurang jari tangan dan kaki.
Polidaktili ialah jari tambahan pada jari biasa. Kadang-kadang ia mengandungi tulang tanpa sendi dan jarang dijumpai dalam keadaan yang sempurna dan boleh berfungsi seperti jari biasa.
Bagi manusia, kebiasaannya jari berlebihan ini berada di antara jari kelingking, ibu jari dan di antara tiga jari di bahagian tengah yang jarang sekali berlaku.
Ia masing-masing dikenali sebagai postaksial (jari kelingking), preaksial (ibu jari) dan pusat (tengah, jari indeks) polidaktili. Angka tambahan ini adalah sesuatu yang tidak normal dan bercabang antara jumlah jari sedia ada.
Pemilik jari terbanyak dunia setakat ini ialah Akshat Saxena dari Uttar Pradesh, India. Dia dilahirkan pada tahun 2010 dengan tujuh jari pada setiap tangan dan 10 jari pada setiap kaki, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 34 batang jari.
Polidaktili boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti genetik, mutasi, jumlah ganjil kromosom dan diwarisi daripada generasi keluarga. Insiden polidaktili dilaporkan berlaku satu dalam setiap 3,000 kelahiran.
Seorang ibu di Myanmar, Phyo Min Min Soe, 27, yang mempunyai anak perempuan dengan lebihan dua jari di tangan dan dua di kaki mengakui kejadian itu sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada puterinya itu.
"Ia bukanlah satu kecacatan bagi saya mahupun dirinya kerana lebihan jari itu telah memberi manfaat kepada anak saya.
"Dia boleh menggenggam barang-barang dengan lebih kuat," katanya.
Tambahnya, dia sedar anak perempuannya, Le Yadi Min mempunyai 'kelebihan' itu sejak dia dilahirkan.
"Saya bertanya kepada jururawat sama ada anak saya dilahirkan sempurna dengan tangan dan kaki dan mereka menjawab bayi saya mempunyai lebih daripada yang diperlukan," katanya.
Yadi Min kini tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah kayu di luar Yangon.
Jari berlebihan ini boleh dibuang melalui pembedahan kecil walaupun hakikatnya ia tidak mengganggu fungsi jari yang lain.
Namun begitu, atas dasar sosial, ramai pesakit polidaktili cenderung untuk melakukan pembedahan membuang jari yang berlebih itu kerana khuatir dipandang serong dan dipinggirkan masyarakat.
Seorang pakar bedah di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat, Dr. Craig Camasta berkata, kebanyakan ibu bapa yang mempunyai bayi polidaktili memilih untuk membuang lebihan jari kaki atau tangan bagi mengelak stigma masyarakat.
"Namun, sebenarnya ia bukan satu keperluan untuk berbuat demikian.
"Jari tersebut tidak akan membataskan pergerakan jari yang lain atau mengakibatkan gejala penyakit yang lain," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: