![]() |
|
ANUAR kini giat melakukan senaman untuk mendapatkan stamina yang mantap sebagai persediaan konsertnya pada 16 Februari depan.
|
DUA bulan lagi sebelum berlangsung konsert sulungnya, Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari pada 16 Februari tahun depan, Anuar Zain memberitahu, dia berharap mampu mengumpulkan 8,000 peminatnya pada malam tersebut.
Jika dilihat secara kasar, jumlah 8,000 penonton tersebut terlalu sedikit buat Anuar yang cukup hebat auranya. Namun, kata Anuar, jumlah tersebut bertepatan dengan kapasiti ruang Stadium Putra Bukit Jalil yang menjadi lokasi konsertnya.
“Jika sebelum ini hanya segelintir pihak yang dapat menyaksikan persembahan saya, kali ini menerusi sebuah konsert, saya menjangkakan seramai 8,000 peminat akan hadir dan berhibur dengan saya,” ujarnya yang ditemui dalam satu sesi ramah mesra bersama media dan pengumuman harga tiket yang diadakan di Bangsar Shopping Centre, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini,
Begitu teruja dan bersemangat untuk melaksanakan misi besar dalam karier seninya, itu, Anuar juga sanggup mengenepikan acara tahunan yang tidak pernah ditinggalkannya sebelum ini iaitu persembahan dalam Minggu Setiausaha.
Bukannya sudah muak atau bosan kerana meraikan golongan yang sama saban tahun, Anuar menjelaskan dia mahu fokus kepada konsert tersebut.
“Saya juga telah membuat keputusan untuk tidak terlibat dengan persembahan di Minggu Setiausaha. Lagipun jarak antara bulan Februari dan April sangat hampir, jadi lebih adil sekiranya peminat saya dapat datang pada satu acara sahaja,” jelasnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai persiapan menjelang konsert tersebut, Anuar memberitahu, kini dia sudah mula membuat persiapan.
Ini termasuklah bersenam sebagai persediaan memantapkan stamina, manakala perbincangan mengenai konsep dan pemilihan lagu juga sudah dilakukan.
Bakal menggunakan khidmat seramai 31 pemuzik iringan yang akan diketuai oleh pengarah muzik Mac Chew, Anuar menjelaskan sekurang-kurangnya 20 buah lagu akan dipersembahkan dalam tempoh dua jam.
“Bagi menampilkan kelainan dan keunikan semasa persembahan nanti, susunan muzik setiap lagu akan diubah semula agar ia lebih sesuai dengan suasana dan tema konsert tersebut.
“Apa yang lebih penting, saya akan beraksi secara solo dan tidak mengundang dan menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain. Cuma ada dua buah lagu yang akan dinyanyikan secara medley kerana faktor masa,” jelasnya.
Berkenaan dengan tiket pula, ia sudah mula dijual sejak 12 Disember dengan harga RM88 (Palladium B), RM138 (Palladium A), RM298 (Bronze), RM398 (Silver), RM598 (Gold) dan RM698 (Platinum).
Mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert berkenaan boleh membeli tiket menerusi laman web www.ticketcharge.com atau menghubungi Anuar Zain Network di talian 012-464 2030, manakala diskaun sebanyak 15 peratus akan diberikan kepada 1,000 pembeli pertama.
Selain itu, pihak pengurusan Anuar Zain juga turut menawarkan pakej perjalanan eksklusif ‘3Dekad 1Destinasi’ untuk para peminat di luar Kuala Lumpur termasuk dari Kota Bharu (Kelantan), Jerteh dan Kuala Terengganu (Terengganu), Johor Bahru (Johor) dan Singapura dengan menyediakan pengangkutan dari lokasi-lokasi berkenaan terus ke Stadium Putra Bukit Jalil.
Sambutan baik
Selain mengakui sangat teruja untuk mengadakan konsert solonya itu, Anuar turut meluahkan rasa gembiranya apabila klip video Ajari Aku yang baru sahaja dilancarkan bulan lalu mendapat sambutan yang cukup baik.
Menampilkan pelakon popular iaitu Nora Danish sebagai teraju utama, penyanyi berkenaan menyatakan sehingga kini klip video lagu tersebut sudah ditonton sebanyak 93,000 kali di laman YouTube.
“Sejujurnya dahulu saya agak kurang percaya video klip mampu membantu mempromosikan sesebuah lagu dan disebabkan itu saya tidak banyak menghasilkan klip video untuk lagu-lagu saya.
“Bagaimanapun, melihat kepada sambutan yang diterima barulah saya sedar ia memang banyak membantu. Saya yakin kesinambungan klip video Ajari Aku iaitu lagu Sempurnakan Aku akan turut disukai ramai,” ujarnya.
Berkenaan dengan klip video Sempurnakan Aku, Anuar memberitahu ia akan mula ditayangkan kepada umum buat kali pertama semasa berlangsungnya konsert berkenaan nanti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: