Saturday, December 22, 2012

KFH Malaysia Wujud Program Kesedaran Urus Kewangan Untuk Pelajar

Mahamad Amran Kamsi (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengetua SMK Taman Melawati, Nasran Nor (tiga dari kanan) pada majlis penutup program KFH Malaysia-Smart Money Challenge di Kuala Lumpur yang turut disaksikan Jamelah Jamaluddin (tiga dari kiri).
PETALING JAYA: Bank Islam asing pertama di Malaysia, Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad (KFH Malaysia) telah menganjurkan program ‘Smart Money Challenge’ (Cabaran Wang Bijak) bagi mewujudkan kesedaran mengenai pengurusan kewangan untuk golongan pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif KFH Malaysia, Datuk Jamelah Jamaluddin berkata, program itu bermatlamat untuk memberikan ilmu mengenai perbankan Islam di peringkat sekolah di samping mendidik para pelajar terlibat dalam aktiviti perbankan dan kewangan.
“Program ‘Smart Money Challenge’ ini telah pun selesai di mana tujuan utamanya untuk berkongsi pengetahuan kami sebagai sebuah bank Islam di peringkat sekolah.
“Kami berharap untuk mewujudkan kesedaran mengenai pengurusan kewangan pada usia muda dan memberi nasihat mengenai aktiviti perbankan dan kewangan yang akan memanfaatkan mereka kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, KFH Malaysia mengadakan majlis penutup bagi program 'Smart Money Challenge' di Kuala Lumpur.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran, Mahamad Amran Kamsi.
Program berkenaan yang turut memberi maklumat tentang pelaburan emas dilaksanakan di 18 sekolah menengah di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan.
Menerusi persekitaran yang mempunyai pengisian menarik dan menyamai dengan keadaan sebenar, Jamelah berkata, ia dilihat membantu memperkasakan pengalaman pembelajaran para pelajar.
Menurut Jamelah, inisiatif Program ‘Smart Money Challenge merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan ‘Creating Footsteps’.
Beliau menambah, KFH Malaysia banyak melaksanakan pelbagai inisiatif CSR termasuk mempromosikan pendidikan, menyediakan bantuan kepada masyarakat, memberi sokongan terhadap aktiviti-aktiviti berkaitan dengan Islam dan menganjurkan aktiviti ke arah persekitaran lebih sihat.
“KFH Malaysia melancarkan ‘Creating Foosteps’ pada Ogos 2011 seiring dengan pengalaman terbaik bank kami dalam CSR dan memperlihatkan komitmen kami untuk mewujudkan masyarakat lebih baik,” kata Jamelah.
Majlis itu turut menyaksikan Sekolah Menengah Taman Melawati sebagai pemenang utama bagi program tersebut di mana setiap peserta kumpulan menerima sebuah i-Pod Nano.
Sehingga kini, KFH Malaysia mempunyai 12 cawangan di seluruh negara iaitu Kuala Lumpur, Shah Alam, The Pavillion, Klang, Johor Baru, Pulau Pinang, Kuching, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Batu Pahat, Kota Damansara dan Taman Permata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: