Wednesday, January 9, 2013

Penulis skrip drama pilihan Zabidi


ZABIDI


PERTEMUAN penulis bersama Zabidi Mohamed, 50, bekas pemimpin kanan kumpulan al-Arqam di sebuah pusat beli-belah di ibu negara baru-baru ini telah menyingkap kembali kisah silamnya semasa menyertai kumpulan tersebut suatu masa dahulu.
Dalam pertemuan singkat itu, Zabidi tidak begitu teruja menceritakan pembabitan beliau dalam al-Arqam yang dianggapnya telah dilupakan orang ramai.
"Kini saya lebih selesa menjalani kehidupan sebagai penulis skrip drama. Namun, saya masih mengikuti perkembangan ajaran-ajaran sesat di negara ini yang saya lihat sukar dibendung," katanya.
Beliau pernah menghasilkan buku, Tersungkur Di Pintu Syurga pada tahun 1998 yang membongkar kehidupannya sepanjang menyertai kumpulan al-Arqam.
Dalam bukunya, Zabidi menyatakan kejahilan diri membuatkan dirinya buta tentang agama Allah malah sepanjang mengikuti al-Arqam, beliau dan ahli kumpulan menyanjung pengasas al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad yang dikatakan mendapat mesej daripada Rasulullah.
Ashaari dikatakan bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia pada zaman Daulah Islamiah sebelum Ashaari menyerahkan tampuk pimpinan kepada Imam Mahadi.
Kemampuan dan strategi Ashaari dalam menyebarkan dakwah termasuk di luar negara seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand juga membuatkan Zabidi menyanjung ketuanya itu.
Namun sekitar tahun 1994 mencatatkan satu detik keruntuhan al-Arqam apabila kumpulan tersebut dikatakan menubuhkan tentera Badar di Thailand.
Pada 5 Ogos tahun sama, al-Arqam telah diharamkan kerajaan. Malah, pemimpin-pemimpin kanan dan Ashaari telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA) sekali gus membawa kepada kehancuran al-Arqam.



"Dalam tahanan ISA, saya berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk. Saya kemudian bertemu ramai ulama dan guru-guru agama selain membuat kajian tentang ajaran sesat.
"Setelah benar-benar yakin saya kembali ke pangkal jalan, tiga tahun kemudian," kata Zabidi yang aktif memberikan ceramah berkaitan ajaran sesat di negara ini.
Menurutnya, masyarakat mudah terpengaruh dengan ajaran sesat kerana terdapat pihak yang mentafsir hadis mengikut cara masing-masing tanpa merujuk kepada hukum Islam.
"Terdapat empat sumber yang disepakati oleh ulama untu menjadi panduan hidup mereka iaitu al-Quran, al-Hadis, ijmak dan qias.
"Masyarakat yang kurang ilmu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat. Ini kerana ajaran sesat ini turut membabitkan sihir yang berselindung di sebalik pengamal perubatan Islam," katanya yang banyak menghasilkan skrip-skrip drama berkaitan Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: