KAEDAH rawatan Islam digunakan bagi memulihkan akidah individu yang murtad atau terbabit dengan ajaran sesat.
|
KISAH Abdul Kahar Ahmad yang mengaku sebagai Rasul Melayu pernah menggemparkan negara beberapa tahun lalu.
Intipati ajarannya seperti mengaku diri sebagai Rasul dengan menerima wahyu di Bukit Kemensah, mempunyai mukjizat, tidak wajib sembahyang lima waktu, tidak percaya pada al-Quran, menolak hadis dan tidak perlu menunaikan haji nyata menyeleweng daripada ajaran Islam.
Akibatnya, lelaki berkenaan yang kini berusia 63 tahun ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman selama 10 tahun dan enam kali sebatan serta denda RM16,500 selepas dia mengaku salah atas lima pertuduhan berhubung penyebaran ajaran sesat yang diasaskannya pada tahun 2006.
Dia turut diperintah dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman untuk tempoh enam bulan terakhir hukuman tersebut.
Bagaimanapun, hukuman terhadap lelaki yang berasal dari Hulu Klang, Selangor itu gagal menjadi teladan dalam membanteras ajaran sesat yang subur di negara ini.
Di Selangor sahaja, pihak berkuasa telah mengenal pasti lebih daripada 70 ajaran sesat. Ia sukar dibendung kerana perbuatan tersebut dilakukan secara tersembunyi.
Pengikut-pengikut juga dilarang menceritakan segala yang berlaku dalam kumpulan mereka kepada pihak luar menyebabkan gejala itu sukar dikesan pihak berkuasa.
Difahamkan, kekurangan kakitangan penguatkuasaan juga antara faktor ajaran sesat sukar dibendung kerana ia memerlukan siasatan yang rapi dan masa yang panjang.
Selain itu, masyarakat yang kurang ilmu agama mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat. Tidak mendirikan solat atau sekadar belajar agama di sekolah tanpa memahami ilmu yang dipelajari antara penyumbang ajaran sesat berkembang di negara ini.
Penceramah bebas, Mohd. Salahuddin Mohamed berkata, terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada gejala tersebut seperti belajar agama tetapi secara menghafal bukannya menghayati, tidak mengetahui atau belajar agama Islam serta tidak kenal Rasulullah dan Nabi.
"Hasil pergaulan dan program yang saya anjurkan dengan golongan yang bermasalah mendapati mereka ini belajar agama di sekolah sahaja. Itupun secara menghafal tanpa menghayati ilmu tersebut.
"Bahkan, tidak mengetahui Rukun Islam, Rukun Iman dan asas-asas agama serta tidak mendirikan solat. Penganjuran sambutan Maulidur Rasul setiap tahun juga hanya dilakukan di masjid dan apabila keluar dari masjid kebanyakan orang tidak mengikuti ajaran tersebut," kata Pengarang Kanan Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan ibadah solat perlu dititikberatkan dalam kehidupan harian kerana jika tidak bersolat akidah mudah diselewengkan.
"Rasulullah mengajar para sahabatnya menunaikan solat secara berjemaah dan menyatakan bahawa solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan sekali gus mengelakkan perselisihan dalam masyarakat. Solat juga tiang bagi segala-galanya," ujarnya.
Jelasnya lagi, umat Islam juga perlu diajar mengenal Allah melalui penciptaan alam semesta yang dicipta Allah dengan penuh kehebatan. Dengan mengenal kehebatan Allah barulah umat Islam dapat mendekatkan diri dengan yang Maha Esa.

ABDUL KAHAR merupakan individu pertama berkaitan ajaran sesat yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Mendapat pengaruh
Seorang lagi penceramah bebas, Daud Che Ngah berkata, orang ramai mudah terpengaruh kerana pengamal ajaran sesat biasanya mempunyai motif tersendiri seperti mendapatkan pengaruh atau kuasa, wang dan wanita.
"Ketua pengamal ajaran sesat kebanyakan memberitahu pengikutnya bahawa dia mendapat 'wahyu' daripada mimpi dan diangkat menjadi orang yang hebat. Dia menjadi insan yang terpilih bagi membimbing masyarakat.
"Sebenarnya, syaitan yang memasuki mimpi ketua mereka dan mengajar benda syirik. Pengikut pula tidak mempunyai ilmu al-Quran dan apabila tiada ilmu maka sesatlah mereka," katanya.
Pusat pemurnian
Bagi memulihkan individu-individu yang terbabit dengan ajaran sesat di negara ini, mereka akan dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Pusat pemurnian yang pertama seumpamanya di negara ini menyediakan khidmat bimbingan kaunseling kepada individu atau kumpulan Islam yang memerlukan pemulihan akidah.
Pusat yang ditubuhkan pada tahun 2000 itu setakat ini masih belum menerima pelatih bagi kes ajaran sesat. Kes Rasul Melayu merupakan kes pertama setelah mahkamah memerintahkan Abu Kahar menjalani tempoh enam bulan terakhir hukumannya di pusat tersebut.
"Tempat ini merupakan satu-satunya pusat pemurnian akidah di Semenanjung Malaysia yang beroperasi 24 jam," kata Penguasanya, Izhar Ismail.
Sebelum ini, pusat berkenaan beroperasi di bangunan Kem JPG Markas II Briged Tengah Ulu Yam Bharu. Ia berpindah di Kuala Kubu Bharu sementara menanti Kompleks Baitul Iman yang baharu di Jalan Sungai Tua Ulu Yam, Selangor siap.
Meskipun masih belum menerima sebarang kes berkaitan ajaran sesat, pusat berkenaan tetap berusaha memantapkan satu modul bagi menangani kes berkenaan.
"Apabila menerima kes, kita akan gunakan rawatan Islam, kenal pasti dulu pelatih itu ada kaitan dengan sihir atau tidak. Kalau ada masalah mental, kita kena pulihkan selain mengikuti Bengkel Istitabah bagi meminta mereka bertaubat.
"Bagi kes tertentu kita beri khidmat kaunseling, perbincangan atau adakan debat bersama pelatih berkenaan," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: