Monday, December 24, 2012

Pandu sendiri kereta api ke destinasi

Zulkafli Mohd Daud dan adiknya, Mohd Yusof Mohd Daud (kiri) meneliti isi kandungan buku nota yang ditulis Kapten Basirun ketika ditemui di Kajang baru-baru ini.
INDIVIDU pertama dihubungi S2 bagi mendapatkan cerita mengenai pengalaman di Congo adalah Mejar (B) Zulkafli Mohd. Daud, 82. Beliau merupakan salah seorang anggota dari Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) iaitu kumpulan askar pertama yang ke Congo.
Pilihan S2 nyata tepat kerana jasa Zulkafli di Congo rupa-rupanya diteruskan adiknya, Mohd. Yusof Mohd. Daud, 77. Adiknya itu merupakan salah seorang anggota Batalion Keenam RAMD yang menggantikan tugas kumpulan pertama pada 1961.
Memulakan cerita, Zulkafli memberitahu mereka berpeluang bertemu ketika istiadat penyerahan tugas berlangsung di Pelabuhan Dar Es Salaam, Tanzania.
"Dalam pertemuan itu saya serahkan buku nota kecil tertulis amalan serta zikir tertentu hasil tulisan tangan Kapten Basirun di Congo. Kapten Basirun merupakan guru agama saya dan hubungan kami amat rapat. Beliau juga adalah bekas Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan dan Tokoh Maal Hijrah ATM telah meninggal dunia pada 2010 akibat angin ahmar.
"Apabila adik pulang, beliau serahkan kembali buku itu pada saya. Sehingga kini buku itu kekal dalam simpanan dan saya amat menyayanginya," katanya.
Mengimbau lebih jauh, Zulkafli yang ketika itu berpangkat leftenan memberitahu, cabaran di Congo bermula sebaik sahaja kumpulan itu tiba di negara tersebut.
"Kapal tentera Amerika Syarikat yang kami naiki berlabuh di Cape Town, Afrika Selatan. Lalu kami menaiki kereta api menuju ke ibu negara Congo, Leopoldville (kini dikenali sebagai Kinshasa).
"Dalam perjalanan, kereta api tiba-tiba berhenti. Pemandu termasuk kakitangan kereta api turun seakan melancarkan mogok. Disebabkan itu, tentera kita yang mempunyai kepakaran terpaksa memandu sendiri kereta api ke destinasi dituju," ujarnya.
Tidak terhenti di situ katanya, satu lagi masalah timbul apabila tentera-tentera tanah air tidak dibenarkan masuk ke kem yang disediakan di Leopoldville sehingga menimbulkan ketegangan di antara kedua-dua belah pihak.
"Setelah perbincangan dijalankan dengan bantuan penterjemah, barulah kami dibenarkan masuk," katanya.
Diminta menjelaskan punca layanan buruk itu, Zulkafli sambil tersenyum mengatakan semuanya akibat salah faham di antara kedua-dua belah pihak.
Pertamanya, kerana di dada kami tertulis perkataan Malaya. Malaya dalam bahasa mereka hampir sama dengan perkataan yang bererti perempuan jahat.
"Jadi kami dianggap jahat juga. Selain itu, ada pula pihak tidak bertanggungjawab menyebar cerita kononnya kami jahat kerana membunuh komunis di tanah air. Walhal, mereka tidak tahu pun siapa komunis ini sebenarnya.
"Semua masalah itu bagaimanapun tidak berpanjangan. Akhirnya kami menjadi rakan yang sangat akrab sehingga ada antara mereka menitiskan air mata sewaktu kami mahu pulang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: