![]() |
|
DJ DAVE di samping pelawak
tersohor negara, Jamali Shadat pada acara Majlis Penyampaian Sumbangan
Kebajikan Artis 2012 di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.
|
SEBAGAI presiden dan pemegang amanah dana RM2 juta Yayasan Artis 1Malaysia hasil sumbangan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk DJ Dave baru-baru ini telah mengadakan sebuah majlis untuk menyampaikan sumbangan kepada seniman dan seniwati negara.
Acara dikenali sebagai Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Artis 2012 telah pun berlangsung di Dataran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor baru-baru ini yang mana seramai 142 orang artis veteran telah pun menerima sumbangan sebanyak RM2,000 setiap seorang.
Namun isunya, wujud suara sumbang yang mempersoalkan mengapa DJ Dave memegang dana ini terlalu lama dan ada juga yang menimbulkan persoalan tentang bantuan yang sepatutnya diberi kepada Datuk Yahya Sulong.
Antara karyawan seni veteran yang hadir pada majlis tersebut termasuklah Datuk Aziz Satar, Datuk Jamali Shadat, dan Karim Latif.
Selesai majlis tersebut, Kosmo! sempat menemu ramah DJ Dave untuk menjelaskan isu yang wujud dalam kalangan artis-artis veteran ini.
Kosmo!: Datuk, boleh jelaskan isu tentang kes Datuk Yahya Sulong itu. Kenapa dana Yayasan Antis 1Malaysia tidak membayar sepenuhnya bayaran sewa rumah yang didiami pelawak veteran berbanding dengan sekadar memberi lagi sumbangan wang kepadanya?
DJ Dave: Saya sedang membuat satu inisiatif yang mana surat sudah dihantar kepada menteri (Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim) supaya dapat membantu Datuk Yahya. Mungkin mereka boleh beri pelepasan kepadanya atau satu skim supaya mengurangkan ansuran pembayaran rumah tersebut.
Saya sudah buat usulnya dan kami memang sedang mencuba sedaya upaya kerana memang saya rasa artis 60-an banyak berjasa dan telah berkhidmat dan membantu negara secara tidak langsung.
Ingin saya beritahu, selain Yahya, Maimon Mutalib juga pernah menerima sumbangan sebanyak RM4,000 dan penghawa dingin untuk rumahnya. Untuk Yahya Sulong kami telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM6,000 secara keseluruhannya dan begitu juga dengan Azean Irdawaty ada juga sumbangan yang diberikan kepadanya.
Adakah untuk menerima sumbangan ini, mereka perlu untuk jadi ahli Yayasan Artis 1Malaysia ataupun sebaliknya?
Buat masa ini, mereka tidak perlu mendaftar untuk menjadi ahli atau sebagainya. Asalkan mereka ini merupakan seniman atau seniwati yang telah banyak menabur jasa terhadap industri seni.
Tidakkah perlu disalurkan dana bantuan melalui persatuan artis atau yang seumpamanya?
Tidak perlu. Datang terus kepada saya kerana saya payungnya. Ada persatuan yang buat bising tetapi saya tidak mahu dedahkan beritahu persatuan manakah yang dimaksudkan itu. Mereka mempersoalkan kenapakah ambil masa terlalu lama untuk agihkan dana ini.
Ingin saya jelaskan di sini, mereka tidak tahu tentang kepayahan yang telah kami lalui. Kami perlu mencari semua individu yang layak meraih agihan dana ini kerana bukan kesemua mereka masih tinggal di alamat yang kita tahu ini. Kita perlu berusaha untuk mencari mereka. Ingin saya tegaskan di sini, walaupun kami tidak jumpa mereka, tetapi semua akan dipastikan menerima sumbangan ini.
Sumbangan dilakukan secara tahunan ataupun sekali sahaja?
Jika kita punya dana, apa salahnya? Jadi, kami harus bina dana ini dan saya perlu lakukan sesuatu yang mana saya ingin mencari seorang pengurus besar untuk menguruskan dana dan segala perancangan di bawah Yayasan Artis 1Malaysia. Kami yang ada sekarang ini adalah sebagai pemegang amanah. Kami juga akan wujudkan satu polisi dan pengurus tersebut akan menjalankan tugas.
Adakah pengurus tersebut akan dipilih dan dilantik dalam kalangan artis juga?
Tidak kisah sesiapapun sebenarnya, asalkan dia layak memegang jawatan itu, tidak salah untuk dia mencuba. Namun, kami memerlukan minimum seorang pemegang ijazah dan punya pengalaman dalam bidang ini.
Apakah yang diharapkan daripada badan kerajaan dan pihak-pihak tertentu?
Harapan saya memang besar. Kami telah usulkan kepada kerajaan tentang pengecualian cukai. Di mana, kepada pihak yang menderma, mereka akan mendapat pengecualian cukai. Jika kita berjaya mendapatkan usul tersebut, nescaya kami akan mendapat bantuan banyak pihak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: