
PROFESIONAL. The Jacksons (dari
kiri), Tito, Jackie, Marlon dan Jermaine mengalunkan sehingga 29 buah
lagu untuk konsert yang dikenali sebagai Unity Tour 2012 Live In
Malaysia ini.
SETELAH hampir 30 tahun, kumpulan adik-beradik paling popular di era antara 60-an dan 70-an, The Jacksons, kembali mengubat kerinduan peminat mereka dengan mengadakan sebuah siri konsert jelajah dunia.
Kumpulan yang sememangnya dikenali di seluruh dunia ini pada asalnya diberi nama Jackson 5 yang mana anggota kumpulannya ialah adik-beradik lelaki Jackson iaitu Jackie, 61, Jermaine, 58, Marlon, 55, Tito, 59, dan mendiang Michael Jackson.
Pada 13 Disember lepas, The Jacksons telah singgah ke Malaysia untuk mengadakan konsert sebagai salah satu destinasi untuk mereka berjumpa peminat di seluruh dunia yang menggunakan nama Unity Tour 2012 Live In Malaysia.
Konsert yang bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur itu telah menyasarkan kehadiran seramai 2,500 pengunjung.
Bagaimanapun konsert itu hanya berjaya mengumpul lebih kurang 1,500 peminat.
Namun, ternyata persembahan empat beradik ini berjaya menghiburkan peminat mereka yang hadir sepanjang konsert berlangsung dengan sebahagian besar peminat turut berdiri dan sama-sama menari dan menyanyi lagu-lagu yang dipersembahkan mereka di atas pentas.
Kemunculan The Jacksons di pentas kira-kira pada pukul 9.15 malam terus sahaja meraih sorakan tanpa henti daripada peminat yang hadir.
Memandangkan The Jacksons sangat popular pada zaman 60-an, maka kelihatan rata-rata peminat yang hadir berumur dalam kalangan 30 tahun dan ke atas.
Sebaik sahaja memulakan persembahan, peminat terus bersorak dan mereka kekal bersemangat sehingga tamat konsert.
Apa yang menariknya, usia tidak menghalang Jackie, Jermaine, Marlon serta Tito memberikan persembahan bertenaga sepanjang 90 minit konsert berlangsung.
Jangan terkejut, The Jacksons berjaya menyampaikan 29 buah lagu yang diiringi tarian tanpa henti, kelihatan seolah-olah mereka tidak kenal erti letih walaupun rata-rata telah berusia.
Sememangnya janji dikotakan iaitu ingin mengembalikan nostalgia The Jacksons dengan menyampaikan lagu popular mereka seperti ABC, I Want You Back, The Love You Save, Never Can Say Goodbye, I'll Be There dan banyak lagi.
Walaupun telah tiada, mendiang adik mereka, Michael masih lagi sentiasa berada di ingatan. Demi memperingati Michael, empat beradik ini telah menyampaikan sebuah lagu yang dituju khas, iaitu Gone Too Soon berserta gambar kenangan ketika bersama mendiang ketika zaman kegemilangan Jackson 5.
Selain itu, berniat menyambung kerja amal Michael, The Jacksons turut menjemput kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim Al-Nasuha sebagai tetamu khas untuk sama-sama berkongsi pentas bersama ketika membuat persembahan dan juga merupakan tetamu istimewa.
Senyuman dan kepuasan jelas terserlah di setiap raut wajah peminat yang hadir di konsert The Jacksons yang dianjurkan oleh Offshore Entertainment Production ini.
Sememangnya tempoh 90 minit itu berjaya membuatkan mereka terbuai dengan lagu-lagu yang disampaikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: