Monday, December 24, 2012

Peristiwa pesawat terjunam sukar dilupakan

Kenangan bersama rakan-rakan ketika berkhidmat di Congo terpatri kemas dalam ingatan Abd. Rahman Mohamed (duduk, tengah) walaupun peristiwa itu sudah lebih 50 tahun berlalu.
SEPANJANG hidupnya, bekas anggota Batalion Kedua RAMD, Staf Sarjan Abd. Rahman Mohamed, 74, tidak mungkin dapat melupakan kejadian yang hampir meragut nyawanya bersama tiga rakan lain sewaktu bertugas di Congo antara Disember 1962 sehingga April 1963.
Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa beliau bersama seorang pegawai dan dua rakan setugas diarahkan ke suatu destinasi dari Bukavu menuju ke sebuah destinasi untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan dengan menaiki kapal terbang.
Tepat 6.30 pagi, beliau bersama anggota terlibat menaiki kapal terbang tersebut di lapangan terbang Bukavu.
"Lantas juruterbang menghidupkan enjin kapal terbang itu. Tidak sampai 10 minit, kapal terbang digerakkan.
"Entah di mana silapnya kapal terbang hanya 'timbul' sedikit sebelum menjunam di hujung landasan lalu terperosok ke dalam semak dalam keadaan terjunam," katanya yang juga abang kepada penghibur pujaan ramai era 60-an, M. Osman.
Keadaan itu menyebabkan Abd. Rahman serta rakan setugasnya panik. Sebaik pesawat terhenti, mereka melompat keluar melalui pintu belakang yang terjungkit.
"Marah benar juruterbang itu pada kami kerana terjun sedemikian. Tidak lama kemudian datang beramai-ramai penduduk di situ ke tempat kejadian.
"Mereka membantu menarik pesawat itu ke landasan sebelum membuang lumpur, ranting kayu, semak-samun serta sampah-sarap yang melekat pada roda dan kipas.
Apabila semuanya selesai, sesuatu yang tidak diduga berlaku. Juruterbang berkenaan mengarahkan mereka kembali menaiki pesawat itu.
"Dengan berat hati, kami naik juga dan Alhamdulillah pesawat itu berlepas dengan baik. Sampai saja ke destinasi iaitu kira-kira 20 minit penerbangan, juruterbang itu mengatakan pesawat itu sudah tidak boleh digunakan lagi dan kami kemudian pulang dengan pesawat lain," katanya sambil ketawa mengenangkan peristiwa itu.
Selain itu, Abdul Rahman turut terkenangkan rakan seperjuangan bernama Shaari yang meninggal dunia di Goma, Congo.
"Beliau menderita penyakit apendiks dan menjalani pembedahan di sana. Malangnya penyakit itu kian teruk akibat kekurangan peralatan dan ubatan.
"Akhirnya Shaari menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8 pagi. Saya agak terkilan kerana bantuan ubat dari Leopoldville tiba kira-kira dua jam selepas itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: