Sunday, December 16, 2012

Peluang kedua buat OKU

kecacatan mata tidak menghalang Silatul Rahim Dahman (kanan) mencapai cita-citanya sebagai jurulatih komputer bertaraf antarabangsa.
KETIKA rakan seusia sibuk mengejar cita-cita dan menikmati kehidupan dengan penuh gembira, segalanya berbeza dengan apa yang dialami oleh golongan kurang bernasib baik. Apatah lagi kekurangan anggota badan.
Senyuman yang terpancar pada wajah mereka belum tentu menggambarkan erti gembira atau jauh di sudut hati hanya sekadar menyembunyikan keperitan hidup yang ditempuhi selama ini.
Namun, hidup perlu diteruskan, waima dilahirkan dengan bergelar orang kelainan upaya (OKU). Perjuangan hidup perlu diteruskan selagi hayat dikandung badan.
Pergaulan golongan istimewa ini bersama rakan sebaya juga tidak pernah sunyi daripada menjadi modal untuk dipersenda dan jadi bahan gelak ketawa.
Lebih memilukan, segala perbuatan yang ingin dilakukan oleh mereka terpaksa disertakan dengan semangat dan usaha berganda walaupun dirasakan amat mudah bagi manusia normal.
Apatah lagi cabaran mereka ingin bersaing dalam arus kemodenan dunia yang berlalu pantas tanpa mengira siapa. Hanya peluang dan nasib baik, mampu mengubah corak kehidupan golongan istimewa itu.
Namun dalam surah al-Mukminun, ayat 62 menjelaskan kepada kita sesungguhnya setiap kejadian dan ujian yang Allah SWT berikan kepada seseorang adalah mengikut kemampuan individu kerana Allah SWT tidak bersifat kejam.
Berpegang kepada janji Allah SWT itulah yang telah mendorong Silatul Rahim Dahman, 40, Nurain Hasim, 57, dan Hasihin Sanawi, 29, untuk meneruskan kehidupan. Malah lebih membanggakan mereka kini telah mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama orang normal yang lain. Lebih tepat, mereka mampu berdikari serta telah boleh dijadikan role model, sama ada insan senasib atau mereka yang normal.
Akui mereka, tiada apa yang mustahil untuk dicapai di dunia ini jika disertakan dengan usaha dan semangat yang tidak pernah putus asa walaupun terpaksa melakukannya dengan berlipat kali ganda.
Segala tohmahan dan sindiran dianggap cabaran yang mendorong untuk membuktikan kemampuan mereka adalah melebihi dan tidak seperti apa yang diperkatakan.
Bagi Silatul Rahim yang mengalami kecacatan mata berkata, hidupnya seakan berubah apabila disahkan hilang penglihatan selepas mengidap demam panas pada usia lima tahun.
Beliau yang pada masa itu menganggap masalah berkenaan hanya sementara mula menyedari hakikat sebenar apabila meningkat dewasa dan dihantar oleh ibu bapanya ke sekolah pendidikan khas.
"Maklumlah, pada usia lima tahun kanak-kanak belum lagi mengenal dunia, jadi saya menganggap penglihatan saya yang mula hilang ini hanya sementara.
"Tetapi alangkah terkejutnya apabila mengetahui bahawa kecacatan ini akan kekal selama-lamanya. Apabila menyedari hakikat itu, saya mula merasakan hidup ini seperti berubah.Segala pekerjaan teramat sukar untuk dilakukan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Selepas beberapa tahun cuba menyesuaikan diri dengan keadaan itu, Silatul Rahim yang kini merupakan Pengurus Jabatan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) berazam untuk bangkit dan berjuang untuk diri sendiri.
Lebih mencabar hidupnya, Silatul Rahim dihantar ke sekolah pelajar normal iaitu di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star pada peringkat sekolah menengah.
Beliau perlu berusaha dengan berkali ganda berbanding rakan normal lain untuk mengulang kaji pelajaran disebabkan kekurangan buku teks pelajaran yang menyediakan penulisan Braille pada masa itu.
"Caranya ialah dengan memberi tumpuan sepenuh perhatian semasa cikgu mengajar di dalam kelas dan meminta pertolongan daripada rakan yang dapat melihat untuk menerangkan atau membacakan pelajaran itu kepada saya. Di samping itu, saya turut membuat rakaman suara," ujarnya yang terpaksa mengurangkan waktu tidur setiap hari untuk belajar.
Ternyata hasil usahanya yang tidak pernah jemu itu terbalas apabila Silatul Rahim berjaya memperoleh 8A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Silatul Rahim seterusnya ditawarkan tajaan pelajaran untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang Sains Komputer dengan pengkhususan perisian khas OKU.
Selain berkhidmat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Silatul Rahim kini merupakan salah seorang jurulatih komputer bagi orang cacat penglihatan bertaraf antarabangsa.
Beliau aktif mengadakan kelas komputer kepada orang buta di seluruh dunia khususnya di sekitar negara Asia Pasifik.
Bagaimanapun, beliau mengakui banyak daripada kejayaan yang diperoleh sehingga tahap itu adalah dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang sebaik-baiknya di samping berusaha keras.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: