Sunday, December 16, 2012

Lee Dong-wook malu menari tango




WAJAH ini sudah menjadi kegilaan ramai sejak awal kemunculannya sebagai selebriti. Kini riak muka aktor Lee Dong-wook kembali mengujakan para peminatnya apabila siri Scent of a Woman menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 5 petang di saluran Astro Ria.
Dalam siri tersebut, Dong-wook membawakan watak jejaka bernama Kang Ji-wook yang merupakan generasi kedua sebuah keluarga kaya di Korea. Dalam balutan jiwa Ji-wook juga, Dong-wook terpaksa bertukar karakter sebagai lelaki urban yang sukar berpuas hati.
“Saya merasakan karakter Ji-wook lebih baik daripada chadonam (lelaki urban yang berhati kering). Terang-terangan drama ini seperti sebuah cerita Cinderella.
“Tetapi Ji-wook bukanlah lelaki yang menyimpan perasaan sunyinya. Sebaliknya dia mengekspresikan kekecewaannya dan berdepan realiti,” ungkap Dong-wook tentang karakternya dan menganggap ia sebagai sebuah rekaan semula.
“Saya mahu memberikan sebuah watak yang meyakinkan dan menampilkan Ji-wook yang berbeza,” tambahnya yang memberikan penekanan kepada setiap perincian termasuk cara Ji-wook berjalan.
Dalam drama ini, Dong-wook berpasangan dengan Kim Sun-ah (Yeon-jae) yang merupakan ratu dalam siri komedi romantis. Dong-wook mengekspresikan rasa tenang dan senang dapat bekerjasama dengan aktres tersebut.
Namun dia tetap berasa segan sewaktu mahu melakukan adegan menari tango bersama aktres tersebut dalam siri arahan Park Hyung-ki tersebut.
“Kali pertama saya bertemu mata dengan Sun-ah ialah sewaktu di dewan latihan tango. Kami terus diminta menari bersama sebelum sempat berkenalan.
“Tidak kiralah seprofesional mana seseorang itu, apabila lelaki dan perempuan diminta menari dalam keadaan sangat rapat, pasti berasa malu. Saya takut saya akan membuat langkah yang salah dan terpijak kakinya. Naib baik, Sun-ah mengajar saya dengan baik dan membuatkan segalanya lebih senang daripada apa yang saya jangkakan,” kata Dong-wook.
Penjiwaan dan perjalanan dua karakter itu menyentuh banyak hati. Kisah tentang Yeon-jae yang bakal berdepan dengan kematian akibat kanser itu telah meruntun jiwa penonton drama 13 episod itu.
“Saya percaya drama ini sangat menyentuh hati apabila Yeon-jae yang sakit tetap mendapat cinta yang tidak berpenghujung daripada Ji-wook. Rasanya penonton dapat mengaitkan kisah peribadi mereka dengan drama ini.
“Saya juga menggemari banyak adegan romantik dalam Scent of a Woman ini. Contohnya, adegan pasangan itu mendapati perasaan mereka sama apabila keluar dari rumah Ji-wook. Mereka berpelukan. Begitu juga adegan dalam khemah dan ketika Ji-wook meminta agar hubungan mereka tidak diputuskan di hadapan rumah Yeon-jae,” ungkap Dong-wook.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: