KELAZATAN sajian minum petang di The Sphere Lounge, Hotel One World disediakan oleh barisan chef berpengalaman.
|
BAHANG panas waktu petang lazimnya membuatkan seseorang berasa lesu dan memilih untuk tidak mahu meninggalkan keselesaan ruang tertutup.
Pada masa yang sama, tubuh yang letih perlu direhatkan sementara agar kembali cergas selepas seharian menyudahkan bebanan kerja. Selalunya orang akan tercari-cari santapan yang lazat untuk menenangkan jiwa.
Amalan meminum teh sudah menjadi kebiasaan sejak berkurun lamanya. Kebaikannya sudah diketahui dapat membantu melestari kesihatan tubuh selain menjadi bahan antioksida terbaik.
Alami keenakan minuman petang ala Inggeris di The Sphere Lounge yang terletak di lobi Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor yang menghidangkan variasi menu minum petang buat pengunjung.
Ketenangan kala menghirup teh Inggeris dilengkapkan dengan tiga set hidangan mini yang terdiri daripada sandwich, pastri, kek cawan dan lain-lain.
Selain set utama, terdapat juga hidangan sampingan yang melengkapi set minum petang. Paling menarik perhatian ialah sandwic berwarna hitam yang menggunakan roti diperbuat daripada adunan tepung buluh.
Menurut Chef De Cuisine, Hotel One World, Fairuse Abdullah, roti tersebut berasal dari Jepun yang terkenal dengan penghasilan roti yang enak dan lembut.
"Roti negara-negara Asia lebih lembut berbanding di kebanyakan negara Eropah. Memandangkan negara kita menggemari roti yang lembut, idea timbul untuk mencipta sandwic menggunakan roti tersebut," ujarnya.
Tambahnya, pemilihan menu untuk set minum petang haruslah ringkas dan tidak terlalu berat memandangkan pengunjung sekadar mahu mengalas perut sebelum mengambil makan malam.
Berlatarkan suasana yang tenang dengan tata rias moden, The Sphere Lounge bersesuaian untuk dijadikan tempat perbincangan bisnes atau sekadar tempat pertemuan sesama teman-teman.
Terdapat tiga set menu mini, pengunjung bakal merasai keenakan menu seperti salmon salai dalam bagel mini, kek cawan vanila dengan beri campur, Swissroll Gello rasberi teh hijau, paf krim mangga dan kek red velvet dengan frosting mentega kacang.
Setiap set berharga sekitar RM50, ia boleh didapati setiap hari di The Sphere Lounge sehingga 31 Januari 2013.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: