Wednesday, December 19, 2012

Nasom diraikan sempena Natal


SELAIN dekorasi menarik orang salji bernama Frosty, para pengunjung Suria KLCC bakal disambut oleh si rusa Rudolph dan kawan-kawannya di ruang masuk Park Mall sempena Hari Natal ini.


BAGI 18 orang kanak-kanak autistik dari Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), peluang istimewa melawat bengkel Santa Claus di Suria KLCC baru-baru ini sangat bermakna buat mereka.
"Kanak-kanak Nasom sentiasa dekat di hati kami. Selain kempen Hari Ungu (Purple Day) bagi meningkatkan kesedaran mengenai autisme dan mengumpul dana untuk Nasom. Ini adalah kali pertama kanak-kanak Nasom meraikan Hari Natal bersama kami.
"Oleh itu, perayaan kali ini lebih istimewa dan kami mahu berkongsi kegembiraan itu bersama mereka," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien.
Selain berpeluang menikmati keindahan Hari Natal pada bengkel Santa Claus, kanak-kanak itu juga berkesempatan menyaksikan pelbagai persembahan menarik seperti kuartet kontemporari dan nyanyian lagu-lagu Hari Natal.
Sambil menjamu selera di restoran Chinoz on the Park, mereka turut menerima hadiah daripada kakitangan Suria KLCC. Kanak-kanak yang jelas teruja itu kemudiannya dihiburkan oleh Santa Claus yang turut memberikan mereka gula-gula.
"Kami amat bersyukur dengan sokongan yang ditunjukkan Suria KLCC. Mereka sentiasa membantu kami dalam meningkatkan kesedaran mengenai autisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Kami dapat melihat peningkatan dalam jumlah pertanyaan mengenai autisme dan ini membuktikan usaha mereka setakat ini sememangnya berkesan. Sambutan Hari Natal tahun ini amat istimewa dan kami pasti kanak-kanak ini turut merasainya," jelas Setiausaha Lembaga Pengurusan Nasom, Cason Ong.
Bengkel istimewa
Bengkel Santa Claus di Centre Court, Suria KLCC dibuka dari sekarang sehingga 29 Disember ini. Pengunjung berpeluang bertemu dengan karakter-karakter popular seperti orang salji bernama Frosty di ruang masuk Ampang Mall dan Rudolph si rusa di ruang masuk Park Mall. Sang peri yang comel pula boleh ditemui di ruang masuk Ramlee Mall dan di seluruh kawasan Suria KLCC.
Selain itu, para pengunjung juga boleh bergambar pada kereta salji yang diletakkan di Esplanade KLCC, berhadapan dengan air pancut KLCC Symphony.
Para pengunjung yang membeli hadiah Hari Natal untuk orang tersayang atau diri sendiri bakal menerima hadiah istimewa. Bagi setiap pembelian RM500 ke atas di dalam dua resit terkumpul, mereka akan diberikan sepasang sarung tangan ketuhar Hari Natal.
Pada hujung minggu pula, 30 orang pertama yang berbelanja sebanyak RM3,000 ke atas di dalam dua resit terkumpul berpeluang mendapat sebuah gel Melvita Facial and set Krismas Rose Nectar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: