Wednesday, January 9, 2013

Peladang obses mencipta tasik


SELEPAS hampir 14 tahun barulah Tonu berjaya menyiapkan tasik binaan impiannya.



KEINDAHAN tasik buatan Tonu menggamit ribuan pengunjung untuk mengadakan pelbagai aktiviti.



TONU dan Tiiu-Mall mendedikasikan hidup mereka untuk membina tasik semula jadi yang indah dan mendamaikan.


MENGAKUI obses dengan setiap tasik semula jadi yang pernah dilawatinya, seorang lelaki berbangsa Estonia yang berumur 71 tahun telah mendedikasikan separuh umurnya bagi membina tasik buatan sendiri.
"Mungkin ramai yang berpendapat agak sukar untuk membina tasik buatan sendiri, namun apa yang anda perlukan adalah keadaan landskap yang sesuai serta sedikit pengetahuan," ujarnya.
Cerita Tonu Tamm, segalanya bermula pada musim bunga pada tahun 1981, selepas menghabiskan 14 tahun mengembara dan menjalankan rakaman dokumentari televisyen di Siberia bersama isterinya, Tiiu-Mall.
"Ketika itu, saya dan isteri bercadang membeli sebuah kotej musim panas di Estonia dan menjadikannya sebagai tempat persinggahan waktu senggang dan hujung minggu.
"Kami juga bercadang mahu menjadikannya sebagai tempat tinggal tetap selepas kami bersara kelak.
"Walau bagaimanapun, kerana terpegun dek kecantikan alam semula jadi dan kawasan di persekitarannya, kami bercadang untuk terus menetap di sana," ujar Tonu.
Setiap kali melawat tasik-tasik semula jadi ketika mengembara pada usia mudanya, Tonu sering menyimpan angan-angan untuk membina tasik buatannya sendiri.
"Jadi, saya pun mengambil keputusan untuk membinanya tanpa ragu-ragu dan ia telah menjadi sebahagian daripada hidup saya," ungkap lelaki itu lagi.
Kupon pertukaran
Disebabkan Estonia terikat di bawah pemerintahan Soviet, ramai penduduk berhijrah ke kawasan pedalaman pada ketika itu kerana enggan mengikut fahaman politik yang disebarkan oleh kerajaan.
Selepas mendapat kemerdekaan pada tahun 1991, setiap keluarga diberikan sejumlah rebat dalam bentuk kupon dengan jumlah nilainya bersamaan dengan tempoh masa era pemerintahan Soviet di Estonia.
Secara beransur-ansur, Tonu mula menambah pegangan tanah miliknya kepada 250 hektar dan menukarkan 39 hektar daripadanya kepada 14 buah tasik buatan.
Tasik buatan terbesar binaannya berukuran 10 hektar dengan kedalaman 400 meter dan kini telah dipenuhi dengan ikan.
Pentas konsert
Salah satu tarikan di kawasan tasik buatan Tonu adalah dua buah pentas konsert yang dibina pada tahun 1998 yang kini menjadi perhatian ramai penggemar muzik serta menjadi lokasi banyak acara tahunan.
Antara penggiat seni yang pernah membuat persembahan secara percuma di atas pentas itu ialah Neeme dan Paavo Jarvi.
Tonu kini meraih pendapatan hasil daripada lawatan orang awam ke tasik buatan suaminya bagi menyambut sesuatu acara atau meraikan sesuatu festival.
"Walaupun kami sering mengendalikan acara-acara besar seperti festival muzik, tetapi pulangan yang kami terima adalah sangat kurang.
"Tetapi, apabila melihat kegembiraan yang terukir pada wajah penonton yang hadir memberikan makna kepada kami berdua," katanya sambil memberitahu mempunyai perancangan untuk membina pentas di bawah permukaan air.
Sementara itu, menurut seorang kosmetologis yang berasal dari bandar Tallinm, Sirje Laansoo, 50, binaan tasik buatan milik Tonu dan keluarganya menjadi bahan bualan ramai kerana semangat mereka yang kuat dan mampu 'bekerja' dengan alam semula jadi.
Sirje menambah, setiap kali dia dan keluarganya datang melawat tasik buatan Tonu, satu perasaan luar biasa akan wujud yang membuatkan kami ingin datang ke situ lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: