Sunday, January 6, 2013

Kraf kapas Azzah


CORAK anak patung dan kepelbagaian warna mampu merangsang otak bayi.


PENGGUNAAN fabrik kapas begitu popular dalam industri tekstil negara. Selain daripada murah dan selesa dipakai, ia senang dijaga dan tahan lama.
Itulah sebabnya fabrik kapas seringkali menjadi pilihan umum sebagai pakaian harian. Tetapi pernahkah anda terfikir bahawa kain kapas juga mampu dijadikan barangan kraf yang unik dan comel.
Kepelbagaian warna dan corak yang terdapat pada fabrik tersebut telah mencuri perhatian Nur Azzah Abd. Kadir, 28, untuk mempelopori industri kraf tangan berasaskan fabrik kapas.
Lain daripada yang lain, ketika gelombang kain felt hangat diperkatakan, Azzah mengeksperimentasikan penggunaan kain kapas untuk dijadikan barangan kraf.
Menurutnya, idea kreatif tersebut diperolehnya sewaktu berkunjung ke luar negara beberapa tahun yang lalu.
“Saya suka melancong dan seperti biasa saya akan membeli ole-ole untuk diri sendiri dan keluarga.
“Saya lihat hampir kesemua cenderamata yang dijual adalah berasaskan kayu, plastik, kaca dan aluminium tetapi jarang saya lihat barangan yang dihasilkan daripada kain kapas,” katanya.
Corak
Pelbagai warna dan corak, daripada motif abstrak, polka dot, flora dan fauna sehinggalah kartun, kesemuanya mampu dibuat dengan mudah pada fabrik kapas.
Keceriaan warna dan corak-corak yang unik itu bukan sahaja mampu menarik perhatian kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa.
“Fabrik kapas ini mudah dijaga sebab kalau kotor, kita boleh cuci dan guna pakai semula.
“Selain itu, fabrik ini juga mempunyai nilai eksklusif yang sangat tinggi kerana edarannya terhad dan tidak dijual secara borong seperti barangan lain,” katanya.
Walaupun terdapat pelbagai jenis kain kapas dijual di pasaran, Azzah memilih untuk menggunakan fabrik kapas dari Amerika Syarikat yang dibelinya menerusi sebuah laman web demi menjaga kualiti kraf tangan yang dihasilkan.
Bermula dengan beg sandang, perhiasan rambut, dompet kecil dan bekas alat tulis yang menggunakan fabrik kapas semata-mata, Azzah kini mencipta permainan bayi yang mampu merangsang pertumbuhan otak dan mengekalkan aspek-aspek keselamatan.
“Seperti yang kita tahu kulit bayi sangat sensitif terutamanya jika terdedah terlalu lama kepada bahan-bahan kimia.
“Jadi saya terfikir kenapa tidak mereka cipta satu barangan kraf khas untuk kegunaan bayi,” katanya.
Menurutnya lagi, kebanyakan permainan bayi yang ada di pasaran tidak sesuai untuk bayi yang berusia 10 bulan ke bawah.
“Untuk barangan bayi, saya gabungkan penggunaan kain kapas dan sejenis kain berbulu yang dikenali sebagai kain winky.
“Paling unik, permainan ini mampu menghasilkan bunyi apabila digenggam oleh bayi,” katanya.
Tampak seperti kain biasa tetapi barangan yang dipanggil baby toys juga berupaya merangsang deria bayi.
Kombinasi warna dan corak daripada fabrik kapas tersebut dikatakan bagus untuk penglihatan bayi.
“Untuk deria pendengaran pula, saya meletakkan sejenis plastik di dalam kain tersebut supaya ia boleh berbunyi apabila digenggam,” kata Azzah.
Tambahnya, gabungan fabrik kapas yang sedikit kasar dan kelembutan pada fabrik winky yang diaplikasikannya berupaya merangsang deria sentuhan awal bayi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: