ALBUM kelima Edcoustic bakal dilancarkan sekitar bulan Mei tahun ini.
|
INDUSTRI nasyid tanah air suatu ketika dahulu h pernamenjadi fenomena apabila kumpulan Raihan berjaya dikenali di seluruh dunia.
Sehingga kini, Raihan masih memegang rekod jualan album tertinggi di pasaran Malaysia menerusi jualan album, Puji Pujian yang mencecah 750,000 unit.
Sementara, jualan album Raihan di seluruh dunia sepanjang 17 tahun pembabitan mereka dalam dunia seni sudah mencecah 3.5 juta unit.
Selepas Raihan, muncul kumpulan-kumpulan nasyid seperti cendawan tumbuh selepas hujan termasuklah Rabbani, Hijjaz, Brothers, In-team dan UNIC.
Walaupun sekarang ini muzik nasyid tidak gah seperti zaman awal kemunculan kumpulan-kumpulan tersebut, namun kehadiran artis baharu dari luar negara sedikit sebanyak mewarnai industri muzik nasyid tanah air.
Jika sebelum ini, muncul beberapa karyawan nasyid dari negara seberang yang cuba menembusi pasaran di negara ini seperti Opick, terbaharu, kumpulan nasyid dari Indonesia yang menggelarkan diri mereka, Edcoustic turut berusaha untuk melebarkan sayap mereka di Malaysia.
Edcoustic yang dianggotai Aden Supriadi, 33, selaku vokalis dan Eggie Gustaman, 29, sebagai pemain gitar mula bertapak di negara ini sejak tahun lalu menerusi album kompilasi, Hits Satu Dekade.
"Kami berharap dengan kehadiran kami di Malaysia dapat mewarnai lagi industri nasyid negara ini lantas menaikkan semula populariti lagu-lagu nasyid serantau dan antarabangsa.
"Situasi muzik nasyid di Malaysia sama seperti di Indonesia yang kurang mendapat sambutan, namun ia tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri," ujar Aden yang sudah tujuh kali berkunjung ke Malaysia.
Walaupun duo yang membawakan lagu bergenre pop inspirasi itu baru bertapak di negara ini, namun di Indonesia mereka telah mula bergiat aktif sejak 10 tahun yang lalu dengan kemunculan album pertama berjudul, Masa Muda.
Ditanya mengenai pencapaian yang paling membanggakan sepanjang tahun 2012, menurut Aden, memasuki pasaran Malaysia merupakan detik manis yang tidak dapat dilupakan.
Perjalanan muzik Edcoustic bakal lebih rancak lagi dengan penghasilan album terbaharu yang juga album kelima mereka pada bulan Mei tahun ini di Indonesia.
"Kami berharap album baharu yang masih dirahsiakan lagi judulnya itu dapat diterima oleh masyarakat dan akan lebih ramai lagi yang akan meraih inspirasi dengan lagu kami.
"Selain album baharu, saya juga akan menerbitkan sebuah novel yang berjudul, Azalia sebelum bulan Mac ini di Indonesia dan jika diizinkan Allah, buku ini juga akan dijual di Malaysia," jelas Aden mengenai perancangan Edcoustic dan dirinya pada tahun 2013 ini.
Duo yang meminati penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza itu menambah, seiring dengan kemunculan Edcoustic di Malaysia, mereka turut berkolaborasi dengan kumpulan nasyid tempatan, In-team menerusi lagu ciptaan Aden, Kau Ditakdirkan Untukku. Lagu itu juga bakal dimuatkan dalam album terbaharu In-team.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: