Saturday, January 12, 2013

Amran Ismail miliki syarikat rakaman

MINAT yang mendalam terhadap muzik membuatkan Amm kini melebarkan sayap dengan menjadi penyanyi.


MUNGKIN belum ramai yang mengenali jejaka yang bernama Amran Ismail ini. Namun pada hakikatnya, Amran atau lebih mesra disapa sebagai Amm, sudah pun bergelumang dalam industri seni sejak berumur 17 tahun lagi.
Namun begitu, cerita jejaka berbadan sasa ini, walaupun sudah hampir 10 tahun menceburi bidang lakonan, dia mula fokus terhadap bidang tersebut hanya bermula pada tahun 2011.
Antara drama yang menaikkan namanya termasuklah Cinta Buat Emelda yang telah bersiaran di slot Akasia saluran TV3 pada Mac tahun lepas.
Selain itu, dia pernah juga berlakon di samping Azam Pitt dan Roslan Shah menerusi drama pendek kontroversi arahan Shuhaimi Lua, Chukang.
Drama lakonannya di samping pelakon Shakilla Koriri, Erna Shuraya pula mula ditayangkan di TV2 pada 1 Januari lalu. Tidak ketinggalan, Amm juga terlibat dengan program kanak-kanak yang disiarkan TV3 iaitu School Attack dan Voice Out.
Apa yang pasti, di samping meneruskan langkah dalam dunia lakonan, Amm rupa-rupanya berminat untuk melebarkan sayap dalam dunia muzik dengan menjadi penyanyi.
Ia bukan sekadar cakap-cakap kosong tetapi sesuatu yang telah diusahakan selepas melakukan perancangan yang rapi.
"Saya mengakui menyepikan diri seketika daripada lakonan kerana mahu memberi fokus terhadap nyanyian pula. Saya menghadiri kelas vokal, komunikasi serta mendalami serba sedikit ilmu muzik.
"Saya tidak banyak ilmu tentang muzik, jadi dengan pembelajaran tersebut, sekurang-kurangnya saya dapat informasi baharu," cerita Amm yang berharap peminat dapat menerima apa yang diusahakannya ini.
Satu lagu, empat versi
Minatnya terhadap nyanyian dan tarian membuatkan Amm tampil dengan single yang berkonsepkan pop.
Apa yang menariknya, single yang berjudul Ini Janjiku itu dihasilkan dalam empat versi genre yang berbeza.
Menurut anak kelahiran Johor ini lagi, single yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh dirinya sendiri itu dihasilkan dalam empat versi berlainan kerana ingin menampilkan kelainan.
Single ini juga dihasilkan oleh syarikat rakamannya sendiri yang diberi nama Amran Ismail Productions.
"Single ini saya hasilkan dalam empat versi iaitu pop, R&B, dance dan dub mix. Pada hakikatnya, saya memang risau dengan penerimaan orang ramai kerana rasanya belum pernah kita disajikan dengan lagu yang genre dub mix di sini.
"Walaupun begitu, saya perlu mencuba dan menghadapi kemungkinan yang terjadi. Saya memang ingin mencuba untuk menjadi lain daripada yang lain.
"Lagu saya ini berentak catchy dan sasaran pendengar saya ketika ini ialah golongan remaja dan kanak-kanak. Liriknya juga sangat ringkas," Amm sopan menyusun bicaranya pada sesi temu ramah di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, jika tiada aral melintang, single baharunya ini bakal dilancarkan pada 17 Januari ini.
Menganggap ia rezeki yang diterima, kemungkinan single tersebut akan digunakan sebagai runut bunyi drama terbaharu lakonannya yang berjudul, Mencintaimu. Drama itu bakal ditayangkan.
"Saya ingin berterima kasih kepada peminat, dan jika saya senang, saya pasti akan bercuti atau bersantai bersama peminat dari kelab peminat saya iaitu AIFC (Amran Ismail Fan Club),"
"Saya akui, tanpa mereka siapalah saya. Saya juga berharap orang ramai khususnya peminat saya dapat menerima sisi baharu Amran Ismail ini," akhiri Amm.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: