
HADIRIN turut diberi peluang melihat jam tangan yang dipamerkan dengan lebih dekat sepanjang acara ini berlangsung.
PAMERAN jam tangan dan barang kemas mewah terhebat di Asia Tenggara, A Journey Through Time (AJTT) yang bertemakan A Masterpiece of Creation berlangsung dengan jayanya pada 22 November sehingga 1 Disember lalu di Starhill Gallery, Kuala Lumpur.
Sepanjang 10 hari perjalanan acara yang menerima sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia itu, pengunjung terutamanya pencinta jam tangan diperkenalkan dengan pelbagai koleksi jam tangan daripada jenama-jenama mewah antarabangsa.
Setiap malam, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan The Leading Man dari Australia, penyanyi tempatan, Shila Amzah dan bintang antarabangsa dari Korea, Sojung Lee.
"AJTT kali ini bukan sahaja menarik perhatian rakyat Malaysia malah menerima kunjungan luar biasa dalam kalangan pelancong antarabangsa.
"Malaysia menjadi lokasi popular bagi penawaran jam tangan dan barangan kemas terbaik dunia dan dijual pada harga yang berpatutan.
"Perkembangan ini sudah semestinya disokong oleh pelaksanaan sistem bebas cukai yang menggembirakan pelancong," ujar Setiausaha Agung Kementerian Pelancongan, Datuk Ong Hong Peng yang mewakili Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen.
Pengarah Urusan YTL Corporation Berhad, Tan Sri Dr. Francis Yeoh pula menyatakan, AJTT berterusan menjadi acara yang paling ditunggu-tunggu pencinta jam tangan dan barang kemas mewah dari serata dunia. Tambah beliau, ia turut membantu negara ini meningkatkan sektor pelancongan sekali gus memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
Anugerah
Kemuncak acara tersebut menyaksikan sesi penyampaian anugerah bagi tujuh kategori jam tangan. Boucheron Snake Tourbillon dipilih sebagai penerima Anugerah Jam Tangan Wanita Paling Digemari manakala Maitres du Temps Chapter Two TCR memenangi Anugerah Jam Tangan Lelaki Paling Digemari.
Kategori Jam Tangan Gaya Hidup Aktif dianugerahkan kepada Muhle Glashutte S.A.R. Fliegerchronograph dan Anugerah Rekaan Inovatif diberikan kepada Cecil Purnell Pit-Lane.
Anugerah Jam Tangan Dengan Pergerakan Rumit pula disandang jenama Antoine Martin Tourbillon Perpetual Calendar TQP01.701.1. Francis turut menyampaikan anugerah kepada Bedat & Co Extravaganza 887 dan Mouawad Snow White Princess Diamond apabila masing-masing dipilih bagi kategori Semangat Seni Klasik YTL dan Jam Tangan Pilihan Kementerian Pelancongan Malaysia.
"Penggemar jam tangan dan barang kemas mewah, pakar dalam bidang horologi dan golongan profesional dari seluruh dunia berkumpul pada AJTT kali ini," ujar pakar horologi, Dr. Bernard Cheong yang mewakili juri yang mengadili kesemua kategori anugerah yang disampaikan.
Selain Bernard, barisan juri turut menampilkan Francis, Joseph Yeoh, Dr. Frank Muller, Thierry Gasquez, Su Jia Xian dan Denis Asch. Difahamkan, AJTT tahun ini berjaya mempamerkan jam tangan dan barangan kemas mewah bernilai hampir RM1 bilion.
Sementara itu, tingkat Adorn di Starhill Gallery merupakan tingkat paling besar yang mempunyai jenama-jenama jam tangan terkemuka seperti Rolex, Franck Muller, Mouawad, Richard Mille, Bedat & Co, Chopard, Van Cleef & Arpels, Jaeger-LeCoultre, Omega, Carrera Y Carrera and Boucheron.
Bagi mereka yang terlepas momen-momen menarik AJTT, anda boleh layari laman web www.ajourneythroughtime.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: