Friday, December 21, 2012
Tiga hari lagi untuk beli buku
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk di Lembah Klang seolah-olah sudah sinonim dengan salah satu acara jualan buku terbesar dan termurah di Malaysia yang dikenali sebagai Big Bad Wolf (BBW).
Dikendali oleh setor buku BookXcess yang beroperasi di Amcorp Mall, Petaling Jaya, jualan buku itu mendapat perhatian luas bukan sahaja kerana pilihan buku yang pelbagai, malah lebih nilai untuk wang yang dibelanja dengan tawaran diskaun tinggi.
Kini tinggal hanya tiga hari lagi. Pesta jualan buku antara yang paling besar dan meriah, BBW bakal menutup tirai pada 23 Disember ini di Pusat Konvensyen Mines, Seri Kembangan, Selangor.
Orang ramai tidak seharusnya ketinggalan membeli buku-buku pilihan kerana BBW menawarkan lebih tiga juta buku yang dijual pada harga sangat murah. Terdapat pelbagai pilihan bacaan di situ daripada bacaan kanak-kanak dalam pelbagai modul hingga dewasa dan pembacaan khusus.
Jualan berterusan
Lebih menarik, bagi menangani kesesakan pada waktu-waktu kemuncak, BBW menawarkan jualan secara berterusan tanpa henti selama 63 jam iaitu bermula 6.30 pagi hari pertama hingga 9 malam pada 9 Disember.
Ia sekali lagi dilanjut pada minggu kedua hari Jumaat dan Sabtu hingga Ahad (14 hingga 16 Disember) sebagai pilihan kepada pelanggan yang mahu membeli-belah buku di situ.
Para pengunjung yang datang ke tapak BBW pada hari ini hingga hari penutupnya iaitu hari Ahad (23 Disember) dijangka dikejutkan dengan pelbagai promosi dan gimik istimewa.
Mula dibuka pada pukul 9 pagi, jualan BBW akan berlangsung selama 60 jam, iaitu sehingga pukul 9 malam pada hari akhir tersebut.
“Kami percaya membaca adalah pintu kepada segala maklumat dan pengetahuan itu adalah kuasa yang paling kuat di dunia, tidak kira bagi seorang pelajar, mahupun orang dewasa,” kata Pengarah Urusan BookXcess dan penganjur BBW, Andrew Yap.
Semua orang menggunakan peluang membeli buku yang mereka cari-cari selama ini pada harga yang murah. Antara genre bacaan yang dijual adalah seperti kulinari, rekaan dalaman, pemotoran, seni, anime, sastera, biografi, kesihatan dan kecantikan. Semuanya dengan diskaun daripada 75 hingga 95 peratus.
Pada tahun ini juga, sebagai mengurangkan beban orang ramai menjunjung buku sepanjang aktiviti membeli-belah buku, pelanggan diberi kotak simpanan di kaunter Khidmat Pelanggan.
Sudut kanak-kanak
Nilai tambahan yang lain turut dimuatkan pada BBW kali ini ialah ruang permainan khas untuk kanak-kanak seperti mewarna dan aktiviti seni pasir supaya dapat menghibur hati si kecil yang turut ke pameran buku itu.
Bagi mereka yang mahu mengisi perut di antara waktu membeli-belah buku, sudut makan minum dengan pelbagai pilihan makanan tempatan juga dibuka.
“Saya agak teruja melihat himpunan buku dan belum pasti lagi membeli buku yang mana. Tiada bajet khusus tetapi pasti saya akan beli sebanyak yang mungkin,” demikian pula kata Alfred Chan, 32, dari Serdang yang mendapat tahu mengenai BBW melalui banting sekitar Serdang.
Pertama kali mengunjungi BBW, Firdaus Banhawi, 28, menyasarkan untuk membeli buku dalam lingkungan RM100.
“Saya percaya saya boleh membeli banyak buku di sini memandangkan harga yang ditawarkan sangat murah,” katanya semasa ditemui ketika memilih buku-buku motivasi dan keagamaan.
Ramai juga pelajar, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi, turut menggunakan peluang untuk membeli buku di jualan BBW.
Mereka akui, harga yang murah dan pilihan pelbagai memudahkan golongan pelajar.
“Saya mahu membeli beberapa buku tetapi belum buat pilihan kerana terlalu banyak buku di sini,” kata pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa, (UIA), Nurul Aiman Mohd. Amin, 18.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: