|
|
PROGRAM Nasi Lemak Kopi O di TV9 yang telah masuk musim keenam sejak diperkenalkan pada tahun 2008 akan membuat pembaharuan dari segi pengisian terhadap konsep yang telah sedia ada.
Beberapa segmen baharu turut diperkenalkan selain segmen yang sedia ada ditambah baik supaya lebih segar dan santai.
Nasi Lemak Kopi O disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad pada pukul 8 pagi hingga 10 pagi, dihoskan oleh selebriti seperti Bienda, Farah Diana, Fizo Omar, Luqman Hakim Abd. Malik dan AG (penyampai radio Hot FM)
Kata Penerbit Eksekutif program itu, Wan Sabariah Shikh Ali, segmen Mutiara Hati akan yang memperkenalkan seorang ustaz baharu iaitu Syed Abdul Kadir Al-Joofre yang juga guru agama kepada ustaz terkenal Don Daniyal di Mesir.
“Segmen ini akan lebih santai, ustaz Syed Abdul Kadir akan mengajar tertib dan adab kita sebagai seorang Islam dengan santai dan ringkas seperti tertib memakai baju dan keluar dari rumah yang tidak pernah kita semua tahu,” ujarnya ketika ditemui di Sri Pentas, Bandar Utama, Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Tambah Wan Sabariah, segmen Skuad Foo juga merupakan satu pembaharuan yang dibuat apabila Pegawai Penyelaras Suksi Universiti Malaya, Asisten Supritendan (ASP) Foo Chek Seng akan membuat segmen luar studio.
“ASP Chek Seng akan ke kawasan operasi polis dan bercakap dengan suspek yang ditahan seperti mat rempit dan sebagainya dan berkongsi pengalaman itu di studio nanti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Sabariah memberitahu, trio hos pada hari Ahad iaitu Fizo, Luqman dan AG pula akan turut turun padang bagi menjayakan segmen Permotoran, Sesuka Hati Chef dan Dirty Job.
“Bagi segmen permotoran, trio hos itu akan mencuba kenderaan yang dijual dengan harga yang paling mahal di pasaran dan Sesuka Hati Chef pula mereka akan memasak dengan bahan-bahan makanan yang tidak sesuai seperti santai dengan coklat.
“Dirty Job pula, mereka akan ditugaskan untuk mencuba pekerjaan yang tidak pernah dilakukan mereka seperti membuat tar jalan, jadi jurujual pasar malam dan sebagainya,” jelasnya.
Ujarnya lagi, rating program itu semakin meningkat setiap tahun dengan hampir 400,000 penonton dan umur penonton yang tertinggi antara 18 tahun hingga 24 tahun.
“Sebab itu kami ambil pengacara muda dan ibu muda agar penyampaian mereka lebih dekat dengan hati penonton,” jelasnya.
Bagi Bienda yang baru enam bulan menjadi hos program itu cukup teruja dengan penambahbaikan segmen sedia ada kerana ia akan lebih dekat dengan penonton.
“Contohnya segmen Bantu Mama ia banyak bagi petua kepada ibu muda macam saya di samping berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu lain dalam hal menjaga anak,” katanya yang mempunyai anak berusia sembilan bulan.
Fizo pula menambah, dia sudah tidak sabar lagi untuk tampil dalam segmen permotoran kerana itu adalah minatnya untuk mencuba memandu kenderaan agak mahal di pasaran.
Walaupun sibuk dengan jadual penggambaran dan komitmen lain, dia yang telah setahun menjadi hos Nasi Lemak Kopi O tetap komited untuk memberikan komitmen dan membahagi masa untuk semua segmen kendaliannya pada setiap Jumaat dan Ahad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: