MELUKIS...kemahiran melukis mampu menseimbangkan otak kanan dan kiri kanak-kanak.
Namun begitu Nur Adlya seorang yang bijak dan mampu menguasai pembelajaran sama seperti kanak-kanak lain. Menyedari anaknya amat meminati pembelajaran di rumah lantas Sophia Jusuff memulakannya.
Daripada situ, Sophia mula mencari kenalan yang menjalankan sekolah di rumah, antaranya Hafiza Abd Rahman, penceramah pejuang pendidikan di rumah yang ditemui ketika menghadiri seminar anjuran LittleKittle.com.
“Rupanya saya tidak keseorangan. Ramai yang senasib dengan saya dan memilih sekolah di rumah untuk anak-anak. Saya mula mendapatkan tip pembelajaran berkesan di rumah dan mula berkongsi apa saja masalah dengan Hafiza,” katanya memulakan bicara.
Falsafah Sophia yang mementingkan kecemerlangan akademik dan sahsiah anak-anak menyebabkan wanita ini mengutarakan hasrat membina pusat program holistik seisi keluarga HappyMindz kepada Hafiza Abd Rahman.
Menurut Sophia, idea penubuhan HappyMindz selain ingin memberi peluang kepada kanak-kanak terutama mereka yang bersekolah di rumah, ia juga cetusan sanubari Sophia sendiri apabila dulu dia langsung tidak berkesempatan mengikuti kelas kemahiran seperti tarian dan seni mempertahankan diri kerana faktor kemiskinan.
“Dulu saya tinggal di Singapura dan ayah hanya bekerja sebagai pemandu teksi.
Sebagai anak memang saya teruja apabila melihat rakan-rakan menyertai pelbagai kelas namun keluarga tidak mampu dan saya hanya belajar di sekolah,” ujarnya.
Menyedari ramai ibu bapa yang inginkan anak-anak mendapat pelbagai kemahiran selain pembelajaran formal di sekolah, HappyMindz adalah lokasi yang tepat dan bersesuaian sebagai memenuhi cita-cita dan impian ibu bapa.
HappyMindz membawa pengertian yang besar, iaitu pentingnya mempromosikan minda ceria kepada kanak-kanak kerana daripada situ ia akan membawa perubahan positif kepada mereka.
Ia menawarkan pelbagai aktiviti inovatif seperti kelas tarian balet, jazz, hip hop dan tradisional, klinik perundingan pendidikan, pembelajaran sains, lukisan, kesenian, drama, muzik (piano dan gitar), kelas seni mempertahankan diri seperti silat, taekwondo, aikido serta kelas asas Bahasa Melayu Tinggi, Inggeris, Jerman, Perancis, Korea, Jepun, kelas keibubapaan dan kelas perniagaan dari rumah.
Menurut Sophia, membuat pilihan untuk kelas aktiviti kanak-kanak dan keluarga sememangnya lebih sukar daripada realiti. Ini kerana, ibu bapa harus mempertimbangkan kepentingan individu disebabkan perilaku dan kecenderungan setiap anak unik dan berbeza. Contohnya, anak-anak yang sebelum ini menyukai tarian dan muzik boleh berubah menjadi sebaliknya apabila berada di kelas atau di hadapan orang ramai.
“Perkara ini berlaku disebabkan rangsangan serta didikan yang kurang berkesan diberikan guru bagi memberikan kelainan dalam suasana pembelajaran di kelas.
“Selain itu, ibu bapa harus mempertimbangkan jadual kelas, lokasi, harga, jadual mingguan keluarga dan aspek keselamatan. Aktiviti kokurikulum sewajarnya menjadi pengalaman pembelajaran yang positif bagi membolehkan ibu bapa melihat setiap perkembangan kanak-kanak dalam keadaan bersedia, terlatih dan berupaya.
“Contohnya seawal minggu pertama, ibu bapa boleh mendaftar bersama bayi di kelas sokongan ibu bapa atau gimnasium bayi yang dapat mempertemukan ramai ibu bapa lain. Kelas ini biasanya dibantu oleh pakar dan pelatih profesional dalam pembangunan kanak-kanak dan salah satu cara terbaik mewujudkan rangkaian komuniti kepada individu yang memasuki fasa baru dalam kehidupan.
“Walaupun pada mulanya bayi tidur atau menatap wajah antara satu sama lain di dalam kelas, dalam masa yang singkat kebiasaannya mereka akan bergerak dan berinteraksi dengan rakan-rakan mereka,” jelasnya.
Sesetengah kanak-kanak pula secara semula jadi berminat menyertai kelas tambahan anjuran pelbagai pusat kemahiran yang memberi pengkhususan dalam aktiviti tertentu. Contohnya bola sepak, renang dan gimnastik yang sangat popular bagi anak-anak aktif. Secara amnya, semua kelas ini memperkenalkan si kecil menguasai penggunaan peralatan, menambah perbendaharaan kata pada usia muda di samping penekanan mengenai peraturan permainan (termasuk keselamatan).
Kanak-kanak boleh meluahkan kreativiti dan perasaan mereka dengan cara yang sihat.
“Bagi kanak-kanak yang sudah mengikuti kelas muzik pula pada kebiasaannya lebih bersedia untuk aktiviti yang lebih berstruktur. Kelas berbeza menjadikan pelajar lebih berdisiplin serta membolehkan anak-anak gembira dengan kebolehan terpendam mereka,” jelasnya.
Bagi dirinya pula, dia menggalakkan kanak-kanak prasekolah mempelajari instrumen muzik dengan cara tersendiri dan kreatif manakala kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun mula diperkenalkan dengan piano diikuti instrumen lain pada usia seterusnya. Pendedahan awal ini selalunya dapat membantu anak-anak lebih berkeyakinan berhadapan pelbagai situasi persekolahan.
Selain itu kelas seni misalnya tidak hanya menarik, tetapi menyediakan bahan untuk meneroka dan mencipta elemen baru. Ia pengalaman pertama mereka dalam memanipulasi medium yang berbeza. Selain itu, kelas seni lebih ‘tenang’ dan membantu anak-anak yang aktif untuk kekal bertenaga sepanjang hari.
Tambah Sophia, kanak-kanak sebenarnya belajar daripada semua aspek pembangunan sekitar. Mendengar nota dalam kelas muzik mencetuskan sambungan pada neuron otak yang akan digunakan apabila mereka menyelesaikan masalah matematik.
Bermain bersama atau cat mural membina kemahiran bersosial dan mengajar kanak-kanak yang lebih berusia mengenai kepentingan kerjasama dan kerja berpasukan.
“Secara tidak langsung kognitif kanak-kanak lebih mendalam mengenai cara penyelesaian masalah dalam perspektif berbeza. Mereka juga berpeluang belajar mengenai budaya serta berkenalan dengan rakan pelajar yang mempunyai latar belakang berbeza di kelas,” jelasnya.
Apa yang ibu bapa perlu tahu kanak-kanak sebenarnya bukan hanya berminat kepada kandungan latihan di dalam kelas, tetapi juga pada tenaga pengajar, rakan sekelas dan bahan pengajaran yang disediakan.
Kelas tambahan berunsur holistik ini membolehkan kanak-kanak menjadi insan yang lebih berdikari dan mempunyai nilai kendiri yang baik kerana pengalaman mereka dirangsang aura positif oleh tenaga pengajar manakala kanak-kanak yang diberi peluang membuat keputusan mengenai pelbagai perkara dengan bimbingan ibu bapa akan membantu mereka menjadi lebih selesa dan yakin pada diri sendiri.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang www.happymindz.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: