
PASUKAN bola baling Inti IU menyusun batu-bata untuk dijadikan dinding rumah seorang penerima bantuan.
PELBAGAI cara boleh dilakukan untuk membantu golongan yang memerlukan. Sekumpulan 20 pelajar dan warga kerja Inti International University (Inti IU), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini memilih untuk membantu membaiki dan membina semula kediaman keluarga yang berpendapatan rendah.
Mereka yang terpilih ialah rumah Hassam Mogot dan Sapparuddin Abd. Hamid dari perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Selangor.
Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama yang disertai Naib Presiden, Perkhidmatan Pelajar, Inti IU, Dr. Sia Ah Hiok yang membantu mengecat rumah milik Hassam dan isterinya, Gipah Noor.
Kumpulan kedua pula disertai pasukan bola baling Inti IU dengan tugasan membaiki rumah Sapparuddin. Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan, kumpulan tersebut berjaya menggantikan dinding lama bahagian ruang tamu kediaman tersebut. Dinding kayu itu diganti dengan batu-bata.
Ketua pasukan bola baling, Go Kah Hou nyata gembira apabila usahanya memaparkan aktiviti itu di laman Facebook mendapat sambutan daripada semua ahli pasukan bola baling.
"Saya tidak sangka semua ahli pasukan bola baling sanggup turun padang melakukan kerja-kerja yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini.
"Kami berjaya membancuh simen dan menyusun batu-batu, meskipun tidak mempunyai pengalaman. Usaha ini sangat berbaloi dan kami sangat gembira kerana dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya.

WALAUPUN tanpa pengalaman membina rumah, ia bukan penghalang untuk para pelajar menghulurkan bantuan.
Dalam pada itu, Ah Hiok turut gembira dengan sokongan para sukarelawan yang sanggup meluangkan masa dan tenaga dalam menjayakan program berkenaan.
"Usaha mereka merupakan kesinambungan daripada projek kami yang terdahulu. Diharapkan ia dapat diteruskan pada masa depan.
"Sebelum ini, para pelajar turut menganjurkan malam amal dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM6,000.
"Dana tersebut diserahkan kepada Living Hope Malaysia yang kemudiannya menyalurkannya kepada pusat sumber khusus untuk anak-anak Orang Asli di Kampung Gebok dan Kampung Kedat di Mantin, Negeri Sembilan," kata Ah Hiok.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: