Saturday, December 22, 2012

AirAsia Terima Pesawat Pertama Airbus A320 Guna Sayap 'Sharklet'


Majlis penyerahan Airbus A320 kepada AirAsia di Perancis
TOULOUSE (PERANCIS): AirAsia Bhd pada Jumaat menerima serahan pesawat Airbus A320 yang dipasang hujung sayap rentang "sharklet", yang menjadikannya pengendali pertama peranti hujung sayap besar itu yang menjimatkan bahan bakar.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar berkata hujung sayap itu, yang menjimatkan bil fuel sebanyak 4.0 peratus, akan membolehkan syarikat penerbangan itu mengoptimumkan kos, sebelum berlaku kenaikan harga fuel yang tinggi.
Penjimatan itu kemungkinan boleh diterjemahkan kepada tambang lebih rendah bagi pelanggan AirAsia, katanya, sambil menyatakan sayap itu boleh dipasang pada pesawat Airbus A320 AirAsia yang ditempah sebelum itu.
"Peranti yang baharu direka bentuk itu mengurangkan pembakaran fuel dan pelepasan asap dengan meningkatkan aerodinamik pesawat secara signifikan," katanya kepada pemberita selepas menerima pesawat Airbus A320 yang baharu di Pusat Serahan Airbus di Toulouse, Perancis di sini Jumaat.
Yang turut hadir menyerahkan pesawat itu ialah Ketua Pegawai Operasi bagi pelanggan Airbus John Leahy.
Airbus A320 menggunakan sayap 'Sharklet'
Pesawat Airbus A320 yang baharu itu ialah pesawat ke-115 kumpulan itu dan akan digunakan untuk laluan AirAsia Malaysia.
Pesawat Airbus A320 itu menawarkan kefleksibelan sama ada menambah sekitar jarak 100 batu nautika atau membolehkan ditambah pengangkutan muatan sehingga 450 kg.
"Kos sentiasa menjadi fokus utama Kumpulan AirAsia yang melihat inisiatif utama yang lain sepanjang tahun ini, seperti pemindahan semula operasi kami baru-baru ini di Thailand ke terminal kos rendah khusus," kata Aireen.
Kumpulan AirAsia di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Jepun menggunakan 100 peratus kumpulan pesawat Airbus A320 dan terdapat 33 lagi pesawat yang akan diserahkan kepada kumpulan AirAsia di beberapa negara pada tahun depan.
Baru-baru ini, AirAsia mengumumkan tempahan kukuh tambahan 100 pesawat Airbus A320, yang termasuk 36 A320ceo (opsyen enjin semasa), yang disertai "Sharklets."
Keseluruhannya, AirAsia telah menempah 475 pesawat satu lorong dari Airbus, yang terdiri daripada 264 A320neo (opsyen enjin baharu) dan 211 A320ceo.
Slot serahan tambahan bagi pesawat ini dijadualkan sehingga 2021.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: