
PAPA rock Ramli Sarip menerima
Anugerah Nadi Cipta pada majlis Anugerah Persatuan Perlindungan Hak
Cipta Karyawan Muzik baru-baru ini.
UNTUK seorang karyawan sejati seperti Datuk M. Nasir, hari-harinya berjalan dengan penghasilan melodi dan irama. Jelasnya, dia menghasilkan lagu setiap hari dan rutin itu berlangsung sehingga kini.
Tidak hairanlah malam Selasa lalu masih menjadi milik M. Nasir dan rumah produksinya, Luncai Emas Sdn. Bhd. apabila meraih dua anugerah.
Untuk kali ke-13, M. Nasir yang mesra disapa sifu ini menggenggam anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak, manakala Luncai Emas menyandang trofi Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.
"Saya masih melakukan kesilapan tetapi saya sentiasa berusaha untuk mencipta lagu-lagu yang baik seterusnya diterima ramai," kata M. Nasir pada majlis Anugerah Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) di ibu negara.
Ujarnya, dia tidak mampu menjelaskan formula dalam penciptaan lagu namun dia punya teknik tertentu dan lebih kepada ilham dan penjiwaan dalam karyanya.
"Bila dah ada lagu, kita boleh rasa sama ada lagu itu sedap atau tidak memandangkan dari segi teknikal semuanya telah dilaksana dengan baik. Cuma kena lihat juga penyanyi yang membawakan lagu tersebut.
"Adakah dia mampu memberikan harmoni yang kita mahu dalam lagu tersebut? Orang masih menilai pada pakej penyanyi, jadi ini semua perlu disesuaikan dan akan menjadi penentu kejayaan sesebuah lagu," katanya.
Pada malan tersebut, Habsah Hassan selaku Pengerusi MACP turut berkongsi kegembiraan apabila pulang membawa trofi Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.
Habsah Hassan yang mesra disapa Kak Chah pernah membawa pulang trofi sama yang dimenangi oleh Arwah Loloq tahun lalu.
Lebih bermakna lagi apabila Kak Chah berkongsi perjalanan MACP dan jerih-perih mereka dalam membela nasib karyawan tempatan.

M. NASIR menggenggam trofi Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-13.
"Sejak kebelakangan ini MACP berhadapan dengan pelbagai ujian dalam membela dan memulihara hak cipta ahlinya.
"Tahun lepas, tanpa rujukan dan perbincangan, seorang Timbalan Menteri telah memandai-mandai memberikan pengecualian royalti di tempat awam seperti hotel, hospital dan restoran yang menyiarkan siaran televisyen.
"Kenyataan itu diumumkan tanpa menyedari bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana ia adalah hak eksklusif para pencipta. Walaupun kenyataan tersebut ditarik balik, masih banyak hotel bajet yang enggan membayar royalti kepada MACP.
"Oktober lalu sekali lagi Timbalan Menteri yang sama mengumumkan bahawa atas permintaan daripada pengguna dan penggiat seni, kerajaan akan mewujudkan satu badan perlesenan untuk mengutip royalti.
"Saya sedar orang politik perlukan mileage tetapi jangan sampai nak mengeruhkan periuk nasi karyawan tanah air," tegas Habsah.
Dengan keahlian meningkat kepada 3,000 orang, MACP boleh berbangga apabila permohonan Sijil Perisytiharan Badan Perlesenan telah diluluskan. MACP merupakan satu-satunya badan yang menerima lesen tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: